Saturday, January 2, 2010

Fenomena gerhana bulan separa tarik 1,500 pengunjung

KUALA LUMPUR - Keunikan gerhana bulan separa yang berlaku awal pagi semalam menarik perhatian kira-kira 1,500 orang untuk bersama-sama berkumpul melihat kejadian itu di pekarangan Masjid Negara di sini.

Bagaimanapun, pemandangan fenomena itu sedikit terjejas ekoran keadaan bulan yang dilitupi awan.

Bagi membolehkan orang ramai membuat pencerapan, Agensi Angkasa Negara dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Persatuan Falak Syarie Malaysia dan Majlis Mufti Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyediakan 10 teleskop untuk mereka melihat fenomena itu lebih jelas.

Pengarah Pendidikan dan Sains Angkasa Azreena Ahmad berkata, bagi yang tidak berkesempatan menyaksikan kejadian itu, mereka boleh menonton siaran ulangan fenomena gerhana bulan separa itu menerusi www.angkasa.gov.my.

Beliau berkata, kejadian gerhana bulan boleh berlaku sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Secara amnya gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa yang sama, bulan melintasi bayang bumi.

Bermula dengan fasa penumbra iaitu bahagian luar bayang yang relatifnya lebih cerah pada jam 1.17 pagi waktu Malaysia, kejadian itu bagaimanapun belum menampakkan kesan gerhana memandangkan bulan merentasi bayang penumbra bumi yang kurang gelap selain faktor keadaan langit berawan.

Gerhana, yang dijangkakan jelas dapat dilihat semasa bulan memasuki bayang umbra bumi iaitu bahagian bayang sangat gelap, yang turut digelar fasa gerhana separa pada jam 2.53 pagi juga tidak dapat dilihat.

Keadaan gerhana bulan penuh itu bagaimanapun hanya berlaku selama 29 minit sebelum bulan dilihat mula keluar daripada bayangan umbra bumi pada jam 3.53 pagi.

Gerhana dijangkakan terus berlaku sehingga 5.28 pagi, namun fenomena itu tidak dapat disaksikan dengan mata kasar pada waktu itu kerana bulan berada di kawasan bayang penumbra bumi kurang gelap.

Pada 2.30 pagi, umat Islam turut menunaikan solat sunat khusuf atau solat sunat gerhana bulan yang disertai dengan khutbah khas gerhana bulan, bersempena dengan kejadian gerhana bulan itu.

Azreena berkata, gerhana bulan separa juga dapat disaksikan di seluruh Asia dan Afrika. Pada 15 Januari ini, fenomena gerhana matahari dijangka berlaku.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: