Monday, January 4, 2010

Semangat polis tiga beradik

Biarpun hanya bertugas secara sukarela, Phang Chin Ewe, Phang Chin Yee dan Phang Poh Poh berpuas hati kerana dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat.


AYUB Yaakob mengucapkan tahniah kepada (dari kiri) Phang Chin Yee, Phang Poh Poh dan Phang Chin Ewe yang menerima sijil tamat latihan sebagai Konstabel Sukarelawan Simpanan Polis di Sungai Bakap baru-baru ini.


SEJAK di bangku sekolah, Phang Chin Ewe, 21, cukup teruja menonton filem-filem atau drama bercorak kepolisian. Ketangkasan dan kecekapan anggota polis menyelesaikan jenayah seperti digambarkan dalam filem membuatkan dirinya begitu kepingin menyarung seragam pasukan itu.

Minatnya terhadap kerjaya pasukan beruniform terus bercambah setelah dewasa. Walaupun sedar ada bahaya menanti, bagi Chin Ewe ia merupakan satu kerjaya mulia dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Namun setelah tamat persekolahan, dia akhirnya memilih menjadi mekanik kerana pada masa yang sama Chin Ewe juga mempunyai minat dalam bidang automotif. Bagaimanapun, hatinya sentiasa disirap rasa marah apabila membaca kes-kes jenayah seperti ragut dan kecurian yang membabitkan nyawa orang awam.

Banteras jenayah

Menyedari ada tanggungjawab yang harus dipikul, Chin Ewe membulatkan tekad menyertai sukarelawan pasukan Ikatan Relawan Rakyat (Rela). Menariknya, dua adiknya iaitu Phang Chin Yee, 20, dan Phang Poh Poh, 19, juga turut serta.

Biarpun hanya bertugas secara sukarela, mereka tetap berpuas hati kerana dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat dalam menangani jenayah. Pembabitan aktif dalam pasukan itu seterusnya memberi peluang kepada tiga beradik tersebut untuk menyumbang khidmat bakti kepada negara dan orang ramai.

Bersulam minat mendalam terhadap aktiviti sukarela membuatkan tiga beradik dari Sungai Bakap, Seberang Prai, Pulau Pinang itu sanggup menyertai pasukan polis sukarela di bawah Program Kursus Asas Kepolisan.

Mereka menyertai kursus yang dikhaskan untuk anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) siri 1/2009 yang melayakkan mereka menjalankan tugas-tugas polis.

Bersama 124 sukarelawan lain yang diserap ke pasukan itu, kesemuanya berjaya menjalani latihan asas kepolisian selama sebulan yang dilaksanakan oleh Polis Kontinjen Pulau Pinang. Ia meliputi latihan kawad, pengendalian senjata api, kelas undang-undang dan komunikasi dengan masyarakat.

Mereka yang diambil bertugas menerima tangga gaji sama seperti anggota polis tetap mengikut kelayakan dan pangkat. Sepanjang tiga tahun tugasan tersebut, polis sukarelawan itu perlu meninggalkan kerjaya masing-masing buat sementara waktu..

Bagi Chin Ewe, 21, beliau berasa bangga apabila berjaya menamatkan latihan untuk bergelar Konstabel Sukarelawan Simpanan Polis bersama dua lagi adiknya itu.

"Biarpun saya sibuk dengan tugas sebagai mekanik namun ia tidak menghalang saya untuk bergiat dalam aktiviti sukarela seperti ini.

"Malah saya lebih bangga apabila dua adik saya turut bersama menyertai pasukan polis sukarela ini," kata Chin Ewe yang menyifatkan soal gaji tidak mempengaruhi pendiriannya menyertai pasukan itu walaupun selesa dengan pendapatan sebagai mekanik.

Majlis tamat latihan dan penyampaian sijil para pelatih disempurnakan oleh Ketua Polis pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob baru-baru ini sempena Program Pencegahan Jenayah Community Policing Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Seberang Perai Selatan di Sungai Bakap.


KES-KES jenayah yang semakin meningkat membakar semangat Phang Chin Ewe untuk menyertai pasukan polis.


Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program sehari itu seperti pameran aset dan peralatan Polis Diraja Malaysia, senamrobik, persembahan silat gayung Fatani, kempen menderma darah dan banyak lagi.

Tambah Chin Ewe, beliau dan adik-adiknya akan mengutip pengalaman berharga sepanjang berkhidmat dan berharap lebih ramai belia terutama kaum Cina menyertai pasukan polis sukarela itu.

Sementara itu, bagi Siti Aisyah Azmi, 20, peluang yang ditawarkan JPAM kepadanya untuk menyertai pasukan polis sukarela itu amat dihargai.

"Saya memang minat dalam bidang kepolisan ini jadi ia amat berguna kepada saya untuk berbakti kepada masyarakat dengan membantu membanteras jenayah serta menjaga keamanan," ujarnya yang baru tamat tingkatan enam.

Dalam pada itu, Ayub berkata, seramai 125 anggota polis sukarela (Rela dan JPAM) telah menamatkan latihan untuk siri 1 pada tahun ini.

"Mereka akan menjalankan tugas melalui kuasa yang sama pada polis apabila mereka memakai uniform untuk membanteras jenayah.

"Saya berharap lebih ramai remaja dapat tampil menyertai pasukan sukarela ini terutama belia Cina dan India agar penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukarela dapat dipertingkatkan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: