Tuesday, January 5, 2010

Semangat pelajar baru UUM


FARID ASWAN ISMAIL (kanan) mengetuai bacaan ikrar pada Majlis Ikrar Pelajar Baru Semester Kedua 2009/2010 UUM di Dewan DPP TM UUM, Sintok, Kedah.


PELAJAR Perakaunan, Ang Pheik Cheng, berasa bertuah kerana berpeluang melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang kondusif untuk pembelajaran.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu juga mengakui program yang diatur sepanjang program Minggu Suai Kenal Semester Kedua Sesi 2009/2010 membina semangat berpasukan yang tinggi. Mereka mendapat pendedahkan tentang aspek kepimpinan, integrasi kaum dan semangat setia kawan yang mantap.

"Saya gembira kerana dapat berjumpa dengan ramai kawan untuk berkongsi pengalaman dan membina semangat berkumpulan serta mewujudkan persefahaman tanpa mengira kaum," katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Pelajar Pengurusan Pelancongan, Siti Balqis Zolkefli berpendapat program yang diatur mendedahkan mereka kepada aspek kepimpinan, latihan, teknik komunikasi dan toleransi sebagai persediaan menjalani kehidupan sebagai seorang mahasiswa.

"Program ini dapat memupuk semangat kerjasama, persefahaman dan perpaduan sesama pelajar dalam menghadapi pelbagai aktiviti dan program yang akan datang," katanya.

Siti menyifatkan program tersebut mengajar mereka bekerja secara berpasukan selain didedahkan dengan perkara baru untuk melahirkan personaliti yang unggul.

Motivasi memainkan peranan penting dalam era globalisasi memandangkan ia mampu membentuk hidup yang lebih berkualiti dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Dunia serba mencabar dan kompetitif memerlukan pelajar-pelajar yang bermotivasi tinggi untuk melahirkan pelajar-pelajar berdaya saing. Mereka juga perlu bebas daripada pelbagai tekanan yang menjejaskan produktiviti.


PEMANDANGAN dari pintu masuk kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Motivasi

Sebenarnya tidak semua faktor motivasi berpunca daripada luaran. Motivasi yang lebih kekal adalah daripada dalam diri individu itu sendiri.

"Biasanya motivasi pelajar sangat tinggi dan semangat mereka berkobar-kobar apabila menjejakkan kaki ke universiti namun akhirnya motivasi itu semakin pudar setelah mereka menjalani kehidupan di kampus," kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Dr. Ahmad Faiz Hamid.

Menurut Ahmad Faiz, motivasi tidak boleh bermusim dan perlu ditingkatkan secara berterusan dari semasa ke semasa. Ini kerana mereka yang mempunyai motivasi yang konsisten akan berjaya dalam pelajaran seterusnya dalam kerjaya.

"Motivasi adalah faktor penting dalam menentukan kejayaan seseorang pelajar supaya bersemangat memburu kejayaan yang didambakan dengan usaha yang gigih.

"Jangan buang masa, tingkatkan usaha dan mereka yang sanggup berjuang untuk mendapat yang terbaik akan terus bertahan.

"Pelajar juga seharusnya mempunyai keinginan untuk berjaya tanpa mengira masa, tidak pernah berputus asa dan sentiasa gigih pasti akan cemerlang," katanya.

Pelajar juga perlu meningkatkan motivasi, memantapkan semangat jati diri dan keyakinan diri untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang agar bijak menangani masalah termasuk isu-isu akademik dan semasa.

Beliau memberitahu, sepanjang belajar di UUM pelajar perlu bijak menggunakan peluang dengan menggandakan usaha.

Dalam pada itu, universiti pula akan sentiasa bersama membantu mereka dalam memastikan sesi pengajian berjalan dengan lancar.


SEBAHAGIAN pelajar melafazkan ikrar pada Majlis Ikrar Pelajar Baru Semester Kedua 2009/2010 UUM di Dewan DPP TM, UUM, Sintok, Kedah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: