Saturday, January 16, 2010
Rina teguh pegang prinsip
Nama Rina mungkin tidak sehebat kembarnya Rini. Namun Rina kini sudah boleh tersenyum bangga kerana dilamar oleh Cherry Talent & Management dan kini single pertamanya ‘Mana Satu’ menjadi pertaruhan gadis yang manis ini.
Walaupun masih baru, Rina mengakui pernah ditawarkan berlakon sebuah drama. Namun menurut gadis manis ini, tawaran itu terpaksa ditolak kerana pihak produksi tidak memahami imejnya.
“Saya terpaksa tolak kerana watak yang ditawarkan kepada saya memerlukan saya membuka tudung dan berpakaian yang agak kurang sopan. Saya pun tak faham mengapa saya ditawarkan watak sebegitu sedangkan mereka tahu saya ini bertudung.
“Saya hadir dalam industri ini sudah bertudung. Saya tak akan membuka tudung saya ini hanya untuk berlakon,” katanya.
Kembar kepada penyampai radio Era, Rini juga kesal kerana sebagai artis baru, ada juga pihak yang seakan ingin mengambil peluang terhadap dirinya.
“Saya memang baru, tapi saya tidaklah terdesak untuk menerima sebarang tawaran berlakon. Begitu juga dengan nyanyian. Saya amat berharap kehadiran saya dapat diterima walaupun dengan imej bertudung,” katanya lagi.
Gedik atas pentas?
Mungkin ramai yang masih belum mendengar single pertama Rina Mana Satu. Lagu yang berentak catchy ini memerlukan Rina menari.
Ketika ditanya sama ada Rina selesa membawakan lagu ini memandangkan pasti ada yang akan tidak menyukai memandangkan Rina perlu menari.
“Saya mengikut kehendak lagu. Lagi pun dari dulu saya minat dengan lagu yang rancak, jadi tidak menjadi masalah untuk saya. Cuma, mungkin daripada segi tarian saya perlu mantapkan lagi dan tidak terlalu nampak seksi.
“Maknanya apa pun saya lakukan ada batasnya termasuklah dengan tarian. Saya berharap tidak ada yang salah faham terhadap saya,” katanya.
"Hati ini sudah dimiliki"
Walaupun masih baru, namun Rina akui hatinya kini sudah dimiliki. Perkenalan selama hampir dua tahun membuatkan Rina sudah bersedia untuk menamatkan zaman daranya.
“Sudah dua tahun kami saling mengenali. Secara dasarnya memang saya sudah bersedia untuk berkahwin, tetapi usia saya dalam industri ini masih bayi lagi, jadi saya simpan hasrat untuk berkahwin.
“Saya mahu tumpuan perhatian terhadap kerjaya saya dahulu. Kemudian barulah memikirkan mengenai soal perkahwinan. Orang kata karier yang baru bermula ini jangan diganggu. Saya ingin menempa kejayaan dahulu. Kemudian itu barulah memikirkan masa untuk berumah tangga,” katanya yang muncul dengan album DJ Sampler yang menampilkan 16 lagu terbitan syarikat Dream Works.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: