Wednesday, January 13, 2010

Peserta dinasihat elak lawak bodoh


PARA peserta Raja Lawak 4 ceria dengan kostum masing-masing selepas mengadakan persembahan pada pertandingan lawak jenaka minggu kedua itu di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

PERTANDINGAN Raja Lawak musim ke-4 memperlihatkan peningkatan bukan sahaja daripada segi sambutan para penonton berbanding tiga musim sebelumnya.

Malah, pertandingan terbitan Astro Prima itu juga menampilkan idea dan gaya lawak para pesertanya yang semakin matang serta tidak terikat dengan lawak bodoh semata-mata.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, setiap peserta Raja Lawak 4 terlebih dahulu dinasihatkan supaya menampilkan persembahan yang mempunyai mesej tersendiri.

"Ketika peringkat awal pertandingan ini hendak dimulakan, awal-awal lagi kami sudah ingatkan kepada setiap peserta supaya tidak mengetengahkan lawak bodoh.

"Kami mahu selain berlawak, mereka juga sepatutnya boleh membina pemikiran masyarakat dengan menyelitkan mesej-mesej yang berguna. Kita tidak mahu mereka merapu.

"Malah, setiap minggu iaitu pada hari Khamis, kami akan prebiu persembahan sebelum mereka tampil di Gelanggang Raja Lawak pada Ahad. Daripada situlah kami boleh pantau mereka," ujarnya.

Pada sidang media selepas pertandingan minggu kedua Raja Lawak 4 itu, Nizam menjelaskan, ekoran gaya dan idea lawak yang dipersembahkan itu, telah menerima sambutan positif para penonton.

Selain mendapat sokongan penonton, tiga pengkritik Raja Lawak 4 iaitu Din Beramboi, Afdlin Shauki dan Bob Lokman turut memberi reaksi positif terhadap persembahan para pesertanya.

Jelasnya, komen-komen yang dilontarkan oleh panel juri sama ada yang bernada positif atau negatif sedikit sebanyak mampu mempengaruhi psikologi dan prestasi para peserta terbabit.

"Saya tidak nafikan komen-komen daripada juri boleh mempengaruhi para pengundi. Bagaimanapun, setiap peserta ada peminatnya yang tersendiri termasuklah pertandingan ini.

"Buat masa ini, masih terlalu awal untuk melihat senario itu kerana semasa Raja Lawak 3 dulu, kumpulan Sepah tidak pernah berada di tangga tiga teratas.

"Selepas minggu kelapan dan seterusnya, barulah nama Sepah terus melonjak. Ini menunjukkan selain pengaruh pengkritik, para penonton juga semakin bijak menilai kualiti sesuatu lawak," ujarnya.

Sementara itu, tiga panel juri terbabit turut tidak menafikan peserta Raja Lawak 4 telah mempersembahkan lawak yang tersendiri biarpun baru memasuki pertandingan minggu kedua.

Afdlin menyifatkan tunjuk ajarnya sedikit sebanyak mula difahami oleh para peserta yang semakin bijak mengeksploitasi 'kekurangan' diri mereka dalam berlawak.

"Alex contohnya, pandai menggunakan 'kekurangan' dirinya yang berbadan gempal dalam lawaknya pada pertandingan minggu kedua itu yang berkisar tentang kisah sebuah tong dram.

"Dengan kekurangan itulah yang digunakan untuk meraih perhatian dan seterusnya menyebabkan para penonton ketawa menyaksikan persembahan Alex dan yang lain-lain.

"Begitu juga dengan Abu yang mewakili kumpulan Mamu juga menggunakan keadaan raut wajahnya yang kelakar dalam sketsa tentang alien (makluk asing) lakonannya," komennya.

Pada pertandingan minggu kedua itu menyaksikan peserta solonya, Aman atau nama sebenarnya Zulkefli Abu Bakar, 28, menjadi peserta pertama yang disingkirkan oleh para penonton.

Aman yang berasal dari Tangkak, Johor dan bapa kepada seorang anak tersingkir selepas menerima undian khidmat pesanan ringkas (SMS) terendah daripada para penonton sebanyak 4 peratus.

Aman yang berniaga tapai ubi dan bekerja sebagai penebar roti canai berkata, dia tidak terperanjat tersingkir daripada pertandingan itu kerana kelemahan pada persembahannya.

"Saya memang berada di kedudukan tiga peserta paling bawah daripada segi undian SMS. Saya sendiri tidak puas hati dalam persembahan saya contohnya daripada segi tonasi suara saya.

"Sejak semalam lagi, saya dapat merasakan bahawa saya mungkin akan tersingkir daripada pertandingan ini. Tetapi saya mencuba sedaya upaya dalam persembahan ini.

"Saya juga telah meminta bantuan daripada Bob Lokman untuk memantapkan lagi persembahan saya tetapi nampaknya nasib kurang menyebelahi saya," akuinya selepas pertandingan tersebut.

Dengan penyingkiran Aman itu, Raja Lawak 4 kini diteruskan oleh para pesertanya yang terdiri daripada Alex, Caca, Faiz, Idlan, JD serta kumpulan An2, Kecik, Mamu dan Wili.

Minggu lalu Raja Lawak 4 menyaksikan JD menjadi peserta yang menerima undian SMS tertinggi iaitu 24 peratus, Kecik (16 peratus), Faiz (12 peratus), Caca (4.3 peratus) dan Willi (6.5 peratus).

Selain Gelanggang Raja Lawak, pertandingan Raja Lawak 4 yang diacarakan oleh Zizan dan Johan itu juga menyiarkan Ceritera Raja Lawak pada Jumaat dan Sabtu pukul 9 malam di Astro Prima.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: