Wednesday, January 13, 2010

Tak salah materialistik





Cerita 'ganas' di antara pasangan kekasih dalam dunia artis menakutkan Intan Ladyana

DALAM filem Adnan Sempit arahan Ahmad Idham, kemunculan Intan Ladyana adalah sebagai anak orang kaya yang jatuh cinta lalu berkahwin dengan pemuda biasa saja yang bekerja sebagai penghantar surat dan dokumen.

Ia cukup menarik kerana perbezaan darjat nampaknya tidak mengganggu hubungan mereka. Dia hidup bahagia dengan pasangannya yang hidup serba sederhana, tidak ganas atau panas baran.

Cuma yang membuatkan Intan rimas kerana pasangannya masih tidak boleh mengubah tabiat lamanya yang suka merempit. Itulah antara karektor Intan dalam filem Adnan Sempit yang mula ditayangkan Khamis ini (14 Januari).


Tapi itu hanya cerita rekaan dalam filem.

Hakikatnya, banyak kisah peribadi yang sentiasa menggoncang kehidupan personaliti sedikit sebanyak membuka mata Intan supaya berhati-hati atau setidak-tidaknya mengelak sesuatu perkara yang boleh mengundang kontroversi.

Sekadar menyebut kisah seperti pukul memukul atau mengasari membabitkan selebriti mula menarik perhatian ramai. Begitu juga cerita pernikahan secara rahsia di kalangan lelaki VIP seolah-olah terus berpanjangan seperti pelakon putih gebu, Zizie Ezette dengan wakil rakyat pada Disember lalu.

Kata Intan, dia seboleh-bolehnya tidak mahu membicarakan perkara terbabit kerana bimbang boleh terkena pada batang hidung sendiri. “Kalau boleh saya nak elak perkara itu terjadi di dalam hidup saya. Hari ini mungkin kita berkata tidak, tapi siapa tahu selepas itu boleh berlaku pada kita.

“Memang saya tak sanggup bernikah dengan suami orang kerana tidak sanggup memusnahkan kebahagiaan rumah tangga orang lain untuk kepentingan diri. Tapi ini tidak semudah bercakap. Perkara membabitkan hati dan perasaan ini susah hendak kita jangka. Mungkin kalau dilalui sendiri baru kita tahu keadaannya,” katanya yang anggun mengenakan persalinan tajaan Anizam Yusof.

Sedang calon awal Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 ini asyik membiarkan wajahnya ‘diusik’ jurusolek baru, Ayip, dia sempat memberi pandangan peribadi terhadap ‘keganasan’ yang membabitkan selebriti antarabangsa seperti Chris Brown, dan Rihanna.

Katanya, setiap masalah boleh diselesaikan dengan baik dan pukul-memukul bukan cara terakhir yang patut dipilih.

“Hal sebegini tidak sepatutnya terjadi. Kalau ada sengketa atau marah yang membara sekalipun, tak perlulah sampai nak pukul orang. Tambahan pula, lelaki perlu menghormati wanita. Begitulah sebaliknya. Wanita pula janganlah hendak mengapi-apikan lelaki yang sedang marah kerana akhirnya memberikan akibat buruk. Mengasari atau berkasar bukan pilihan, sebaliknya ia tak patut langsung diamalkan.

“Sebagai wanita, saya tak mahu dicintai atau dihampiri lelaki yang panas baran. Saya akan jauhi lelaki yang panas baran. Kacak dan berduit itu mungkin satu bonus. Dalam dunia sekarang, hal kebendaan juga memainkan peranan penting selain kasih sayang,” katanya yang sedang menghabiskan baki penggambaran drama 26 episod, Jangan Pandang Belakang arahan Aziz Seth yang disiarkan di TV2.

Apabila ditanya sejauh mana hubungannya dengan Kamal Adli, Intan bijak mengalih perhatian Hip supaya cerita berkenaan tidak dilanjutkan kerana tidak mahu kisah peribadi lebih diberi perhatian berbanding kerjayanya.

Begitu juga dengan soal berkahwin. Katanya, perkara itu belum terlintas dalam fikirannya. Malahan jelas gadis berdarah campuran Melayu dan Thailand ini, tiada tekanan buat dirinya kerana pada akhirnya soal jodoh bergantung kepada ketentuan Yang Maha Esa.

“Pejam celik, sudah setahun saya berkawan rapat dengan dia. Alhamdulillah hubungan kami masih baik dan harapnya terus lancar. Sebagai wanita saya juga mengimpikan perkahwinan yang kekal selamanya” katanya yang sedang menunggu tayangan filem Rempit V3 yang akhirnya bakal ditayangkan juga pada 11 Mac ini.

Rindu bidang pengacaraan

BERBICARA mengenai kerjaya seninya, Intan memberitahu dia mengikat kontrak bersama syarikat penerbitan filem MIG Movie Production untuk tempoh lima tahun. Setakat ini, gadis berusia 28 tahun ini lebih selesa bergerak sendiri.

“Ikutkan hati memang saya boleh menguruskan kerjaya seni tanpa bantuan sesiapa. Tapi ada kalanya apabila tawaran berlakon itu datang bertubi-tubi, saya kena juga mempertimbangkan untuk mencari pembantu peribadi. Apabila balik menjalani penggambaran pada waktu malam dan penat, saya sekurang-kurangnya memerlukan pemandu.

“Begitu juga dengan urusan menjaga jadual seni. Mungkin tahun depan saya akan kurangkan berlakon dan mencuba ruang untuk kembali mengacarakan program,” katanya penuh semangat.

Dalam pada itu, Intan yang mula berlakon filem Tipah Tertipu memberitahu dia sebenarnya tidak pandai berjimat.

Namun seiring dengan peningkatan usia, dia sudah mula mengumpul aset sedikit demi sedikit untuk masa depan.

Katanya, bidang seni ini kalau rajin mengambil dan mencari peluang nescaya boleh membuat duit.

“Saya suka berdikari dan tidak mengharapkan duit atas belas ehsan orang tanpa perlu bekerja. Lebih baik dan puas menggunakan pendapatan atas titik peluh sendiri. Insya-Allah, mungkin tahun depan saya akan membeli rumah pula sebagai aset masa depan,” katanya yang tinggal berjiran dengan Farahdhiya dan Zizie Ezette di Ampang.

Intan Ladyana

  • Nama: Intan Ladyana Mohd Yahya
  • Tarikh Lahir: 2 Jun 1982
  • Tempat Lahir: Kuala Lumpur
  • Zodiak: Gemini
  • Kerjaya: Pelakon, pengacara dan model iklan
  • Adik-beradik: Anak kedua daripada tiga beradik
  • Iklan: Nivea Skincare, Follow Me, Jacobents, Celcom, Sunsilk, Acuvue, Toyota Hilux, Dentyne, Oil Of Olay, Deify Skincare dan Hotlink
  • Rancangan TV: Hello Minda dan Adventure Race 2006
  • Drama: Trio, Bujal, Bapak Bola Anak Futsal, Puteri, Jelatang dan Sutera Maya
  • Filem: Tipah Tertipu, Jangan Pandang Belakang, I'm Not Single, Adnan Sempit dan Rempit V3

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: