Thursday, January 14, 2010

Persembahan bertenaga Ne-Yo pikat lebih 3,000 peminat

Kali ini tirai 2010 dimulakan dengan pembukaan konsert artis antarabangsa Shaffer Chimere Smith atau Ne-Yo menerusi siri jelajah Asia Tenggara, Ne-Yo’s Year Of The Gentleman Tour.

Penyanyi dan komposer terkenal itu memecah penantian peminat selama setengah jam melalui lagu hitsnya ‘Because of You.’ Kemunculan Ne-Yo pertama kali di Malaysia membuatkan peminat yang rata-ratanya remaja perempuan bersorak melihat idola mereka secara ‘live.’

Pemenang sembilan Anugerah Grammy ini nyata memberikan persembahan bertenaga 200 peratus seperti yang dijanjikan dan mengetengahkan lebih banyak lagu daripada album terbarunya ‘Year of The Gentleman’.

Konsert berkonsepkan santai membuai kira-kira 3,000 peminat Ne- Yo melalui kelunakan suara mendendangkan melodi indah jejaka dari Camden, Arkansas, Amerika Syarikat ini.

Emosi penonton dibuai menerusi lagu-lagu cinta selain koreografi yang bertenaga. Malah, dalam persembahan hampir dua jam itu, penyanyi yang mempunyai darah keturunan Cina ini turut menyelitkan drama dalam lagunya yang menceritakan keperitan dan kehancuran ditinggalkan kekasih.

Selain itu, Ne-Yo turut melontarkan beberapa kuntum mawar merah ke arah peminatnya dan menambahkan kehangatan persembahan melalui lagu-lagu medley ciptaannya.

Antaranya, Irreplaceable nyanyian Beyonce, Take A Bow (Rihanna), Let Me Love You (Mario), Spotlight (Jennifer Hudson) dan Knock You Down (Keri Hilson).

Dalam persembahan itu, Ne-Yo turut menyatakan kegembiraannya berada di Malaysia sambil berkata, “Saya sepatutnya perlu sampai di Malaysia dahulu lagi kerana wanitanya yang cantik dan cuaca yang bagus, dan nyata sekali saya akan kembali lagi ke Malaysia.”

Di slot ke dua Ne-Yo muncul berpakaian serba putih dan memberikan kejutan kepada salah seorang tetamu VIP, Ezana dengan mendendangkan lagu ‘Selamat Hari Jadi’ versinya tersendiri.

Ne-Yo yang mempunyai lima tatu di anggota badannya turut mengejutkan penonton apabila menamatkan persembahannya menerusi lagi Miss Independent. Pentas kembali senyap dan menjadi gelap.

Melihat kelibat Ne-Yo meninggalkan pentas, peminat yang hadir menjerit namanya berulang kali sambil melaungkan: "we want more”. Tidak berapa lama kemudian, Ne-Yo muncul di pentas sambil bersketsa mencari kuncinya yang tertinggal.

Pentas Sunway Lagoon Surf Beach kembali gamat menerusi lagu tema filem animasi Walt Disney, Princess And The Frog iaitu Never Knew I Needed. Kemudian, Ne-Yo menamatkan persembahannya melalui lagu ‘Closer.’

Dalam persembahan berkenaan, Ne-Yo turut memperkenalkan protegenya, Jadyn Maria, artis pertama yang mengikat kontrak di bawah label syarikatnya, Compound Entertainment.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: