Thursday, January 14, 2010

Pentadbiran Nigeria disaman salah guna bangunan


GAMBAR menunjukkan sebuah bangunan yang terdapat di New York kelmarin.



BLOOMBERG

NEW YORK - Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg kelmarin mengumumkan satu tindakan saman terhadap pentadbiran Nigeria kerana cuba mengelak cukai semasa mempergunakan sebuah bangunan untuk tujuan komersial.

Dalam satu kenyataan di sini, beliau berkata, negara Afrika itu didapati berhutang berjuta-juta dolar apabila ia gagal menjelaskan cukai hartanah, faedah dan caj-caj lain untuk sebuah blok pejabat setinggi 22 tingkat di kawasan Manhattan, di sini.

Pentadbiran Nigeria tidak layak mendapat pengecualian cukai yang ditaksirkan antara AS$4.1 (RM13.7) sehingga AS$16 juta (RM53.4 juta), kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, jumlah sebenar tidak diketahui kerana negara itu enggan menghantar dokumen. Pihak berkuasa New York selama ini tidak mengenakan sebarang cukai ke atas premis perwakilan asing termasuk pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), konsulat dan kediaman pegawai kanan diplomat antarabangsa.

Bagaimanapun, pihak berkuasa New York mendakwa Nigeria menggunakan bangunan yang disediakan itu untuk kegunaan komersial antaranya dengan menempatkan ruang pejabat syarikat penerbangan negara itu.

"Kerajaan asing tidak layak untuk menerima pengecualian kerana kegunaan bukan diplomatik.

"Bagi tujuan bukan kegunaan diplomatik, kami mengharapkan negara itu membayar cukai hartanah sebagaimana dilakukan oleh semua warga New York," kata Bloomberg.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: