Wednesday, January 13, 2010

“Moga kami dapat timang cahaya mata” - Datuk K

“Saya berharap agar Siti sentiasa berjaya dalam kerjayanya kerana itulah yang sentiasa diimpikan sejak dulu lagi. Saya juga berharap tahun ini akan ada harapan untuk kami menimang cahaya mata,” ucap Datuk K sempena majlis hari lahir isteri tercinta, penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza yang ke-31, di JW Marriot Hotel, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Pasangan ini sudah mendirikan rumah tangga sejak tiga tahun lalu, namun sehingga kini masih belum dikurniakan cahaya mata. Siti dalam temu bualnya sebelum ini juga sudah beberapa kali meluahkan hasrat untuk memiliki zuriat sendiri malah turut berharap agar tahun 2010 ini memberikan peluang untuknya mengacapi saat bahagia itu.

Selain mengharapkan kebahagiaan berpanjangan dalam rumah tangga mereka, Datuk K juga tidak pernah melupakan hari yang paling istimewa buat isterinya. Malah sepanjang tiga tahun perkahwinannya, ada sahaja hadiah istimewa buat isteri tercinta.

Jika dua tahun lalu Siti pernah menerima hadiah berupa kereta mewah dan jam tangan berjenama di hari jadinya, nampaknya tahun ini Datuk K turut memberikan hadiah yang lumayan buat isterinya, iaitu beg tangan jenama Louis Vuitton (LV). Malah difahamkan, beg tangan edisi terhad jenama kegemaran Siti itu mencecah harga hingga RM40,000.

“Siti tak pernah minta apa-apa pun, tapi inilah hadiah kecil dari saya. Tapi sebelum majlis ini, saya dah bawa Siti melancong ke tiga destinasi iaitu di Barcelona, Durbling dan London selama dua minggu,” kata Datuk K yang menganggap percutian yang berlangsung pada pertengahan Disember lalu itu sebagai sambutan pra hari jadi Siti.

Dalam pada itu, Siti berkata, dia amat menghargai pemberian suaminya itu. Walaupun sering menerima hadiah yang lumayan dari suaminya, Siti tidak pernah menganggap semua itu sebagai ukuran utama terhadap kasih sayangnya.

“Siti berterima kasih pada semuanya yang menyokong Siti selama ini, terutamanya suami yang sentiasa memahami Siti. Semoga tahun ini menjanjikan sesuatu yang lebih baik dan memperoleh kebahagiaan yang berterusan. Bagi Siti, kebahagiaan dan kasih sayang lebih penting dari segala-galanya,” kata Siti penuh bermakna pada majlis itu.

Menurutnya, sambutan majlisnya itu juga sempena meraikan hari lahir, ibu tercinta, Siti Salmah Bachik, ke-59, yang jatuh pada 31 Disember lalu. Malah, malam itu juga menjadi sejarah buatnya, kerana album terbarunya Canda, yang bakal berada di pasaran pada hujung Januari ini, turut dilancarkan sekali. Album yang membawa maksud, Tangis, Ketawa dan Duka, yang memuatkan enam buah lagu ini merupakan album kerjasamanya dengan penyanyi dari seberang, Krisdayanti.

Majlis yang penuh meriah ini turut diraikan hampir 400 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, teman, rakan artis dan juga pihak media. Antara artis yang hadir ialah, Lisa Surihani, Aizat, Riedzman dan isteri, Kartina, Angkasawan Negara, Syeikh Muszaphar dan tunangnya, Dr Harlina dan tidak terkecuali teman baiknya Krisdayanti atau KD yang menjadi tetamu istimewa pada malam itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: