Wednesday, January 13, 2010

Daniel atlet tertinggi terima Shakam

PUTRAJAYA - Jaguh renang negara, Daniel Bego mendapat bayaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) Majlis Sukan Negara (MSN) tertinggi berjumlah RM29,000 selepas kejayaannya meraih lima pingat emas pada temasya Sukan Sea XXV di Laos, Disember lalu.

Daniel yang dijulang selaku atlet individu terbaik negara temasya itu meraih lima emas menerusi acara 100 dan 200 meter gaya bebas, 400 meter gaya bebas dan 100 dan 200 kupu-kupu serta berjaya memecah empat rekod kejohanan dan juga kebangsaan.

Kejayaannya itu turut membantu pasukan renang menyumbangkan sembilan emas termasuk enam emas dari acara terjun menjadikan akuatik sebagai acara paling banyak menerima insentif sebanyak RM 83,000.

“Insentif ini menjadi suntikan semangat dan motivasi untuk saya lebih maju lagi pada tahun ini.

“Dengan pengumuman perdana menteri untuk menaikkan lagi insentif dan ganjaran buat atlet adalah sangat wajar dan menaikkan semangat atlet untuk mengharumkan lagi nama negara di persada dunia.

“Saya masih belum ada perancangan lagi untuk insentif yang diterima ini tetapi saya akan gunakan ia sebaik-baiknya untuk masa depan saya,” katanya.

Seorang lagi perenang negara, Siow Yi Ting memperoleh RM18,000 bagi tiga emas dan tiga rekod yang dicatatnya, sekali gus menjadi penerima kedua terbanyak Shakam bagi temasya di Vientiane.

Tiga penerjun kebangsaan, Yeoh Ken Nee, Bryan Nickson Lomas dan Pandelele Rinong, masing-masing menerima RM7,500 setiap seorang.

Acara sukan yang menjadi penerima kedua terbanyak ialah olahraga (RM32,000), diikuti karate (RM25,000), bola sepak lelaki (RM20,000), silat (RM20,000), wushu (RM15,000), badminton (RM15,000), memanah (RM5,000) dan taekwondo (RM5,000).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: