![]() |
Info
Filem: Adnan Sempit
Pengarah: Ahmad Idham Ahmad Nadzri
Genre: Aksi Komedi
Tarikh Siaran: 14 Januari 2010
Pelakon: Shaheizy Sam, Intan Ladyana, Norliana Samsudin, Along, Zack (X-Factor), Shahfiez, Cat Farish, Julia Hana dan Angah.
![]() |
FILEM Adnan Sempit diilhamkan bukan untuk memaparkan gejala mat rempit. Jauh sekali untuk menggalakkan aktiviti negatif itu dikalangan remaja. Sebaliknya, filem itu hanya mengambil latar belakang segolongan mat rempit bagi menjawab pandangan negatif masyarakat terhadap golongan itu.
Tidak adil sekiranya meletakkan pandangan negatif terhadap semua penunggang motosikal dengan mengaitkan mereka sebagai Mat Rempit. Begitulah seperti yang diucapkan watak Adnan yang disandang oleh Shaheizy Sam yang kerjanya sebagai despatch atau penghantar surat/dokumen).
Selain itu juga, Adnan mempertikaikan jika semua penunggang motosikal itu adalah mat rempit, bagaimana pula sekiranya mereka yang sememangnya bekerja menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama.
Pengarahnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, filem berkonsepkan aksi komedi bukanlah berniat untuk mendedahkan mengenai isu remaja.
“Filem berkonsepkan komedi memanglah filem bergenre ringan dan mengambil latar pekerjaan sebagai budak penghantar surat yang sering disalahertikan. Di dalam membuat penilaian untuk menghasilkan filem ini, saya mensasar tumpuan penonton yang lingkungan mana yang akan datang menontonnya.
“Untuk mengambil isu mat rempit memanglah ia dianggap sensitif, tetapi saya tidaklah menjurus kepada mat rempit kerana di dalam cerita ini ia banyak menyelitkan elemen komedi, muzikal, suspen dan tidak terkecuali aksi.
“Bagi saya pemilihan Sam sebagai tunjang utama bukanlah disebabkan saya takutkan risiko kerana Sam adalah pelakon baru, tetapi kerana bakatnya. Sebelum ini kebanyakan filem yang melepas ‘boxoffice’ kerana filem itu mempunyai pakej,” katanya.
Filem tempatan pertama yang akan menjengah seluruh pawagam tanah air untuk tahun ini iaitu pada 14 Januari ini juga dilihat terserlah kreativiti yang dipaparkan pengarah.
Antara kreativiti yang dipaparkan Ahmad Idham seperti satu babak sekumpulan remaja yang sedang ‘kenduri’ gadis-gadis di tepi sungai. Babak itu memaparkan dua gadis sedang asyik menari sambil menayangkan sebahagian tubuhnya dalam keadaan menggiurkan sambil dikelilingi sekumpulan remaja liar. Biarpun aksi sebenar gadis itu masih memakai baju tetapi pengarah cuba mencari kelainan dengan menggunakan teknik ‘mozek’ bahagian atas tubuh gadis itu seolah gadis itu benar-benar sedang menari bogel.
Selain watak utamanya, Adnan yang menggerakkan keseluruhan cerita, watak Boboy yang dipegang bekas peserta Raja Lawak, Along tidak terkecuali menyumbang peranan yang kuat di dalam filem ini. Gandingan Along dan Shaheizy Sam pada asalnya nampak janggal di luar layar sebelum digandingkan lebih lagi keduanya dari latar belakang yang berbeza, namun gandingan itu menjadi.
“Ini adalah pertama kali saya diberi tanggungjawab memegang watak pembantu lelaki baik filem mahupun drama. Pada mulanya rasa gementar sebaik saja menerima panggilan telefon daripada pengarah Ahmad Idham yang menawarkan saya untuk terbabit sama dalam filemnya.
“Sebelum ini memang ramai yang menyedari kualiti produk yang dihasilkan Ahmad Idham menerusi filem arahannya, begitu juga dengan saya yang cukup kagum dengan hasil kerjanya terutamanya membabitkan filem seram.
“Walaupun pemilihan saya dalam filem ini untuk membawakan watak komedi, namun sebenarnya saya mendapat lebih daripada kebolehan yang ada selama ini.
“Sepanjang menjalani penggambaran, banyak ilmu baru yang saya timba, walaupun saya di beri peranan sebagai karektor komedi namun saya diajar untuk membawa watak seram di dalam satu babak tu. Memang kreativiti Ahmad Idham tidak boleh disangkal lagi terutama babak seram,” katanya.
Sinopsis
ADNAN atau dipanggil sebagai Nan Sempit adalah remaja berusia 27 tahun dan bekerja sebagai Mat Despatch (penghantar surat) di salah sebuah syarikat swasta. Biarpun bekerja sebagai penghantar surat tetapi Nan mempunyai impian untuk menawan hati gadis kaya iaitu bos, Nadia di tempat dia bekerja. Nasibnya baik apabila secara kebetulan Nadia yang tidak mempunyai kekasih kerana terlalu sibuk dengan kerjayanya berpakat dengan Nan untuk dijadikan kekasih kontraknya untuk menghadiri majlis ‘reunion’ dengan temannya. Perhubungan mereka berjalan dengan baik sehinggalah keduanya mempunyai perasaan cinta. Namun, Nan yang dianggap sebagai mat rempit kerana sering melepak dengan budak-budak motor masih tidak dapat membuang kelakuan sosialnya walaupun sudah didesak dengan Nadia. Akhirnya Nadia mengambil keputusan untuk memutuskan saja hubungan mereka. Nadia berjumpa dengan sahabat lamanya iaitu Jofri, namun Nadia tidak mengetahui yang Jofri ingin mengambil kesempatan terhadap Nadia untuk mencuri kertas kerja projek yang bernilai jutaan ringgit. Akhirnya, Nan yang dianggap sebagai mat rempit seperti sampah masyarakat yang menyelesaikan masalah mereka dengan tertangkapnya Jofri yang berniat jahat. Nan dan Nadia akhirnya kembali bersama.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: