![]() |
| TEKNOLOGI telah menjerat sesetngah individu untuk menjalani rutin hidup yang kurang bergerak dan tidak sihat. |
TEKNOLOGI merupakan antara pengukur utama kemajuan sesebuah tamadun manusia atau negara moden. Dari perkembangan binaan penempatan tetap, saliran air dan kumbahan, perubatan, hinggalah kepada senjata dan pertahanan.
Dari segala sudut, semua teknologi yang cuba dibangunkan manusia sejak azali lagi adalah untuk kebaikan dan manfaat sejagat.
Namun, niat murni tidak semestinya membawa hasil yang diharapkan, malahan boleh membawa lebih banyak mudarat daripada manfaat.
Silam
Sejarah silam manusia menunjukkan banyak perkembangan ilmu dan teknologi disalahgunakan untuk kepentingan individu, kumpulan atau negara tertentu.
Zaman manusia kuno menunjukkan kemajuan dalam binaan peralatan bercucuk tanam dan memburu haiwan akhirnya digunakan sebagai senjata untuk membunuh, menakluk dan merampak hak manusia lain.
Di zaman moden, tidak banyak yang berubah!
Ilmu mikrobiologi digunakan untuk senjata biologi. Ilmu kimia untuk senjata kimia. Penemuan belerang pula disalahgunakan untuk membuat senjata api. Ini membawa kepada peperangan skala besar antara negara dan juga dunia.
Kemuncak perkembangan senjata muncul dengan perkembangan ilmu pemecahan atom. Ilmu yang dikaji untuk menghasilkan tenaga ini disalahguna untuk membuat bom atom, dan seterusnya berkembang menjadi bom nuklear.
Kuasa senjata nuklear juga jelas menjadi pengukur kekuasaan sesebuah negara kuasa besar. Kuasa nuklear juga membolehkan sebuah 'negara' kecil di Timur Tengah merampas tanah penduduk tempatan tanpa halangan negara-negara jiran yang khuatir akan keselamatan penduduk mereka.
Dari segi pengangkutan, penggunaan bahan bakar dari petroleum telah menyebabkan pencemaran paling teruk dalam sejarah manusia - udara & laut.
Walaupun petroleum telah digunakan secara umum sejak 4,000 tahun lalu, teknologi yang membolehkan manusia mengeluar dan menggunakan petroleum sebagai bahan bakar utama, dan dalam jumlah yang amat besar, telah membawa lebih banyak mudarat kepada dunia.
Melalui pemanasan global, banyak negara dan penempatan pesisir pantai bakal tenggelam sebelum tibanya abad ke-22.
Ancaman ini telah diketengahkan apabila satu persidangan parlimen diadakan di dalam laut di Maldives dan satu lagi di Gunung Everest baru-baru ini.
Senjata, pencemaran dan kehilangan tempat tinggal sebenarnya satu harga yang terlalu mahal bagi membolehkan kita menikmati sedikit kemewahan dunia.
Ramai yang masih alpa, kesemua masalah ini sebenarnya akan diwarisi dan mengancam generasi berikutnya, anak dan cucu kita sendiri!
Mudarat halus
Walaupun isu seperti senjata pemusnah dan pencemaran alam sekitar kini menjadi tumpuan, masih banyak lagi teknologi yang memudaratkan manusia - secara halus dan senyap.
Sistem pengangkutan udara, laut dan darat bukan sahaja mencemar tetapi turut memudahkan penyebaran bermacam jenis penyakit dan penaklukan negara dan benua.
Teknologi pelayaran di zaman penjajahan negara-negara Barat memberi kesan paling jelas dari segi jangkitan kuman dan penaklukan.
Pulau Easter di tenggara Lautan Pasifik menjadi contoh paling jelas apabila masyarakat di pulau ini musnah akibat penyakit cacar, tuberkulosis (tibi) dan penculikan untuk menjadikan hamba abdi.
Dari anggaran sekitar 3,000 penduduk di Pulau Easter pada 1722, hanya 111 yang terselamat menjelang 1877, dengan hanya 36 pasangan yang mempunyai anak.
Walaupun perang saudara dan kebuluran turut memberi kesan, ketibaan kolonialisme dan penyakit dunia Barat paling teruk menjejaskan masyarakat asli pulau tersebut, sehingga kebanyakan sejarah dan budaya mereka hilang selamanya.
Malaysia juga tidak terkecuali dari malapetaka perkembangan teknologi pelayaran dan senjata negara-negara Barat ketika itu.
Di zaman moden ini, pengangkutan jalan terus menyumbang kepada pencemaran udara, malahan menyebabkan manusia semakin kurang bergerak.
Bukan sahaja golongan dewasa, semakin ramai kanak-kanak yang menghabiskan hidup mereka di dalam kereta, dibawa mengikut keperluan kerja ibu bapa, mahupun tersangkut bersama dalam kesesakan jalan raya.
Ini jelas dengan peningkatan mendadak keperluan hiasan dalaman kenderaan yang termasuk televisyen mudah alih, pemain cakera video digital (DVD), kemudahan untuk makan dan minum, serta kerusi empuk yang selesa untuk tidur.
Semua 'kemudahan' tersebut menjadi kebiasaan dalam kapal laut atau kapal terbang yang digunakan untuk perjalanan jauh.
Mengapa pula di dalam kereta? Mungkin untuk keselesaan pulang berhari raya di kampung? Atau mungkin kerana lebih banyak masa keluarga dihabiskan dalam kereta!
Ditambah masalah pemanasan global, tidak ramai yang menghabiskan masa bersenam di luar atau berjalan ke satu-satu tempat, walaupun yang berhampiran. Tidak kurang juga kerana khuatir kereta mewah mereka dicuri!
Apa salahnya menaiki kereta ke mana-mana, walaupun tempat yang berdekatan?
Terpenjara
![]() |
| AMALAN bermain di luar di kalangan kanak-kanak semakin terhakis akibat perubahan cuaca, faktor keselamatan dan juga teknologi permainan video dan rancangan televisyen. |
Tanpa sedar, ramai antara kita yang telah terpenjara dalam rutin harian yang jarang atau tidak memerlukan aktiviti fizikal.
Fikirkan hari kerja anda. Selepas bangun, mandi dan bersiap, anda menaiki kereta ke pejabat - menempuhi beberapa kesesakan lalu lintas. Tiba di sana, anda mencari tempat meletak kereta yang paling hampir - dan berjalan sedikit sahaja ke meja anda.
Sepanjang hari di pejabat, anda hanya bergerak di waktu makan, ke surau, tandas atau ketika ingin berbual dengan rakan sekerja.
Di penghujung hari, anda menaiki kereta, menempuhi beberapa kesesakan lalu lintas lagi, dan sampai ke rumah. Letih bekerja, anda membersihkan diri dan menghabiskan sepanjang malam bersantai di hadapan televisyen.
Walaupun secara umum, perumpamaan ini pasti mempunyai persamaan dengan hidup ramai pekerja kini - sama ada yang sudah berkeluarga atau belum.
Terperangkap dengan rutin sama, hampir setiap hari, begitu ramai yang menghabiskan hidup dengan 'tidak bergerak', sama ada kerana kerja atau kerana keletihan di rumah.
Teknologi telah membolehkan kita bergerak dengan pantas ke destinasi yang jauh. Malangnya, ada yang lebih suka mengambil jalan mudah untuk mengurangkan keperluan menggerakkan badan - seperti juga memilih menaiki lif berbanding tangga.
Komputer dan televisyen pula hanya menarik fokus mata dan tangan untuk 'bekerja', membolehkan badan kekal kaku, bersantai di sepanjang waktu sedar kita.
Dengan amalan sebegini rupa, tidak mengejutkan semakin ramai rakyat Malaysia yang obes atau menghidap penyakit kronik selepas 52 tahun negara merdeka.
Persoalan manfaat teknologi timbul selepas penulis melihat bagaimana masa sambutan dan perayaan dihabiskan kini.
Semakin ramai yang hanya duduk bersantai di rumah, menonton televisyen sepanjang hari, bersendirian atau bersama keluarga.
Dengan bermacam hiburan yang disediakan televisyen, semakin ramai yang berjaya dipancing untuk tidak bergerak sepanjang hari.
Ditambah pula dengan adanya teknologi permainan video, telefon bimbit, komputer dan internet, lebih ramai golongan muda memilih gaya hidup 'kaku dan santai'.
Pakar kesihatan tulang sendiri kini menggalakkan aktiviti seperti membeli belah bagi memastikan cukup aktiviti fizikal dilakukan setiap hari bagi jisim tulang yang kukuh dan sihat.
Tanpa aktiviti fizikal, keseimbangan badan akan terjejas, mata dan jari sahaja yang berfungsi (menonton dan menekan tetikus atau alat kawalan jauh), berlakunya kerosakan postur badan dan jisim tulang menurun (rapuh).
Ada juga kajian yang menunjukkan jumlah kalori yang dibakar melalui mata dengan menonton televisyen atau di hadapan komputer hampir menyamai kalori yang dibakar melalui senaman ringan - seperti berjalan.
Namun, perlu diingat bahawa maklumat berkenaan turut menunjukkan banyak beban ditampung mata (dan jari) sementara semua anggota badan yang lain hanya mengumpul kalori dan lemak berlebihan.
Ditambah dengan cara pemakanan yang diamalkan kini, tidak menghairankan jika anak dan cucu kita bakal mewarisi lebih banyak masalah kesihatan kelak.
Adakah ini bermakna teknologi boleh dipersalahkan? Kembali kepada asasnya! Semua teknologi dicipta untuk memudahkan hidup dan dimanfaatkan bersama.
Jika ada yang perlu disalahkan, maka tudingkan jari ke arah cermin anda!
Pilihan kita sendiri yang menjadi punca segala musibah yang telah atau bakal berlaku.
Mental
Bukan sahaja kesihatan fizikal terjejas, pilihan menyalahguna teknologi juga boleh menjejaskan kesihatan mental.
Mental? Bukannya melibatkan situasi yang dikatakan 'gila' tetapi lebih kepada trauma kepada pemikiran dan emosi, terutamanya di kalangan golongan muda mudi.
Masalah ini paling banyak dikaitkan dengan penyalahgunaan internet. Internet yang asalnya dibangunkan sebagai satu bentuk perpustakaan maya bagi memudahkan perkongsian ilmu telah jauh terpesong.
Kini, ia menjadi kaedah utama menyebarkan fitnah, imej keganasan dan juga bahan lucah yang disasarkan kepada golongan muda mudi.
Ada sesetengah perkara yang kita sememangnya tidak perlu dan tidak patut saksikan - pembunuhan, perkosaan, penyeksaan.
Kebiasaannya, individu terlatih seperti polis, tentera dan pasukan beruniform lain yang telah dilatih sahaja dapat 'memproses' situasi sedemikian.
Sedangkan ada di antara mereka juga yang mengalami trauma dengan apa yang dilihat, inikan pula minda muda yang didedahkan kepada imej dan paparan tanpa tapisan melalui internet, berbanding media arus perdana.
Selain kekejaman, hiburan melampau dan juga bahan lucah juga terlalu banyak dan bebas dikongsi melalui internet, menggunakan laman-laman web yang sah ataupun yang diharamkan.
Di usia remaja, ketika hormon seperti 'meletup-letup' di dalam kepala, pasti ramai yang ingin mencuba (eksperimen) sesuatu yang baru.
Dan kebiasaannya, golongan remaja hanya akan mencuba sesuatu yang diajar rakan sebaya ataupun dari apa yang mereka lihat dan dengar.
Penyalahgunaan dadah semakin meningkat, dengan jenis-jenis dadah yang lebih moden.
Kes perkosa (kanak-kanak, gadis, wanita) juga melihatkan peningkatan.
Gejala sosial seperti lumba haram, vandalisme, bohsia, pengambilan alkohol, seks bebas dan pelacuran terus berleluasa.
Terbaru, amalan merakam waktu peribadi orang lain mahupun bersama pasangan sendiri semakin menjadi-jadi.
Kesemua gejala tidak sihat ini dapat dilihat di internet, kebanyakannya dikongsi golongan remaja ataupun golongan dewasa yang telah lama terdedah kepada pengaruh tidak sihat.
Bahan lucah, ganas dan songsang yang lebih mudah dicari berbanding bahan ilmiah secara atas talian telah membentuk pemikiran kotor dan terpesong di kalangan muda mudi - bakal-bakal pewaris negara kelak.
Kesan 'trauma' pendedahan kepada bahan-bahan terlampau ini juga akan kekal dalam minda mereka selama-lamanya.
Namun, bukannya teknologi internet yang patut dipersalahkan! Pilihan mereka yang memaparkan bahan songsang dan juga mereka yang menontonnya menjadi penentu tahap kesihatan mental mereka kelak.
Bayangkan jika negara diwarisi mereka yang dibelenggu bermacam jenis penyakit kronik, ditambah pula dengan pemikiran songsang.
Fahami juga bila menggunakan perkataan 'waris', yang dimaksudkan bukannya orang lain tetapi anak, cucu dan keturunan kita sendiri - tanpa mengira pangkat, bangsa dan agama.
Teknologi sebenarnya telah membolehkan kita mencapai lebih jauh ke angkasa dan bintang. Baik atau buruk sesuatu teknologi itu bergantung kepada tangan yang menggunakannya!
Pilihlah untuk memajukan diri, keluarga dan negara ke arah kecemerlangan dan hidup yang sihat, mental serta fizikal.
Gunakan teknologi untuk manfaat bersama, jangan terperangkap dengan pilihan mudah, menyalahguna kemudahan yang tersedia.
Akhir kata, manfaatkan teknologi, manfaatkan hidup. Semoga semua azam dan harapan anda tercapai bermula tahun dan dekad baru ini!


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: