Tuesday, January 12, 2010

Membina Ikatan Keluarga Yang Kuat

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil beramah mesra dengan para peserta selepas merasmikan "Seminar Bagi Membina Ikatan Kekeluargaan Yang Kuat Dan Selamat" di Subang Jaya.

ARUS perkembangan dunia hari ini yang lebih mencabar menuntut golongan ibu bapa untuk lebih bersifat terbuka dalam menangani masalah yang melanda institusi kekeluargaan mereka.

Selain medapat pendedahan awal mengenai pendidikan yang bermula di rumah, anak-anak perlu diberikann bimbingan mengenai keselamatan diri, hubungan sosial serta erti kasih sayang dalam hubungan kekeluargaan dan sesama insan.

Sebagai badan yang bertanggungjawab, Persatuan Hakka Wanita Kuala Lumpur Dan Selangor yang dikemudi oleh Datin Seri Dr. Susan Cheah dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menganjurkan "Seminar Bagi Membina Ikatan Kekeluargaan yang Kuat dan Selamat".

Majlis tersebut yang bertempat di Kelab Sunway Lagoon 3 disempurnakan oleh menteri KPWM Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Selain merasmikan seminar tersebut, turut berlangsung Sharizat turut merasmikan pembukaan bilik bacaan dan bilik permainan di kelab itu.

Tema seminar itu yang memfokuskan kepada pencapaian dan kejayaan golongan wanita menguruskan keluarga mereka turut dihadiri seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada ahli kelab itu.

Seminar tersebut yang dikendalikan oleh Datin Loh Mei memberi penekanan terhadap hubungan kekeluargaan selain kaedah yang bijak dalam menguruskan kewangan keluarga di samping memberikan pendedahan kepada golongan kanak-kanak mengenai keselamatan mereka.

Pihak penganjur program juga memberi tumpuan kepada golongan ibu bapa untuk menguruskan institusi keluarga mereka dengan lebih profesional.

Dari segi pengurusan sesebuah keluarga, program ini turut memberikan panduan yang berkesan untuk menyelesaikan masalah keluarga terutamanya bagi golongan muda.

Berteraskan kepada kemajuan intelek, semangat diri serta bijak menyeimbangkan emosi ketika menghadapi masalah adalah perkara yang turut dibincangakan dalam seminar itu.

Segmen pertama seminar yang bermula pada pukul 10.30 pagi itu dimulai dengan segmen "Men are from Mars, Women are from Venus" (Kaum lelaki dari Marikh, Kaum wanita dari Zurah) memfokuskan kepada golongan ibu bapa sebagai pendokong sesebuah institusi keluarga.

Manakala segmen kedua "Children are From Heaven" (Anak-anak dari Syurga) pula lebih tertumpu kepada usaha membimbing golongan kanak-kanak dalam meniti kehidupan mereka selain memberi penekanan terhadap aspek keselamatan terutamanya untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: