
“Soal anak ini bergantung pada rezeki. Kami tidak pernah merancang, kalau ada, adalah. Tapi kalau tak ada pun, tak mengapa, biarlah kami hidup berdua dulu.
“Bila saya tengok PA saya sibuk dan kelam-kabut dengan anak-anaknya, saya pun jadi runsing dibuatnya. Tak tahu macam mana kalau saya berada di tempatnya. Tapi kalau dah ada rezeki, saya terima saja,” kata Mawi yang ditemui ketika pelancaran album Muzik Hit Era Terkini, di The Curve, Damanasara baru-baru ini.
Bercerita tentang perancangannya sempena tahun 2010 ini, Mawi memberitahu, dia dan Ekin kini dalam proses membina sebuah medan selera di Mariamah, Johor Bahru.
“Dah lama saya dan Ekin nak buka kedai makan dan bila kami dapat tahu ada tanah kosong yang sesuai untuk dijadikan tempat makan-makan, jadi kami berusaha untuk membina medan selera di situ. Buat masa ini, bangunannya sedang dalam proses dibina dan kemungkinan besar akan siap pada awal tahun ini juga.
“Saya bercadang untuk menamakan medan selera ini sebagai ‘Lambai-Lambai’. Tapi masih belum pasti lagi sebab hanya itu yang terlintas di fikiran saya. Dari segi menu, saya ingin membuka beberapa gerai dengan pelbagai menu makanan dan sewakan pada orang yang berminat untuk berniaga di situ.
“Setakat ini, saya dan Ekin masih belum bercadang untuk membuka gerai sendiri, sebab tak ada masa nak uruskannya. Jadi lebih baik, kami sewakannya saja,” kata Mawi yang sudah membelanjakan kos RM40,000 untuk medan seleranya.
Beralih tentang perkembangan seninya pula, Mawi berkata, banyak agenda yang sudah diaturkan oleh syarikat pengurusannya, Asto Entertaiment Sdn Bhd (AESB)sepanjang tahun baru ini. Selain akan sibuk dengan promosi album barunya, ‘Idola’, Mawi juga bakal mengadakan konsert mini sempena pembukaan tirai AF musim kelapan pada bulan Mac ini.
Menjelaskan tentang album barunya itu, kata Mawi, Idola hanya membuatkan lagu-lagu duetnya bersama artis idolanya seperti M Nasir, Ogy Ahmad Daud, Hattan, Zamani (Slam) dan ramai lagi.
“Album ini dah dirancang dua tahun lepas dan baru sekarang dapat disiapkan. Ia mengambil masa yang agak lama sebab ia melibatkan ramai penyanyi ‘otai’ dan bukannya mudah untuk mendapatkan mereka,” katanya yang ada juga memberitahu bahawa album tersebut diilhamkan oleh sahabatnya, Osman Mahmud.
Dalam perkembangan lain, Mawi turut memberitahu, dia berhasrat untuk mengadakan konsert solo secara besar-besaran pada tahun ini.
“Sejak tahun lalu lagi, saya teringin nak buat persembahan secara solo yang berkonsepkan ‘magic’ tapi masih belum kesampaian. Insya-Allah dalam tahun ini saya nak cuba realisasikannya dan sekarang pun dalam proses perbincangan. Apa pun saya tak boleh nak cerita lebih tunggulah nanti,” kata Mawi yang akan memberi tumpuan terhadap konsert mininya sempena AF8 nanti.
Selain itu, Raja SMS ini juga masih giat menguruskan produksinya, Mawi World Entertaiment, dengan menerbitkan pelbagai drama dan juga telemovie. Jelas Mawi, telemovie Jiwa Kacau (telemovie), dan dua drama bersiri terbitannya, Cinta Nami Island dan Gincu Cikgu Salbiah akan ditayangkan di Astro dalam masa terdekat ini. Malah kata Mawi, dia turut terlibat sebagai ‘cameo’ dalam ketiga-tiga projeknya itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: