Friday, January 1, 2010

Malam Berinai Kecil Ala Maghribi Serina Tercemar Dek Ketiadaan 'MC'

Serina kelihatan persis Puteri Maghribi ketika menggayakan persalinan utama yang berkonsepkan Maghribi dengan rona hitam rekaan Jovian Mandagie.

KEINDAHAN malam ala Maghribi sempena majlis berinai kecil anak perempuan Chef Wan, Serina Redzuawan pada malam tadi tercemar gara-gara ketiadaan pengacara majlis (MC) Zalina Azman, bekas personaliti TV3.

Menurut Chef Wan, masalah tersebut berlaku apabila Zalina tersalah faham dengan dua buah majlis berinai yang dirancang dalam resepsi perkahwinan Serina.

“Zalina salah faham dengan majlis itu dan meminta maaf kerana tidak dapat hadir melalui SMS sahaja pada saat-saat akhir.

“Saya kecewa dan terkilan dengan tindakan Zalina yang memaklumkan tidak dapat datang pada saat-saat akhir melalui SMS. Jadi, saya nak minta maaf kepada pihak media kerana membuatkan media tidak selesa dan terpinga-pinga dengan tentatif majlis ini.

Serina dan bakal suaminya, Gavin atau Salahudin Ghafar.

“Bagaimanapun, saya menganggap apa yang berlaku ini mungkin dugaan dari Tuhan,” kata Chef Wan yang turut risau dengan kelancaran majlis itu.

Difahamkan, Zalina telah menerima bayaran untuk melunaskan tanggungjawab tersebut. Atas sebab itu, Zalina berjanji akan mengendalikan majlis berinai besar di NEO, Jalan Sultan Ismail pada malam esok.

Bakal pengantin bersama bapa Serina, Chef Wan dan ibu Serina, Norhayati Ayob.

Walaupun begitu, majlis itu tetap berjalan dengan lancar dan meriah tanpa pengacara majlis di Al Halabi lounge, J.W Marriott, Kuala Lumpur.

Pada pukul 9.30 malam, Serina muncul mengenakan empat persalinan secara satu persatu dalam majlis itu.

Serina juga menggayakan kebarung songket berwarna hijau.

Serina kelihatan persis Puteri Maghribi ketika menggayakan persalinan utama yang berkonsepkan Maghribi dengan rona hitam rekaan Jovian Mandagie ditambah pula dengan solekan Baby Elle.

Menariknya mengenai persalinan ini, persalinan itu mengikut potongan kaftan berpanel dihiasi 20 jenis manik yang pelbagai bentuk.

Tiga lagi persalinan termasuk kebarung songket berwarna hijau, cheongsam bermotifkan naga, gaun petang berwarna kelabu beserta tiara dan layah ditaja oleh Butik Pengantin Nasha dari Ipoh, Perak. Kegemerlapan empat persalinan Serina di majlis itu turut diserikan dengan sebuah persembahan tarian ala padang pasir (bally dance) oleh tiga orang penari dari Malaysia, Mexico dan Lubnan.

Majlis yang selesai menjelang tengah malam itu dihadiri oleh lebih 100 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat.

Serina dan bakal suaminya, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar akan dinikahkan pada pukul 11 pagi esok di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

Seterusnya, pasangan pengantin akan diraikan dalam majlis berinai besar pada sebelah malamnya di NEO, Jalan Sultan Ismail sebelum melalui majlis bersanding pada esoknya di The Royale Chulan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: