Friday, January 1, 2010

Program Aduan Rakyat beri ruang luah masalah



KARTINI bersama replika kunci rumah yang diserahkan ahmad Fuad dan turut disaksikan Ahmad, Farid dan Johan serta pasukan aduan rakyat.

WAKTU siaran yang singkat tidak mungkin Buletin Utama melayan semua masalah diadukan penontonnya. Disebabkan terlalu banyak aduan yang diterima, TV3 berasakan mereka tidak patut berdiam diri dengan keluhan masyarakat.

Daripada situ, stesen TV ini melahirkan program yang diberi nama Aduan Rakyat. Program sebanyak 13 episod yang bakal menemui penonton secara rasminya pada 6 Januari dengan tujuan menyelesaikan masalah berkaitan masalah komuniti, kerosakan harta benda awam, ketidakadilan dalam isu pengguna, kekurangan infrastruktur kepada golongan kurang upaya, isu berkenaan pengangkutan awam, penjelasan mengenai perkhidmatan sektor awam dan lain-lain.

Empat wartawan berpengalaman di stesen penyiaran ini yang menjadi tulang belakang kepada program Aduan Rakyat ialah Karam Singh Walia, Jaffry Azman Dahalan, Puspavathy Ramaloo dan Loo Tung Seang.

Masalah pertama yang berjaya diselesaikan pasukan Aduan Rakyat ialah kes ibu tunggal Kartini Lahi, 41. Dia menetap di tingkat 22, PPR Raya Permai Sungai Besi mengadu menghadapi kesukaran untuk membawanya anaknya yang koma kerana kemalangan motosikal pada Mei lalu, untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Ini kerana lif di kediamannya sering rosak. Dengan bantuan daripada Aduan Rakyat, Kartini berjaya mendapat pembelaan apabila dipindahkan ke tingkat satu.

Majlis penyerahan kunci rumah disampaikan oleh Datuk Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail serentak dengan pelancaran program Aduan Rakyat. Ia turut dihadiri Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial, Media Prima Berhad (MPB), Datuk Ahmad Abdul Talib; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Seri Farid Ridzuan dan Pengerusi Eksekutif MPB, Datuk Johan Jaafar.

Selain masalah Kartini Lahi, episod pertama akan turut memaparkan beberapa lagi masalah iaitu pelepasan sisa toksik dakwat percetakan di Jalan Kapar, Klang sehingga mengancam penduduk juga dapat diselesaikan. Masalah berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh setengah hari saja, juga kisah ancaman ulat serta kegiatan pelacuran di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Ahmad berkata program Aduan Rakyat diwujudkan bukan untuk memburukkan mana-mana pihak sebaliknya masyarakat boleh menjadikannya sebagai platform untuk mengadu masalah dihadapi.

“Kami tidak menjanjikan penyelesaian tetapi kami akan berusaha sedaya upaya membantu penonton. Kami tahu masyarakat di luar sana berdepan dengan pelbagai masalah. Masalah memang tidak pernah selesai namun kami akan cuba bantu apa yang terdaya.

“Kami tidak janji masalah dapat diselesaikan dalam tempoh sehari, ia bergantung juga kepada sejauh mana seriusnya masalah itu. Sesetengahnya memerlukan masa yang lama kerana wartawan kami perlu turun naik ke banyak tempat bagi menyelesaikan masalah dikemukakan.

“Program ini diterbitkan bukan untuk menuding jari kepada sesiapa, kami mahu membawa isu yang dikemukakan ketengah supaya dapat bekerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk menyelesaikan masalah dihadapi penonton kami. Setakat ini, kami mendapat kerjasama cukup baik dari pihak berkuasa,” katanya.

Beliau menegaskan Aduan Rakyat berbeza dengan program 360, Bersamamu ataupun 999. Ini kerana 360 berkaitan isu sosial sementara Bersamamu membabitkan individu yang memerlukan bantuan kewangan, sedangkan tiada tabung diwujudkan untuk Aduan Rakyat sebaliknya ia mengharapkan kudrat empat wartawannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: