Thursday, January 21, 2010

Makyung untuk semua golongan


POSTER Makyung Anak Raja Dua Serupa yang akan berlangsung di Istana Budaya, gandingan Rosnan dan Juhara sebagai pasangan kembar.

Seni warisan berzaman dipentaskan selama tiga hari di Istana Budaya

SELEPAS diiktiraf sebagai Kesenian Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco), Makyung mula mendapat perhatian dan boleh diikuti di institusi pengajian tinggi awam dan swasta sebagai kursus wajib diambil pelajar.

Makyung dilihat semakin terbela dan dengan adanya dua generasi muda hari ini iaitu Rosnan Rahman dan Juhara Ayub yang bakal mementaskan Makyung Anak Raja Dua Serupa di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 22 hingga 24 Januari ini.


Satu-satunya watak Pakyung yang masih kekal di negara kita, Rosnan Rahman berkata, tidak kenal maka tidak cinta, bermula daripada suka-suka akhirnya menjadi tanggungjawab yang harus di galas hingga ke hari ini.


“Saya mengenali Makyung pada tahun 2001 ketika menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 1995. Disebabkan tidak ada ramai generasi muda berminat untuk mewarisi Makyung terutama watak Pakyung, saya mengambil tanggungjawab ini untuk mempertahankannya. “Sebenarnya saya turut mewarisi darah seni ini daripada datuk saya yang suatu masa lalu aktif membuat persembahan Makyung Kedah. Ketika saya di Universiti Sains Malaysia (USM), saya cuma suka-suka saja kerana setiap pelajar harus mengambil mata pelajar kokurikulum dan saya memilih Makyung.

"Secara kebetulan apabila saya mula berkhidmat di Istana Budaya pada 2001, saya memegang jawatan Pegawai Kebudayaan dan dipertanggungjawab untuk menghidupkan Makyung. Dari situlah saya mula belajar Makyung ini secara individu daripada cikgu Fatimah,” katanya yang ditemui dalam sesi latihan Makyung di Istana Budaya.

Rosnan berkata, dalam setiap tugasan memang tidak dapat lari daripada cabaran terutama untuk menyesuaikan diri dengan Makyung itu sendiri.

"Pada awalnya menghadapi masalah juga untuk membawa Makyung ini terutama untuk menguasai bahasa Kelantan kerana saya berasal dari Kedah dan pernah mengikuti kumpulan Makyung Kedah. Namun itu bukan menjadi beban sangat kerana dalam masa beberapa bulan saja saya sudah mampu menguasai bahasa orang Kelantan.

"Menjadi Pakyung kita harus pandai menyanyi, menari dan berlakon. Paling sukar adalah menyanyi. Nyanyiannya sangat berbeza dengan lagu-lagu biasa, lenggok harus mengikut tempoh yang betul bersama iringan muziknya.

"Sehingga kini sudah lebih 40 pementasan Makyung pernah saya terbabit baik di IB mahupun di luar dan saya rasakan ia menjadi satu warisan yang akan diminati generasi muda tidak lama lagi," katanya yang memegang watak sebagai Iras Kesuma dalam pementasan Makyung Anak Raja Dua Serupa.

Bagi Juhara Ayub yang memegang watak sebagai Alam Kesuma berkata, pembabitan dalam kesenian Makyung bermula sejak tahun 1994 ketika mengikuti kursus wajib kokurikulum di Akademi Seni Kebangsaan (Aswara).

"Memandangkan ia adalah kursus wajib jadi tidak seorang pun yang akan terkecuali daripada mengambil tahu mengenai Makyung. Pada setiap penghujung semesta kami diminta mementaskan Makyung dan saya diberi peranan sebagai Pakyung.

"Bermula dari situ saya merasakan peranan itu terlalu berat dan tidak boleh membuatnya sambil lewa saja. Saya belajar daripada primadona Makyung yang terkenal iaitu Khatijah Awang.

"Lama kelamaan saya dapat merasakan kesenian Makyung ini sesuatu yang unik dan menyeronokkan. Sehingga kini sudah lebih lima pementasan Makyung sudah saya ikuti,” katanya yang kini bertugas sebagai pembantu pensyarah di Aswara.

Persembahan Makyung yang dijayakan Kumpulan Makyung Seri Nilam IB mendapat suntikan daripada guru dan primadona Makyung terkenal, Fatimah Abdullah yang turut diwarisinya daripada keluarganya.

Menurut Fatimah, masyarakat kita lebih mengenali Makyung yang didatangkan dengan 12 cerita kerana cerita pokoknya adalah 12.

“Anak Raja Dua Serupa ini tidak termasuk di dalam cerita 12 itu, namun ramai yang tidak mengetahui lebih lanjut, sebenarnya Makyung mempunyai lebih 30 cerita di dalamnya.

“Cerita 12 lebih popular kerana ia sudah dibukukan, namun saya sempat mewarisi kesemua cerita Makyung daripada keluarga saya. Daripada 12 cerita itu kebanyakan cerita sudah saya dipentaskan. Kali ini adalah cubaan kedua saya mementaskan Makyung di IB, namun cabarannya tetap ada di mana kelainannya akan dapat disaksikannya apabila menonton pementasan ini pada 22 hingga 24 Januari nanti,” katanya yang turut bergandingan dengan Lokman Ghani sebagai pengarah bersama.

Selain Rosnan dan Juhara, pementasan Makyung turut menampilkan Sabri Yunus, Norsiah Md Yatim, Romli Abdullah dan artistana IB serta pemuzik Istamuzika.

Sinopsis Makyung Anak Raja Dua Serupa

Mengisahkan dua beradik kembar iaitu Iras Kesuma dan Alam Kesuma yang terpisah sejak kecil. Iras Kesuma terpisah dengan adik serta keluarganya kerana diculik oleh Raja Lanun. Apabila keduanya sudah dewasa, Iras Kesuma meminta izin ayahandanya untuk pergi mengembara sambil menambahkan pengalaman melihat dunia luar. Iras Kesuma berkahwin dengan Puteri Mayang Sari terpaksa meninggalkan isteri demi memenuhi hasrat dan impiannya. Pada masa sama Alam Kesuma meminta izin kepada Raja Lanun untuk mencari ayah kandungnya sebelum berkahwin dengan Puteri Hitam Sebelah.

Semasa dalam pelayaran, Iras Kesuma dan Alam Kesuma sebenarnya sudah berselisih ketika dalam perjalanan masing-masing, namun Iras Kesuma dan anak kapalnya singgah dan berlabuh di pantai yang dikuasai Raja Lanun. Apabila Raja Lanun dimaklumkan terdapat sebuah kapal berlabuh di kawasan perairannya maka beliau begitu marah kerana menyangkakan itu adalah Alam Kesuma yang cuba belot dan menyerangnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: