ALYAH (kiri) dan Ziana Zain memukau penonton dengan persembahan hebat mereka. |
Majlis sambutan ulang tahun kedua portal hiburan murai.com.my berlangsung meriah di Hotel Palace of the Golden Horses
DENGAN menggunakan tema 80-an, majlis sambutan ulang tahun kedua portal hiburan murai.com.my (Murai) yang diadakan di dewan utama Hotel Palace of the Golden Horses berlangsung dalam suasana cukup meriah.
Bukan sekadar gemerlapan dengan kehadiran begitu ramai selebriti dari era terdahulu sehingga era terkini, acara yang disusun seperti lintasan permaidani merah, persembahan artis dan pertunjukan fesyen sempena kemunculan segmen baru, Stailista, memeriahkan lagi majlis terbabit.
Kejayaan itu pula bukan sekadar disokong penyiaran berita hiburan terkini, dari dalam dan luar negara, bahkan kehadiran beberapa program yang dianjurkan mereka turut menyumbang kepada kesedaran khalayak ke atas kewujudan portal berkenaan. Antara program yang sudah pun dianjurkan Murai termasuk Aksi Murai, Skrin Amatur, Hari Alam Sekitar Sedunia Bersama Zoo Negara dan Yok Sahur.
Portal yang mempunyai kelab komuniti dikenali Geng Murai itu sendiri sering dipilih sebagai portal hiburan rasmi beberapa rancangan televisyen dan filem popular seperti Akademi Fantasia, Sehati Berdansa, Raja Lawak, siri Kau Dan Aku, siri Mama Murai dan filem ...Dalam Botol.
| KAKITANGAN Murai memotong kek ulang tahun kedua. |
Pada majlis sambutan ulang tahun terbabit, antara artis yang sudi menghadirkan diri termasuk Ramlah Ram, Ayati Tasrip, Azizul Khamis, Rohana Jalil, Linda Onn, Farawahida, Mawi dan Ekin, Lisa Surihani, Lisdawati, Fazli Zainal, Black, Lufya, Isma, Nita, Zahid, Iz Sulaini, Shila dan ramai lagi.
Selain acara cabutan bertuah yang menjadi tumpuan ramai, hadirin pada malam itu turut terhibur dengan segmen persembahan yang dijayakan beberapa artis baru dan lama. Artis berkenaan termasuk Fazli Zainal, Ramlah Ram, Ella, Amylea, Raja Azura, Riot Kool, Izwan Pilus serta adiknya Aril.
Pada ketika hadirin mengagumi keupayaan Ramlah untuk terus melontarkan suaranya yang lantang ketika menyampaikan lagu berhantu, Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, penyanyi angkatan baru, Alyah, pula bagai mencuri perhatian dengan kehebatannya mempersembahkan dua lagu popular Francissca Peter, Ku Ke Udara Lagi dan Sekadar Di Pinggiran.
Selepas membuka mata peminat menerusi lagu Tak Mungkin Kerna Sayang pada tahun lalu, nampaknya Alyah sedikit demi sedikit mula mendapat tuahnya. Sekian lama mencuba, penyanyi ini bagai tidak bernasib baik sebelum ini apabila sering gagal mengetengahkan bakatnya ke depan. Kini, nasib Alyah mula berubah. Pastinya lebih banyak kelibat Alyah akan dapat disaksikan peminat pada masa akan datang. Kemunculan menyanyikan lagu popular Francissca pada majlis Murai itu tentu sekali membuka lebih banyak mata untuk mengagumi keupayaan sebenarnya.
Selain Alyah, kemunculan Ziana Zain buat kali pertama di khalayak ramai selepas melahirkan anak kembar Muhammad Ariel dan Siti Nour Kaseh pada 23 Julai lalu turut menarik tumpuan ramai. Ziana tampil sebagai model terakhir, memperagakan rekaan Syaiful Baharim, sebagai simbolik pelancaran segmen Stailista yang dikendalikan Haswari Ali.
Pereka lain yang menyumbangkan kreativiti mereka pada malam itu ialah Hatta Dolmat, Amir Luqman, Hazwani Osman, Sya Saharani dan Khairi Sufi. Ciptaan mereka digayakan oleh peragawati dari Ford Models Supermodel of the World serta model terkenal, Fadzlun Abas.
Bagi peminat yang tidak berpeluang memeriahkan sama majlis ulang tahun terbabit, mereka masih mampu melihat pelbagai rakaman menarik yang kini dipaparkan di portal hiburan popular berkenaan. Bukan itu saja, turut dipaparkan ialah wawancara belakang tabir bersama mereka yang terbabit dalam penganjuran majlis.
Diketuai Roslen Fadzil, portal itu diperkuatkan juga oleh Ellyna Ali, Mohd Razif Rosdi, Thani Hasbullah dan Helmi Zafawi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: