Wednesday, January 13, 2010

Jawablah!: Nash cukup istimewa


Betty tidak menolak kemungkinan menamatkan zaman solo dengan bekas penyanyi Lefthanded

SEBELUM ini tersebar desas desus yang mengatakan bahawa penyanyi dan pelakon Melayu-Jawa-Arab ini sudah mendirikan rumah tangga secara senyap-senyap dengan seorang bekas menteri. Namun menerusi akhbar sisipan B*Pop, Ahad lalu, penyanyi yang pernah muncul dengan album berjudul Welyana ini menafikan perkara itu.

Begitupun, belum reda gosip yang mengatakan dia sudah berkahwin, tiba-tiba, muncul pula gosip baru yang mengaitkan namanya dengan penyanyi duda, Nash. Khabar terbaru yang tersebar, si pemilik nama penuh Betty Banafe dan bekas vokalis kumpulan Lefthanded ini sedang hangat bercinta. Kononnya mereka kini dalam persiapan mahu mendirikan rumah tangga.

Apakah cerita cinta barunya itu memang sengaja digembar-gemburkan demi menutup kebenaran perkahwinan rahsianya itu ataupun sememangnya hati wanitanya itu sudah dihuni duda beranak enam itu. Bertemu Betty ketika parti Anugerah Juara Lagu pada malam Ahad lalu memberi peluang kepada Hip untuk bertanya lebih lanjut mengenai perkara ini.


Sambil menegaskan yang dirinya masih bersendirian, Betty juga tidak menafikan yang dia sememangnya rapat dengan penyanyi yang pernah terkenal menerusi lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu. Dan katanya lagi, andai suatu hari nanti jodohnya dengan lelaki itu, dia menerima segala ketentuan Tuhan dengan hati yang terbuka.

Hip: Benarkah khabar yang menyatakan Betty kini sedang hangat bercinta dengan penyanyi Nash?

Betty: Sepanjang kami berkenalan, tak dinafikan abang Nash memang lelaki yang baik. Dia cukup istimewa buat saya dan sikapnya yang sudi menjadi pendengar kepada setiap permasalahan saya membuatkan saya kagum dengan keperibadiannya. Malah, dia juga suka mengambil berat dan prihatin dan paling penting, dia seorang lelaki yang bertanggungjawab. Dan disebabkan itulah membuatkan saya selesa berkawan dengannya. Soal cinta, saya rasa hubungan kami masih belum sampai ke tahap itu. Cuma terus terang, buat masa ini dialah lelaki paling rapat dengan saya..

Hip: Kenapa tiba-tiba cerita cinta ini boleh timbul? Apakah ia sengaja ditimbulkan untuk melindungi cerita kononnya Betty sudah pun berkahwin secara senyap sebelum ini?

Betty:
Sebenarnya cerita mengatakan saya berkahwin dengan seorang bekas menteri adalah tidak benar sama sekali. Saya tidak pernah berkahwin dengannya dan saya masih solo. Walaupun saya mengenalinya kerana saya pernah terbabit dengan projek khas yang dikendalikannya tapi saya lihat dia bukanlah seorang yang suka mengambil kesempatan. Malah, isterinya juga mengenali saya. Jadi mana mungkin saya berkahwin dengannya. Dan cerita ini (hubungan dengan Nash) bukanlah direka-reka semata -mata untuk menutup cerita perkahwinan “rahsia” itu tetapi apabila kita membicarakan soal hati dan perasaan, inilah yang akan berlaku. Semuanya berlaku tanpa dirancang. Sejak mengenalinya sewaktu kami masih mereka sama-sama terbabit dalam dalam Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan). Apabila banyak aktiviti persatuan kami lakukan bersama membuatkan lama kelamaan, hubungan kami menjadi bertambah erat.

Hip: Tapi tidakkah Betty risau dengan latar belakang Nash yang sudah dua kali bergelar duda? Betty sanggup menanggung risiko?

Betty: Dalam hal ini, Betty percaya pada qada dan qadar Tuhan. Walau macam mana sekali pun kita cuba menolak sesuatu itu, tetapi kalau sudah ditakdirkan kita bertemu jodoh dengannya, pastinya kita tak dapat menolaknya. Selepas mengenali abang Nash, Betty akui dia seorang lelaki yang baik. Mungkin sudah menjadi takdirnya rumah tangga yang dibina tidak berkekalan namun dari segi kualiti seorang bapa penyayang yang ada padanya membuatkan hati saya tersentuh melihatnya. Dia boleh menjadi seorang bapa dan juga seorang sahabat yang baik. Bukan mudah untuk seorang bapa menjaga anak-anaknya sendirian tanpa seorang isteri namun Nash berjaya membuktikannya yang dia mampu melakukannya. Kualiti seperti itulah yang membuatkan saya tertarik untuk berkawan dengannya.

Hip: Apakah Betty serik untuk bercinta dengan lelaki yang belum pernah berkahwin?

Betty:
Memang sebelum ini saya pernah bercinta dengan lelaki bujang tetapi semuanya tidak bertahan lama. Saya adalah perempuan yang memang sukar untuk menyerahkan hati kepada sebarang lelaki. Selepas hubungan cinta saya yang tidak kesampaian sebelum ini, memang sukar untuk saya menerima mana-mana lelaki dalam hidup saya. Selagi saya tidak menemui lelaki yang betul-betul boleh membuatkan saya bahagia, selesa dan rasa dicintai, saya lebih selesa bersendirian.

Hip: Sebelum ini ada berita yang mengatakan kereta Betty yang hilang itu sebenarnya kena tarik. Boleh ulas sikit?

Betty:
Sebelum ini pihak hotel yang menjadi lokasi kejadian kes kehilangan kereta saya itu mengatakan hal yang sama. Mereka mendakwa kereta saya ditarik dan bukannya dicuri. Tetapi sebenarnya kereta itu sudah habis dibayar. Buat apa saya nak tipu. Malah polis yang menyiasat perkara itu pun mengesahkan yang kereta itu sudah dibayar. Jadi saya rasa tak perlu mempertikaikan hal itu lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: