Sunday, January 3, 2010

Ibu doakan rumah tangga Zizie bahagia



Pernikahan di antara pelakon Zizie Ezette dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah Datuk Bung Mokhtar Raden menjadi antara kontroversi penghujung tahun 2009. Pernikahan yang diadakan secara rahsia itu sedikit sebanyak mengundang tidak puas hati beberapa pihak. Namun bagi ibu Zizie, perkara itu sudah berlalu dan berharap tidak ada pihak yang akan bercakap mengenai isu pernikahan mereka lagi.

Kathy Fauziah, ibu kepada Zizie Ezette lega kerana anak perempuan kesayangan akhirnya menemui jalan kebahagiaan setelah beberapa kali gagal percintaan.

Kathy yang ditemui baru-baru ini berkata, dia sangat senang dan bahagia sekali melihat kehidupan baru anaknya itu. Ditanya bagaimana hubungan dengan menantunya yang juga aktif dalam dunia politik, Kathy hanya tersenyum dan melahirkan rasa syukurnya.

“Ibu mana yang tak suka tengok anak mereka bahagia. Bagi saya, siapa sahaja pilihan Zizie saya akan merestuinya. Mengenai hubungan saya dengan Zizie dan menantu saya setakat ini Alhamdulillah. Kami ok. Tidak ada masalah langsung. Sebagai ibu, saya berdoa mereka akan kekal bahagia.

“Apa yang saya harapkan, selepas ini, saya tak mahu ada lagi cerita-cerita yang tidak baik mengenai mereka. Alhamdulillah mereka sudah disatukan. Saya tak mahu ada lagi kenyataan yang boleh memberi kesan terhadap kebahagiaan yang sedang mereka bina.

“Cukup-cukuplah tu. Jangan lagi dipersoalkan tentang isu perkahwinan mereka. Apa yang sudah tu sudahlah. Saya tak mahu cerita apa yang sudah terjadi. Doakan yang terbaik sahaja buat mereka. Pasal jodoh ni semua bukan urusan kitakan. Saya pun dah malas nak jawab semua soalan orang. Saya harap Zizie kuat dan tabah dalam menghadapi setiap apa ujian dalam berumah tangga,” katanya.

Kathy juga enggan mengulas lanjut mengenai Zizie dan suaminya dan mengambil sikap mengunci mulutnya.

“Saya harap semua faham. Kadang-kadang apa yang kita cakap, orang salah tafsir. Jadi lebih baik saya berdiam diri saja. Cuma saya nak tekankan mereka berdua sangat bahagia. Kami sekeluarga juga bahagia melihat mereka berdua,” jelasnya.

Beberapa bulan lalu, industri seni hiburan tanah air sedikit gempar apabila Zizie dikaitkan bercinta dengan seorang VIP di kalangan ahli politik dari Sabah. Walau bagaimanapun, Zizie pada awalnya menafikannya. Tidak lama selepas itu, Bung Mokhtar tampil memberi kenyataan memang mengenali Zizie.

Tidak terhenti di situ, pasangan ini dikatakan telah bernikah secara senyap namun Zizie enggan membuka mulutnya dan meminta wartawan menyiasat sendiri. Bung Mokhtar akhirnya membuat pengakuan sudah bernikah dengan Zizie kerana tifak mahu lagi isu mengenai mereka berdua berlanjutan.

Zizie membuat penjelasan bukan sengaja mahu berahsia dengan peminat mahupun pihak wartawan mengenai status dirinya, cuma biarlah suaminya sahaja yang membuat kenyataan terlebih dahulu memandangkan Bung sudah beristeri dan mempunyai anak. Katanya, perkara itu sememangnya tidak salah di sisi agama cuma ada hati yang perlu dijaga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: