Friday, January 1, 2010

Diburu peminat misteri


MEMILIKI wajah kacak dikatakan mampu mencair hati mana-mana peminat wanita. Malah, ia dikatakan aset terbaik untuk lelaki menceburi bidang penyiaran sama ada lakonan mahupun nyanyian.

Biarpun begitu, aktor popular Jehan Miskin, 30, lebih gemar dikenali kerana bakatnya sebagai pelakon dan tidak lebih dari itu. Terbabit selama enam tahun dalam industri, sudah pelbagai pengalaman diterokainya sebagai anak seni. Nyata, populariti Jehan terus kukuh dan penampilannya sering menarik perhatian peminat wanita.

Justeru, tidak menghairankan apabila dia sentiasa dihambat peminat misteri menerusi panggilan telefon. Tidak tahu bagaimana nombornya diperoleh mereka, akui Jehan, situasi itu sedikit sebanyak mengganggu kehidupan peribadinya.

"Sejak dulu, saya tidak pernah menukar nombor telefon kerana nanti menyusahkan pengarah dan penerbit pula. Lagipun, nombor inilah sumber rezeki utama menerokai peluang tawaran berlakon filem, drama mahupun telefilem. Kalau saya tukar, ia ambil masa untuk memberitahu dan kemungkinan sebaran info tidak menyeluruh.

"Justeru, peluang gagal meraih tawaran berlakon amat besar kerana sukar dihubungi. Disebabkan itu, saya terus mengguna nombor sama biarpun selalu dijejaki peminat wanita. Saya pun tidak tahu bagaimana mereka begitu mudah mendapat nombor saya. Sebenarnya, saya tidak kisah tetapi kalau telefon jam 4.30 pagi dan cuma ketawa saja, itu sedikit sebanyak merimaskan dan mengganggu kehidupan saya.

"Bukan bermaksud tidak menghargai peminat kerana tanpa mereka siapalah saya, tetapi biarlah berpada. Sebagai contoh, saya ada seorang peminat misteri yang mempunyai karakter sangat unik. Awalnya, saya ingat dia sakit mental tetapi selepas beberapa lama mengenalinya barulah saya tahu dia tidak gila.

"Bayangkan, dia sanggup mengumpul semua artikel mengenai diri saya yang dikeluarkan di mana-mana akhbar. Segala keratan itu, dia simpan dan diberikan semasa hari jadi saya tahun lepas ketika penggambaran Mertua vs Menantu. Dia tidak beri sendiri dan agak terkejutlah apabila melihat semua artikel berkenaan.

"Ada artikel yang saya sendiri tidak sempat baca, tetapi dikumpul olehnya. Ketika itu, takut juga kerana mengandaikan dia mungkin peminat fanatik yang sanggup buat apa saja untuk artis pujaannya. Selepas dua minggu pemberian itu, saya cuba menghubunginya dan dari situ saya tahu dia tidak gila. Apa yang dilakukan, sekadar menghargai artis kesukaannya.

"Agak terharu kerana tidak sangka mempunyai peminat seperti itu. Setiap dua tiga bulan, dia akan hantar satu kotak penuh mengandungi artikel saya. Kalau diikutkan, bagus juga kerana saya tidak mempunyai masa mengumpul semua artikel berkenaan. Jadi, bila ada orang tolong kumpul segala artikel itu, secara tidak langsung mengelakkan saya dari terlepas baca.

"Walaupun dia selalu menghantar khidmat pesanan ringkas (sms), tetapi ia tidak merimaskan kerana di akhir sms dia akan nyatakan 'tak jawab pun tak pe. Saya faham awak sibuk'. Melihat gayanya, seronok kerana merasakan diri begitu dihargai. Mungkin, satu hari saya akan buat kejutan kepadanya," katanya ketika ditemui di majlis Ramah Mesra bersama pelakon Dimensions di Callifornia, Pizza, KLCC, baru-baru ini.

Sebelum ini Jehan yang pernah menyuarakan tidak percaya dengan institusi perkahwinan, kini semuanya berubah. Malah, jejaka tinggi lampai ini mengakui dalam proses mengenali seseorang. Bukan di kalangan orang seni, beritahu Jehan, dia mensasarkan berkahwin ketika umur menginjak 35 tahun."Masih awal lagi dan saya tidak mahu berbicara lanjut mengenainya. Cuma, apa yang boleh saya katakan ialah kami dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

"Memang target saya untuk berkahwin ketika umur 35 tahun tetapi semuanya adalah perancangan. Kita tidak tahu apa berlaku kemudian dan saya cuma berserah kepada-Nya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: