Friday, January 1, 2010

'2009 milik kami'


PERTEMUAN dua artis remaja popular, Liyana Jasmay dan Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz AF7 berlangsung dalam suasana ceria.

Mereka berdua digandingkan kerana prestasi memberangsangkan sepanjang 2009.

Liyana melayar kejayaan dalam lakonan apabila menang Aktres Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) menerusi Papadom dan di Anugerah Skrin 2009 untuk lakonannya dalam Kami The Movie.

Hafiz pula mengorak langkah dalam dunia nyanyian selepas menjuarai AF7 manakala lagu Masih Jelas, layak ke Anugerah Juara Lagu ke-24 yang akan berlangsung 10 Januari ini.

Baik Hafiz mahupun Liyana, masing-masing ligat berkongsi cerita, apatah lagi inilah kali pertama mereka digandingkan bersama bagi sesi fotografi.

Pernah berjumpa ketika bergelar pelajar AF dan selepas itu tiada lagi, beritahu Hafiz, dia agak malu-malu untuk beramah mesra dengan Liyana yang sudah 12 tahun bergiat dalam seni berbanding dirinya baru setahun jagung.

Ingin menembus kembali, Hafiz yang kelihatannya sudah pandai berkomunikasi berbanding dulu menggunakan kesempatan yang ada sebaiknya untuk mengenali lebih dekat aktres berwajah comel ini atas jalinan persahabatan.

Dengan pencapaian membanggakan Liyana, tidak salah sekiranya 2009 adalah tahun milik Liyana.

Anak bongsu daripada empat beradik ini dengan rendah diri menafikan dirinya mencipta kejayaan hebat sepanjang tahun ini.

"Alhamdulillah, saya amat berpuas hati dan bersyukur dengan pencapaian diterima sepanjang 2009. Sejujurnya, memenangi dua anugerah adalah di luar jangkaan dan semuanya berkat doa mama yang tidak henti-henti atau jemu mendoakan kebahagiaan anak-anaknya.

"Rezeki diterima hari ini mengingatkan saya agar lebih berhati-hati dan tidak mudah lupa diri.
"Malah, saya tidak berani menyatakan 2009 adalah tahun saya kerana ramai lagi penggiat seni seperti Afdlin Shauki, Erma Fatimah menang anugerah. Cuma, apa yang penting saya sentiasa menganggap setiap tahun adalah tahun saya untuk terus memperbaiki kualiti lakonan dari semasa ke semasa.

"Bagi saya menang anugerah bukan bermaksud kualiti lakonan saya sudah bagus dan tidak perlu kejar ilmu lagi. Rezeki itu datang dari Allah s.w.t dan setiap manusia perlu berusaha mencari peluang yang ada untuk buat terbaik," katanya.

Mengimbau sejarah dilalui sepanjang 2009, Liyana berkata, segala yang berlaku diterima dengan positif walaupun pernah dihimpit kontroversi apabila dikatakan semakin 'kekwat' selepas memenangi anugerah.

Malah, karier baru yang diceburinya yakni nyanyian pernah dikecam hebat kerana dikatakan merosakkan lagu dan tidak layak bergelar penyanyi.

"Saya tidak boleh paksa semua orang sukakan kita dan inilah rencah kehidupan insan bergelar selebriti. Ada yang suka dan ada yang tidak.

"Sejujurnya saya tidak pernah ambil hati apabila dikritik hebat kerana melihatnya dari sudut positif. Malah, saya bersyukur media banyak membantu menaikkan nama saya di mata industri hiburan tempatan. Saya rasa bertuah kerana wartawan di sini tidak seperti negara luar yang sentiasa menghantui kehidupan artis," katanya.

Menurut Liyana, dia tidak meletakkan harapan besar pada 2010, tetapi mendoakan agar ia menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya. Kata gadis comel ini, dia akan kembali menyambung pelajaran kolejnya yang tertangguh mulai Mac ini.

"Tahun ini saya akan fokus kepada tiga bidang iaitu pelajaran, nyanyian dan lakonan. Cemburu pula apabila melihat kawan-kawan lain sudah habis belajar. Jadi, saya rasa sesibuk manapun saya perlu curi masa untuk tamatkan pelajaran. Mungkin, tahun ini agak 'hectic', tetapi saya tahu bahagikan masa dengan baik.

"Lagipun, saya cuma ambil dua subjek saja dan rasa tidaklah beban sangat. Cuma, tahun depan agak sukar sikit kerana sem akhir. Karier nyanyian akan diteruskan seperti biasa dan saya akan keluarkan single, Penyelamat Cinta pada Mac ini. Malah, saya akan bekerja kuat mempromosikan lagu dalam album saya, Liyana Jasmay.

"Dari sudut lakonan pula, saya sasar berlakon tiga filem termasuklah Papadom 2. Ada tiga pengarah yang saya ingin bekerjasama iaitu Osman Ali, Chris dan Saw Teong Hin. Sebagai pelakon, kita perlu sentiasa mencari peluang bekerja dengan pelbagai pengarah untuk timba banyak ilmu dan pengalaman," katanya.

Bagi Hafiz, kemenangan sebagai juara AF7 membuka ruang besar kepadanya untuk melebarkan sayap dalam bidang digemari, muzik.

Mempunyai impian besar pada tahun ini untuk terus mengorak langkah sebagai anak seni, akui Hafiz dia agak takut apabila pencarian bakat baru AF musim kelapan sudah bermula.

"Tipulah kalau saya kata tidak takut. Perasaan negatif itu tetap ada tetapi saya melihatnya dari sudut positif sebagai persaingan sihat. "Setiap orang mempunyai kelebihan tersendiri yang membezakan dari lain. Lagipun, industri perlu lahirkan banyak pelapis untuk bersaing dengan muzik negara luar, terutamanya Indonesia.

"Kejayaan paling besar sepanjang 2009, sudah tentulah apabila lagu Masih Jelas terpilih antara 14 lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu 24. Bagi pendatang baru seperti saya dengan ilmu masih tidak mencukupi, amat bersyukur dan menerima keputusan itu sebagai rezeki.

"Azam saya tahun ini ialah memperbaiki kualiti vokal, persembahan dan komunikasi. Biarpun ramai menganggap vokal saya sudah bagus, tetapi saya rasa masih banyak teknik perlu dipelajari.

"Lagipun, ilmu vokal yang diperoleh sepanjang tiga bulan di akademi tidak mencukupi sebenarnya. Ia sebagai asas dan saya rasa perlulah cari mana-mana peluang untuk terus mendalami ilmu vokal.

"Saya ingin menjadi penyanyi yang mempunyai suara mantap dan untuk itu saya rasa perlu belajar vokal selama tiga atau empat tahun untuk mencapai tahap itu. Saya juga ada hasrat menggubah lagu dan mencipta lirik kerana jiwa saya dengan muzik amat sebati.

"Selain itu, saya ingin kumpul banyak duit untuk beli rumah dan bawa keluarga tinggal sekali di sini. Saya juga berhasrat sambung balik pelajaran di Kolej Pusat Teknologi Pengurusan Latihan (PTPL), Kuching, Sarawak yang tertangguh sebelum ini kerana itu perkara wajib sebagai jaminan masa depan. Mungkin, saya akan minta 'transfer' belajar dekat sini agar senang sikit dengan perjalanan karier seni," katanya.

Beritahu anak kelahiran Sarawak ini, dugaan paling besar sepanjang 2009 apabila berjauhan dengan keluarga.

Bagaimanapun, dia menganggap itu semua sebagai satu pengorbanan untuk mencari rezeki halal membantu keluarga.

"Saya anak sulung jadi sudah tugas saya meringankan bebanan keluarga. Setiap kerja tidak kiralah profesional ataupun tidak, semuanya sukar. Apa yang penting, minat dan usaha tidak henti, akan membuahkan hasil suatu hari nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: