TAHUN lalu, peminat diperkenalkan kepada seorang lagi pelakon lelaki baru, Mahesh Jugal Kishor. Dia diberikan ruang untuk menonjolkan bakat lakonan menerusi filem terakhir arahan arwah Yasmin Ahmad, Talentime.
Selain Mahesh, filem itu turut dibintangi Jaclyn Victor, Pamela Chong, Mohd Syafie Naswip, Adibah Noor, Azean Irdawaty dan ramai lagi.
Hasil lakonannya sebagai lelaki pekak, Mahesh dicalonkan pada peringkat akhir kategori Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22. Dia bersaing bersama empat lagi calon akhir iaitu Afdlin Shauki (Papadom), Que Haidar (Maut), Rashidi Ishak (Setem) dan Awal Ashaari (Syurga Cinta).
Pada Anugerah Skrin 2009 yang baru berlalu juga, Mahesh turut dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem, bersama-sama Mohd Asrul Faizal (Budak Kelantan), Eman Manan (Wayang), Adlin Aman Ramli (Los dan Faun) dan sekali lagi, Que Haidar (Maut).
Walaupun dia tewas dalam kedua-dua anugerah, masing-masing kepada Afdlin dan Eman, dua pelakon senior yang sudah terbukti kehebatan mereka, Mahesh tidak kecewa.
Cik Normah dengar, dia cukup berbangga apabila kemunculan pertamanya sudah berjaya menangkap perhatian juri sehingga melayakkannya duduk sebaris dalam senarai akhir yang rata-rata dikuasai pelakon lama lagi berkaliber.
Begitupun Cik Normah dapat tahu, anak muda yang belum pun mencecah usia 20 tahun ini terpaksa melupakan seketika minat barunya dalam lakonan. Bermula Januari ini, Mahesh difahamkan kembali ke Pulau Pinang untuk menyambung pengajiannya di sana.
Justeru, dia terpaksa mengetepikan dulu bidang lakonan walaupun tawaran untuknya muncul di layar perak dan skrin televisyen semakin bertambah. Anak muda ini, khabarnya, mahu menamatkan dulu pengajian sebelum kembali aktif berlakon.
Jika benarlah berita yang Cik Normah terima ini, Cik Normah harap Mahesh belajarlah betul-betul. Apabila sudah bersedia nanti, dan apabila sijil atau ijazah sudah berada dalam tangan, Mahesh bolehlah kembali beraksi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: