Thursday, January 14, 2010

Dari pentas ke konti radio


FERHAD (kiri) bersama dua rakan setugasnya di Mix FM (dari kanan) DJ Rudy dan Jay Menon.


PADA pukul 6 pagi 4 Januari lalu, barangkali para pendengar saluran radio Mix FM dapat merasakan kelainan apabila kedengaran suara baru muncul dari konti stesen radio tersebut.

Mana tidaknya, suara juruhebah lelaki yang kali pertama bersiaran di stesen berkenaan bukanlah sesuatu yang asing.

Sebelum ini, suara yang sama sering kedengaran di radio tetapi sebagai penyanyi dan ada masanya di pentas-pentas persembahan nyanyian mahupun melalui kaca televisyen (TV).

Bagi yang telah mengenali empunya suara itu juga tentunya tidak terkecuali tertanya-tanya apabila penyampai baru Mix FM terbabit membuka bicara dengan memperkenalkan dirinya di keheningan subuh itu.

Pagi itu bukan sahaja merupakan lembaran baru dalam diari kehidupan dan kerjaya Ferhad dalam bidang seni, malah ia juga menambahkan lagi kepelbagaian celoteh para penyampai di Mix FM yang kini semakin popular.

Sebagai insan seni yang sudah sebati dengan dunia nyanyian, penyanyi berusia 38 tahun ini menceburkan diri sebagai penyampai radio bukan setakat untuk mempelbagaikan lagi punca pendapatan serta kariernya semata-mata.

Sebaliknya, beliau menyifatkan tawaran daripada AMP Radio Networks sebagai 'suara baru' di saluran Mix FM itu sebagai sesuatu yang cukup bermakna dalam salah satu kerjaya seni yang pernah diceburinya setakat ini.

"Sebelum ini orang kenal Ferhad sebagai penyanyi. Peminat melihat saya menyanyi di atas pentas, muka keluar TV dan lagu-lagu nyanyian saya pula sering disiarkan di stesen-stesen radio. Tetapi sekarang ini, hanya suara saya sahaja yang keluar di radio.

"Saya sekarang ini bukan sahaja seorang penyanyi, tetapi juga seorang penyampai radio. Ini adalah kerjaya terbaru saya. Walaupun masih menyanyi tetapi tugasan sebagai penyampai radio di Mix FM kini lebih rutin sifatnya dalam kehidupan saya berbanding menjadi penyanyi," katanya pada suatu pertemuan dengan Hits, baru-baru ini.

Pada pertemuan selepas dia habis bersiaran di konti Mix FM menerusi segmen The All New Mix kendaliannya dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi itu, bapa kepada seorang anak lelaki ini kelihatan ceria dengan tugasan barunya itu.

Memulakan tugasan barunya di stesen radio di bawah naungan Astro itu sejak dua minggu lalu, penyanyi tinggi lampai dan berkulit hitam manis ini menjelaskan debarannya untuk bergelar penyampai radio bukanlah baru bermula.

Ini kerana, Ferhad yang sebelum ini pernah beberapa kali menerima tawaran sebagai penyampai radio tempatan seakan-akan tidak percaya dan menganggap seperti 'bulan jatuh ke riba' untuk bertugas di konti Mix FM yang dianggap begitu serasi dengan jiwanya.

"Sebenarnya, saya sudah memulakan siaran percubaan di Mix FM pada November dan Disember tahun lalu tetapi hanya ke udara mulai awal bulan ini," kata anak kelahiran Singapura ini berkongsi pengalaman barunya itu.

Sebetulnya, stesen radio yang mensasarkan usia pendengar antara 25 hingga 39 tahun itu disifatkan juga oleh Ferhad sebagai amat dekat dengan kerjayanya.

"Lagu-lagu yang disiarkan juga bersesuaian dengan lingkungan umur yang disasarkan melalui stesen ini pada setiap hari.

"Malah, saya juga rasa begitu dekat sekali dengan stesen ini bukan sahaja daripada segi lagu-lagu yang disiarkan tetapi usia saya juga hampir sebaya dengan sasaran penonton kami," ujarnya sambil ketawa kecil.

Sambil menyifatkan kerjaya barunya itu mempunyai cabaran tersendiri, Ferhad mengakui, dia terpaksa menambah pengetahuan amnya dari semasa ke semasa terutamanya sewaktu berinteraksi dengan para pendengar.

Katanya, pengalamannya sebelum ini sebagai penyampai di saluran Hit TV dari tahun 2006 hingga 2007 sedikit sebanyak membantu menambahkan lagi keyakinan dirinya apabila ke udara menerusi Mix FM.

Topik hangat

Apatah lagi menerusi Mix FM, Ferhad turut dibantu serta digandingkan bersama dua lagi penyampai Mix FM yang berpengalaman iaitu DJ Rudy dan Jay Menon dalam memeriahkan lagi suasana dalam segmen kendaliannya itu.

"Sebagai tonggak utama dalam segmen yang saya kendalikan pada setiap pagi, ramai pemanggil yang mengutarakan pelbagai isu semasa atau topik hangat yang diperkatakan. Di sinilah pengetahuan dan pengalaman lalu banyak membantu saya.

"Selain pernah muncul di TV melalui Hit TV, pada tahun 2008 saya juga pernah menjadi pengacara TV3 dalam rancangan Muzik Eksekutif Coke. Dalam keadaan industri muzik sekarang yang tidak menentu bukan saya seorang yang melakukan pekerjaan lain.

"Tetapi ramai lagi penyanyi yang melakukan perkara sama contohnya Misha Omar yang juga pernah menjadi pengacara dalam rancangan TV terbitan RTM baru-baru ini," katanya yang akan muncul dengan album single terbarunya bersama syarikat pengurusan Beyond Management sekitar Mac ini.

Apabila bercakap tentang rutin hidup dan jadual sehariannya selepas bergelar penyampai Mix FM setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi, Ferhad tidak menafikan ia suatu jadual padat yang ketika terpaksa dilaluinya.

Ferhad yang kini tinggal bersama keluarganya di Sungai Buloh, Selangor terpaksa bangun seawal pukul 4.30 pagi sebelum bersiap sedia untuk ke udara di konti stesen radio berbahasa Inggeris itu mulai pukul 6 pagi.

"Disebabkan karier baru saya itu, maka jadual harian saya juga berubah. Sekarang ini saya akan masuk tidur pada pukul 10 malam kerana perlu bangun pada pukul 4.30 pagi pada keesokan hari. Pada mulanya agak susah juga hendak bangun pagi.

"Tetapi lama kelamaan ia menjadi kebiasaan. Cuma dengan adanya jadual baru dalam hidup saya ini saya tidak dapat menghantar anak saya ke sekolah tadikanya pada setiap pagi. Tugas itu diambil alih oleh isteri saya.

"Bagaimanapun, saya akan sedaya upaya balik ke rumah sebelah tengah hari iaitu sekitar pukul 12.30 untuk mengambil anak saya balik dari sekolah.

"Sementara pada hari Sabtu dan Ahad pula saya tidak bertugas. Jadi, saya gunakan masa itu untuk bersama keluarga atau menerima undangan mengadakan persembahan pentas," ujarnya yang kini sedang dalam proses mendapatkan taraf penduduk tetap Malaysia.

Di kalangan penggiat muzik seperti komposer, penulis lirik, penyanyi dan pemuzik mereka sudah sedia maklum akan bahang serta kesan daripada kemeruduman yang sedang melanda dalam industri muzik tanah air sejak 10 tahun lalu.

Ramai di antara mereka yang kini tidak berapa aktif atau memberi 100 peratus tumpuan terhadap bidang muzik, sebaliknya cuba meneroka bidang-bidang lain yang berkaitan dengan muzik sebagai penerus karier masing-masing.

Golongan penyanyi contohnya, merupakan antara penggiat muzik yang tidak terkecuali menerima tempias daripada kelembapan industri muzik di seluruh dunia yang kini berdepan dengan masalah seperti cetak rompak dan muat turun lagu haram di Internet.

Justeru, ramai di antara mereka kini tidak setakat menjadikan bidang seni suara sebagai punca pendapatan semata-mata, tetapi turut menerokai bidang-bidang lain termasuklah dalam dunia penyiaran radio dan televisyen (TV) sebagai karier baru mereka.

Ferhad yang mula bergelar penyanyi ketika berusia 25 tahun misalnya, merupakan antara penyanyi yang berani mencuba bidang-bidang seni lain terutamanya penyampai radio dalam mengharungi senario tersebut.

Namun, sebagai penyampai baru di Mix FM apatah lagi bergelar penyanyi, beliau tidak menafikan sudah bersiap sedia dengan kritikan daripada para pendengar dan peminat muzik tanah air.

"Biasalah komen atau kritikan itu mesti akan timbul tetapi saya sudah bersedia menerimanya. Saya amat mengalu-alukan kritikan terutamanya yang positif bagi mempertingkatkan lagi mutu dan kreativiti penyampaian saya.

"Selain itu, mungkin akan ada juga yang mengatakan saya mesti mengutamakan lagu-lagu kawan-kawan rapat saya. Ini kerana, saya merupakan penyanyi tetapi ramai yang tidak tahu setiap radio ada peraturan sendiri.

"Sebagai contohnya, Mix FM hanya menyiarkan lagu-lagu atas permintaan para pendengar berdasarkan kaji selidik yang telah dijalankan. Jangankan mahu siarkan lagu-lagu kawan-kawan sendiri, hendak siarkan lagu-lagu saya sendiri pun belum tentu," ujarnya lagi sambil ketawa mengakhiri perbualan pada petang itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: