|  Tidak seperti tahun-tahun sudah, Datuk Siti Nurhaliza menerima hadiah beg tangan Louis Vuitton (LV) daripada suami tercinta sempena sambutan hari lahir ke-31 yang berlangsung di JW Marriot, Kuala Lumpur. Siti juga tidak keberatan menunjukkan beg berharga lebih RM40,000 itu untuk tatapan ketika sidang media yang berlangsung. Nyata beg edisi terhad itu memenuhi selera Siti yang sememangnya menggemari barangan berjenama LV. "Hadiah ini untuk menambah kegembiraan saja. Tapi apa yang penting sebenarnya cara suami menjaga dan melayan Siti," katanya.
Keriangan jelas terpancar di wajah isteri Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa apabila sahabat baiknya, Kris Dayanti turut hadir sama memeriahkan majlis. Majlis ini turut diadakan serentak dengan pelancaran album CTKD yang memuatkan enam buah lagu diantaranya Amarah, Hanya Dia, Jika Kau Tak Datang, Sebagai Teman, Tanpamu dan Dalam Diamku.
Datuk K ketika ditemui media tidak keberatan berkongsi cerita telah membawa isterinya bercuti selama dua minggu pada pertengahan Disember lalu di Barcelona, Dublin dan London sebagai hadiah sampingan.
"Sepatutnya majlis ini berlangsung semalam (10 Januari), namun Siti terlibat dengan Juara Lagu so kami tangguhkan ke hari ini. Rasanya tak perlulah saya beritahu apa hadiah yang diberikan kepadanya.
"Apa yang penting, saya harapkan kami terus bahagia dan dikurniakan cahayamata secepat mungkin," ujar Datuk K ringkas.
Belum Bersedia Menjadi Pengetua AF
Pernah ditawarkan untuk memegang jawatan Pengetua Akademi Fantasia tahun lalu, namun Siti jujur menjelaskan dirinya belum bersedia memikul tanggungjawab yang disifatkannya cukup berat.
"Bukan mudah untuk mendidik kerana Siti sendiri tidak ada persediaan rapi untuk itu. Takut nanti akan beri kesan yang tak elok kepada rancangan tersebut dan kepada karier. Siti perlu ada rancangan terbaik. Memang niat ingin berkongsi pengalaman dan mengajar artis baru tapi tunggulah masa yang betul-betul sesuai," ujarnya yang menerima tawaran Oktober tahun lalu.
|
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: