![]() ASWAD dan kumpulan Lastik bergambar kenangan dengan penerbit lagu di hadapan Monrods, Kelana Mall. Turut kelihatan Ketua Penerangan Wanita, Kota Raja, Faridah Omar. |
KECINTAAN pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Aswad atau nama sebenarnya Muhammad Nur Aswad Jaafar dalam dunia seni tidak pernah terhakis. Cuma tuah dan rezeki belum datang kepadanya untuk menyerlah. Kini selepas tanpa bimbingan Maestro, dia selesa merencanakan kerjayanya sendiri.
Namun dalam perjalanannya mencuba nasib, dia ini tidak menafikan terbit juga rasa kecewa dengan senario dunia hiburan kini termasuk hala seninya yang tak menentu. Lalu, sebagai percubaan terakhir, maka terhasil dua single terbaru sebagai pengubat laranya.
Kata lelaki kelahiran Pulau Pinang ini, dua lagu ini sebagai jalan yang akan menentukan apa juga kemungkinan yang bakal terjadi pada masa akan datang.
“Selepas ini, jika nasib tidak menyebelahi diri, saya mungkin akan memikirkan perancangan lain. Barangkali membabitkan diri dalam perniagaan atau pengurusan acara. Nak kata saya akan meninggalkan dunia seni secara drastik, mungkin tidak.
“Saya rasa perkatakan memperlahankan langkah paling sesuai digunakan. Saya hanya mampu berserah dan berusaha selagi termampu untuk membuktikan bakat seni saya. Tapi kalau bukan rezeki saya dalam bidang ini, apa lagi yang terdaya saya lakukan,” kata Aswad sewaktu majlis pelancaran dan pradengar dua buah lagu nyanyiannya berjudul Nurkasih dan Akulah Bayangmu ciptaan Yenkee di Monrods Kitchen, Kelana Jaya baru-baru ini.
Menurut Aswad, dia tidak pernah menghilang selama ini cuma kurang mendapat pendedahan di media. Akuinya lagi, dia masih memenuhi undangan membuat persembahan makan malam. Malahan dia juga pernah mencuba bakat sebagai pelakon menerusi drama Anak Mami siaran TV9 yang diarahkan Prof Madya A Razak Mohaideen.
![]() |
| ASWAD dan Nur Illina sedang menghitung hari untuk bergelar ibu dan bapa. |
“Selepas ini, saya akan mula mempromosikan dua lagu ini di radio. Malah saya juga akan kembali menghidupkan kelab peminat yang sudah sepi. Semangat saya menyanyi adalah atas sokongan keluarga termasuk peminat yang masih berhubung dengan saya.
“Untuk dua lagu berkonsepkan pop rock dan ala rock kapak ciptaan Yenkee itu saya laburkan duit sendiri mencecah RM5,000. Saya harap dua lagu ini mendapat sokongan untuk dimainkan di radio.
“Saya penyanyi buatan Malaysia, tapi kalau pihak radio sendiri bersikap sebaliknya dengan tidak mahu membantu mempromosikan lagu ini. Saya tak boleh nak kata apa-apa. Selain radio, saya mungkin akan mempertimbangkan untuk menjual dua single ini menerusi internet atau melalui usaha sama syarikat yang berminat,” kata Aswad sambil memberitahu sebagai permulaan 2,000 cetakan cakera padat dilakukan untuk tujuan promosi.
Selepas diamati, dua lagu yang diperdengarkan, sukar untuk meneka untung nasib Aswad di kemudian hari. Biarpun lagunya dikatakan mempunyai kelainan, namun melalui pengamatan Hip, semuanya lebih bersifat lebih kurang atau sama saja biarpun diakui Aswad sangat pemilih dalam pemilihan lagu.
Bukti sebelum terhasilnya dua buah lagu terbabit, Aswad pernah mendapat lagu baru sewaktu beraksi di pentas akhir AF5 berjudul Bila Mati Cinta Terhenti. Tapi jelasnya, lagu itu tidak kena dengan jiwanya. Begitu juga dengan single Naskhah Cinta yang disiapkan sekerat jalan.
“Saya lebih suka mencabar diri. Saya yakin saya lain daripada penyanyi yang ada di negara kita. Di Malaysia pun nak cari penyanyi yang betul-betul boleh menyanyi bukan senang. Kalau sama saja nada suaranya, lalu tidak akan ada cabaran buat penyanyi,” tegas Aswad.
Dalam perkembangan lain, jika tiada aral melintang, Aswad akan bergelar bapa sekitar Jun depan. Isteri Aswad iaitu Nur Illina Mohd Tahir yang bertugas sebagai kerani di firma guaman sedang mengandung tiga bulan. Sambil berseloroh, Aswad memberitahu dua single yang terhasil itu seperti rezeki anak.
“Teruja juga nak bergelar bapa. Dulu hidup seorang diri, sekarang berdua dan ke depan nanti insya-Allah akan bertambah isi rumah. Apabila bertambah tanggung jawab, bererti banyak perbelanjaan yang perlu diguna dan dibelanja. Justeru, saya berharap, Tuhan akan mempermudahkan apa yang saya sedang usahakan kini,” katanya yang menamatkan zaman solo pada 5 Jun tahun lalu.
Serentak dengan pelancaran dan pradengar dua lagu Aswad, turut dilakukan perkara yang sama untuk kumpulan rock baru, Lastik. Vokalisnya yang dikenali sebagai Baha adalah anak didik kepada kumpulan Jinbara. Kumpulan yang dianggotai lima orang itu mengetengahkan aliran muzik rock bebas.
Bagi Yenkee atau nama sebenarnya Yaakub Baharom selaku penerbit, dia yakin dengan kemampuan serta bakat Aswad dan Lastik dalam memeriahkan persada seni. Katanya lagi, ruang perlu diberi kepada bakat baru kerana ia bukti bahawa negara kita tidak pernah ketandusan pelapis muzik,
“Saya yakin dengan Aswad sejak dia di AF5 lagi. Aswad mampu digilap untuk pergi lebih jauh. Cuma peluang untuk dia menyinar itu belum ada. Kemampuan vokalnya tidak diragui lagi. Begitu juga dengan kumpulan Lastik yang masih tegar dengan genre rock biarpun zaman sekarang, ingatan kita mula dibiaskan dengan kumpulan indie,” kata Yenkee.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: