Wednesday, January 6, 2010

50 jahitan gara-gara diserang 'ikan yu'

BANDARAYA MELAKA – Bekas pemain bola sepak Piala Presiden Melaka, Mohd Helmi Leman, 25, parah di kaki dipercayai diserang ikan yu ketika bermandi-manda di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson, kelmarin.

Beliau yang pertama kali mengunjungi pantai berkenaan dipercayai diserang ikan yu berikutan dakwaan penduduk kawasan itu menyatakan ikan terbabit dikesan berada di beberapa lokasi.

Mangsa putus urat kaki dan menerima lebih 50 jahitan, ditempatkan di wad Hospital Melaka (HM) bagi menjalani rawatan susulan.

“Saya bersama enam anggota keluarga mengunjungi pantai berkenaan sempena cuti sekolah.

“Kira-kira jam 8.15 pagi ketika mandi manda di pantai bersama anak-anak, tiba-tiba ada benda datang menyerang kaki saya.

“Saya tidak nampak dan ketika kejadian orang tidak ramai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Isteri mangsa, Sabariah Sarip berkata, kejadian berlaku terlalu cepat, namun suaminya sempat menolak anak ke tepi.

“Masa tu saya lihat kaki suami sudah luka parah,” katanya.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Port Dickson bagi mendapatkan rawatan sebelum pindah ke HM.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan, Datuk Ab Karim Sulaiman berkata, Kerajaan Negeri dan Jabatan Belia dan Sukan akan berusaha mendapatkan bantuan untuk Helmi.

“Syukur kerana Helmi tidak apa-apa dan dakwaan ikan yu menyerang mungkin ada kebenarannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: