Tuesday, August 25, 2009

Bakat saja tak cukup




Kalau tiada peluang, susah untuk buktikan kemampuan sebenar sebagai anak seni

PERTEMUANNYA dengan penerbit filem, David Teo sewaktu menyertai pertandingan Road To Hollywood pada Mei lalu membuka ruang buat bakat baru, Putri Mardiana Zainal Abidin mencapai impian sebagai anak wayang.

Selama ini hasratnya itu dipendamkan lantaran tidak bertemu sesiapa yang boleh memberi jalan dan peluang menyerlahkan bakatnya. Biarpun pada awalnya terkejut dengan tawaran yang tidak disangka-sangka itu, namun jauh di sudut hati, bercambah juga perasaan teruja. “Minat untuk berlakon sudah lama, tapi tak tahu macam mana nak dapatkan peluang itu. Bagaimanapun, selepas selesai Road To Hollywood, acara saringan untuk World Championships do Performing Arts 2009 (WCOPA) di Los Angeles, David datang bertemu saya dan menawarkan berlakon dalam filem terbaru terbitannya pada waktu itu berjudul Santau.

“Selepas beberapa perbincangan, saya terima tawaran itu. Bukan sekadar untuk filem itu saja, tetapi juga menjadi artis residen Metrowealth selama lima tahun. Saya bersyukur kerana peluang yang dinantikan akhirnya tiba juga,” kata Mardiana atau lebih akrab disapa Nina.

Apabila memilih untuk berada di bidang ini, wanita berusia 27 tahun ini akur dengan cabaran yang perlu dihadapinya. “Saya tahu bidang ini banyak cabarannya. Ramai kawan-kawan mengatakan begitu. Saya sedar kita takkan boleh lepas dari tempias gosip. Namun, kita harus bijak menanganinya. Namun, tujuan saya menceburkan diri dalam bidang ini kerana minat mendalam serta mahu mengetengahkan bakat yang ada,” kata pemenang tunggal kategori lakonan program World Stars Road To Hollywood.

Berasal dari Sitiawan, Perak, Mardiana cukup komited dalam bidang yang diceburinya. Kesungguhan untuk mengukuhkan namanya dalam dunia lakonan terserlah.

ADEGAN lakonannya yang menyeramkan dalam filem Santau.

Dalam filem arahan Azhari Zain (Zack), dia sanggup makan ulat bagi memastikan wataknya sebagai isteri yang dirasuk benar-benar menjadi.

“Watak sebagai Nina iaitu isteri kepada Esma Daniel memang susah. Untuk adegan kena rasuk, saya dikehendaki makan ulat sampah. Bukan ulat olok-olok tapi ulat betul. Memang geli dan hanyir sebab ulat itu dicampur dengan telur. Mahu atau tidak, saya harus melakukannya.

“Adegan itu antara babak yang sukar untuk saya lakukan. Banyak kali ‘take’ sehingga pengarah hampir putus asa,” ceritanya sambil memberitahu beberapa hari selepas itu, dia tidak sentuh langsung telur walaupun ia makanan kegemarannya.

Tidak setakat itu, Mardiana berkata dia juga melakonkan adegan lagak ngeri sendiri dalam filem yang disifatkannya sebagai paling mencabar.

Putri Mardiana

“Saya kena bawakan watak isteri dipukul suami serta ada babak yang memerlukan saya ‘terbang’ dan jatuh. Saya tak gunakan stand in, semuanya buat sendiri sehingga badan lebam-lebam, terpaksa di rawat di hospital.

“Tapi tak mengapa, saya seronok dan puas melakonkan. Saya harap watak itu dapat membina nama saya dalam bidang lakonan,” katanya.

Keberanian Mardiana bidang lakonan nampaknya bukan saja melakonkan adegan lagak ngeri atau memakan ulat, malah sanggup melakonkan babak panas walaupun menyedari ia akan mengundang kontroversi.

“Kalau perkara itu bersesuaian dengan skrip, saya tak kisah untuk melakukannya. Tapi, bukanlah babak yang keterlaluan kerana saya masih tahu batasannya. Saya harap keberanian saya ini tidak disalahertikan,” jelasnya.

Timba pengalaman di luar negara

TERPILIH menjadi wakil tunggal negara dalam kategori lakonan dalam ke WCOPA 2009 di Los Angeles, 11 hingga 19 Julai lalu, memberikan pengalaman cukup bermakna buat pelakon ini. Lebih manis apabila usahanya itu membuahkan hasil apabila memperoleh pingat emas pertandingan lakonan bagi kategori terbuka.

Dia juga memperoleh pingat perak untuk kategori “Female Modellin Spokesperson”.

Mardiana berkata kemenangannya ibarat satu kejutan kerana tidak menyangka dapat menyumbangkan pingat buat negara.

“Tidak dinafikan persaingan memang sengit terutama dari negara Ireland dan Amerika Syarikat. Tapi sebelum datang ke sini (L.A), saya sudah mendapat bimbingan secara profesional daripada pelakon dan aktivis teater, Samantha Schubert.

“Dalam lakonan itu, saya menggunakan sepenuhnya ilmu yang diajar iaitu dari segi ekspresi muka, bahasa tubuh dan lontaran suara serta pelbagai asas teknik lakonan. Alhamdulillah, dalam tiga kategori lakonan yang saya sertai, ‘tersangkut’ juga satu iaitu kategori terbuka di mana saya melakonkan watak sebagai wanita yang kehilangan kucing kesayangannya. Bagaimanapun kucingnya itu kembali juga kepadanya,” katanya yang menjadikan Ogy Datuk Ahmad Daud dan Ellie Suriati ini sebagai idolanya.

Berpeluang menyertai WCOPA bererti ini peluang untuk Mardiana melancong. Mengulas pengalaman itu, Mardiana berkata dia gembira kerana selain bertanding untuk negara dia juga berpeluang makan angin dan menimba ilmu.

“Sepanjang berada di L.A, saya dapat belajar pelbagai perkara dan juga budaya dari mereka yang datang dari negara asing. Selain itu, berpeluang mendengar ceramah dari orang kuat industri hiburan di Hollywood serta mendapat tips daripada mereka,” katanya.

INFO: Putri Mardiana Zainal Abidin

  • Nama panggilan: Nina
  • Tarikh lahir: 2 Oktober 1981
  • Tempat Lahir: Hospital Besar Kuala Lumpur
  • Umur: 28 tahun
  • Berat: 53kg
  • Tinggi: 160cm
  • Filem: Santau
  • Drama: 43 carot
  • Kejayaan: Menang pingat emas kategori lakonan terbuka serta pingat perak untuk kategori spokesmodel di WCOPA 2009 di Los Angeles.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: