Tuesday, August 25, 2009

Bakat istimewa dua beradik


MOHD. IZZAT (kanan) sering berlatih bersama adiknya Mohd. Asyraf.


PERNAHKAH anda cuba menimbang bola dengan gaya bebas yang merangkumi penggunaan seluruh anggota badan? Jika anda fikir anda memiliki kemahiran tersebut, sertailah Pertandingan Freestyle Fever yang dibawakan khas oleh Caltex dan Supa Strikas. Ia berlangsung dari Jun hingga Oktober ini.

Genk berkesempatan bertemu dua adik-beradik yang mahir menimbang bola dengan gaya bebas di salah satu destinasi pertandingan, Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Mohd. Izzat, 14 dan Mohd. Asyraf Mohd. Fadzil, 13, dari Kuala Lumpur sanggup datang ke UPM semata-mata untuk menyertai pertandingan tersebut. Meskipun masih baru, namun kedua-duanya cukup berbakat.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria atau lebih dikenali sebagai Victoria Institution (VI), Izzat dan Asyraff sememangnya aktif dalam sukan bola sepak. Mewakili sekolah dalam sukan yang sama, menimbang bola gaya bebas sudah menjadi salah satu hobi mereka.

Berlatih

Kedua-duanya mula menimbang bola dengan gaya bebas apabila bertemu dengan ikon timbang bola gaya bebas, Mohd. Shuhaimi Mohd. Khizari di Bukit Jalil tiga tahun lalu. Ketika itu, masing-masing baru berusia 11 dan 10 tahun.

Sejak itu, mereka mula berlatih bersama pada setiap petang di rumah.

"Jika bertemu dengan abang Amy (panggilan untuk Suhaimi) di mana-mana pertunjukan atau perlawanan futsal, kami akan ambil kesempatan untuk meminta tunjuk ajar beliau.

"Bukan mudah menimbang bola. Masa mula-mula dulu, sepuluh kali pun susah nak buat," kata Mohd Izzat.

Kedua-dua beradik ini memberitahu, Freestyle Fever ialah pertandingan menimbang bola yang pertama mereka sertai. Namun, mereka pernah mengadakan beberapa pertunjukan sebelum ini.


SEPULUH peserta yang terpilih ke peringkat akhir Pertandingan Freestyles Fever.
PENCARIAN juara pertandingan timbang bola gaya bebas Freestyle Fever diadakan di universiti-universiti tempatan sempena Kosmo! Varsiti Futsal 2009.


Mohd Asyraf mengakui menimbang bola gaya bebas bukan semudah yang disangka kerana ia memerlukan kesabaran.

"Sejak mengenali timbang bola gaya bebas, saya amat meminatinya dan ingin serius dalam bidang ini. Kalau boleh saya mahu jadi sehandal Abang Amy. Dia ialah idola dan mentor kami sejak dulu lagi," katanya.

Pencarian juara pertandingan timbang bola gaya bebas Freestyle Fever diadakan di universiti-universiti tempatan sempena Kosmo! Varsiti Futsal 2009.

Seramai sepuluh pemenang dari setiap universiti akan dibawa ke pertandingan akhir untuk merebut gelaran juara Freestyle Fever yang pertama.

Caltex dan Supa Strikas akan mengadakan pemilihan bagi Pertandingan Freestyle Fever di sepuluh institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Lembah Klang dan satu lokasi tumpuan ramai. Ini menjadikan jumlah peserta yang berentap dan menunjukkan kemahiran masing-masing ialah seramai 110 orang.

Mohd. Shuhaimi, 27, yang juga dikenali sebagai Dr. Freestyler dilantik sebagai pengadil utama pertandingan. Beliau juga mengendalikan klinik timbangan bola secara percuma.

Promosi

Shuhaimi berpendapat, pertandingan Frestyle Fever secara tidak langsung dapat mempromosikan sukan atau aktiviti timbang bola gaya bebas di Malaysia dengan lebih meluas.

"Menimbang bola merupakan salah satu cabang bola sepak. Para pemainnya perlu mempunyai kekuatan fizikal dan mental.

"Ia membenarkan pemain menggunakan seluruh bahagian tubuh dalam persembahannya. Mereka harus kreatif dan sabar," katanya.

Pemegang rekod Malaysia Book of Records (MBOR) 2004 dalam acara menanduk bola paling banyak (235 tandukan) itu dibawa khas oleh Caltex ke setiap lokasi pertandingan Freestyle Fever.

Shuhaimi yang memiliki pengalaman selama sepuluh tahun dalam bidang timbangan bola gaya bebas memberitahu, dia mula menimbang bola sejak berumur sembilan tahun.


SEPULUH peserta yang terpilih ke peringkat akhir Pertandingan Freestyles Fever.


Dia mula serius sebagai freestyler sejak tahun 1998 selepas mengalami kecederaan serius di kaki akibat kemalangan motosikal. Akibatnya, Shuhaimi memilih untuk tidak bermain bola sepak lagi.

"Timbang bola gaya bebas mungkin dilihat sebagai satu hobi. Tetapi bagi saya, ia sudah menjadi karier dan sumber pendapatan.

"Saya berlatih selama enam hingga sepuluh jam sehari untuk memahirkan diri dan mencipta skil-skil baru. Memandangkan saya merupakan perintis sukan ini, segala kemahiran dan gaya merupakan hasil ciptaan saya sendiri," ujarnya.

Kelainan

Shuhaimi memegang rekod peribadi menanduk bola selama dua jam 15 minit dan rekod menimbang bola sejauh 17 kilometer.

Pakar Pemasaran Penjenamaan Chevron Global Marketing, M.T Sritharan memberitahu, pemilihan Shuhaimi sebagai ikon pertandingan dan juri adalah berdasarkan pengalaman serta statusnya yang pakar dalam bidang ini di Malaysia.

"Adalah lebih baik mereka yang pakar dan berpengalaman menjadi juri untuk mengadili pertandingan ini.

"Kami juga ingin mencipta kelainan dalam penganjuran acara. Maka, bidang ini menjadi pilihan kerana Caltex ingin menarik golongan muda bagi mempromosikan gaya hidup sihat," katanya.

Pada Grand Final nanti, Raja Freestyle, Abas Mohd. Farid akan diterbangkan khas dari London untuk menggayakan aksinya kepada para peminat tempatan.

Jika anda berminat untuk menjadi seperti Shuhaimi, jangan lepaskan peluang bertemu dengannya di setiap lokasi pertandingan. Maklumat lanjut, sila layari www.supastrikas.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: