|
|
Walaupun majlis persandingan tertangguh sejak disahkan sebagai suami isteri pada 26 Oktober tahun lalu, pelakon Sharifah Shahora Syed Akil dan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin akhirnya dapat melangsungkan resepsi perkahwinan mereka pada 21 Februari lalu.
Majlis yang berlangsung pada hari Sabtu itu dihadiri oleh saudara mara, sahabat handai, rakan-rakan artis dan peminat yang tidak jemu menyokong kerjaya seni mereka.
Bertempat di Restoren Felda Villa, berhampiran dengan Dewan Perdana Felda, pasangan ini melakukan dua majlis resepsi. Pada sebelah siang dikhususkan untuk saudara mara dan sahabat handai dan pada malamnya pula untuk meraikan rakan-rakan media.
Dengan konsep perkahwinan dalam taman, Shahora berterima kasih kerana ramai kenalan yang turut sama menaja majlis resepsinya itu dan dia hanya mengeluarkan belanja sebanyak RM30,000 sahaja.
"Alhamdulillah, saya gembira kerana ramai yang sudi menaja majlis kami termasuklah pelamin, cenderahati, baju pengantin dan solekan.
"Memang perasaan saya benar-benar lega. Selepas dinikahkan ramai sangat yang bertanya bila pula majlis resepsi akan diadakan. Kadangkala sampai letih nak menjawabnya.
"Saya bersyukur sangat kepada Allah kerana apa yang selama ini kami rencanakan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Tambahan pula ramai sahabat handai yang datang meraikan majlis kami," jelas Shahora lagi.
Akui Shahora, kesibukan dia dan suami membuatkan mereka tidak dapat melakukan majlis resepsi lebih awal memandangkan kerana terikat dengan penggambaran.
Untuk majlis resepsinya itu pun, Mukhriz hanya dapat bercuti satu hari dan keesokannya terpaksa meneruskan kerjanya sebagai pengarah fotografi filem Senario The Movie Episod 2: Beach Boys di Pulau Pangkor.
"Memang saya terharu apabila melihat ramai kenalan yang hadir termasuklah rakan-rakan semasa bersekolah dahulu yang sanggup datang dari Johor dan Perak," jelas Shahora.
Walaupun sudah melayari bahtera perkahwinan hampir tiga bulan, Shahora yakin mahligai yang dibinanya bersama dengan Mukhriz akan bahagia dan bertahan sampai bila-bila.
Ujarnya dia dan suami optimis mereka perlu bersikap profesional semasa bekerja dan seboleh-bolehnya dia tidak mahu apa-apa fitnah melanda bahtera yang baru sahaja bermula ini.
"Saya dan suami saling mempercayai. Selama ini banyak onak dan duri yang terpaksa saya harungi sebelum bergelar isteri kepadanya dan kini tiba masanya untuk kami hidup bahagia seperti mana pasangan yang lain.
"Bagi saya kesibukan masing-masing bukanlah sesuatu yang menjadi masalah jika saya dan suami tahu peranan masing-masing. Kalau boleh saya juga tak mahu ada fitnah mengenai kami selepas ini," kata Shahora.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: