Sunday, March 1, 2009

Datin J dedah perangai hipokrit selebriti popular

SEBENARNYA sebelum Zubir bercuti ke Bali, Indonesia baru-baru ini, Zubir menerima panggilan daripada seorang ibu tunggal beranak dua. Biarlah Zubir memperkenalkan dirinya sebagai Datin J saja kerana bekas suaminya seorang VIP berstatus Datuk. Datin J berusia lewat 20-an dan seseorang yang berpendidikan tinggi. Aduannya kepada Zubir, rumah tangga bersama suami berkecai gara-gara kehadiran pihak ketiga iaitu seorang selebriti popular.

Bagi mendapatkan kesahihannya, Zubir mempelawa Datin J bertandang ke Balai Berita untuk mengetahui cerita lebih lanjut mengenai kegagalan rumah tangganya itu akibat penangan artis jelita. Sebelum ini pasangan berkenaan hidup bahagia, aman damai sehingga dikurniakan dua cahaya mata berumur antara empat hingga enam tahun.

“Sebelum ini saya lebih senang berdiam diri apabila ramai wartawan yang ingin mengorek bermacam cerita perihal selebriti berkenaan. Kini, mahkamah sudah memutuskan pada Disember 2008, antara saya dan Datuk sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi. Namun, hubungan kami masih baik demi masa depan anak-anak yang sedang membesar.

“Tapi, selama mana saya boleh bersabar dan berdiam diri mengenai sikap hipokrit selebriti berkenaan sehingga rumah tangga kami berkecai! Wajahnya memang cantik, perwatakannya lemah lembut, tapi di sebaliknya, tersimpan satu matlamat - mendampingi lelaki kaya. Pada mulanya dia ke pejabat suami atas urusan kerja dan saya langsung tidak mengesyaki apa-apa.

“Pandai selebriti jelita itu bermain ‘drama’ di depan saya, rupa-rupanya di belakang, dia dan bekas suami ada cerita lain! Sebelum ini saya sering mendengar, rumah tangga VIP hancur kerana godaan artis. Tapi, saya tak sangka, perkara yang amat saya takuti itu, rupa-rupanya terkena pada batang hidung sendiri,” katanya Datin J sambil mengalir air mata.

Zubir simpati dengan nasib Datin J kerana dia masih mengakui, mencintai bekas suaminya itu dan jika ditakdirkan masih ada jodoh antara mereka, suatu hari nanti dia tidak menolak kemungkinan, kembali ke pangkuan suaminya.

Sabarlah Datin J, jika ada jodoh tak ke mana. Mengenai selebriti popular yang didakwa Datin J sebagai perosak kebahagiaan rumah tangganya, Zubir berharap dia segeralah berubah. Jalan terbaik, kahwin! Apa yang ditunggu lagi, khabarnya calon sudah ada.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: