Saturday, March 25, 2017

Fahrin Ahmad Tak Mahu Buka Instagram Anak



Fahrin lebih selesa menggunakan Instagram sendiri untuk berkongsi gambar gelagat anaknya. 
KUALA LUMPUR: Ketika ramai selebriti tempatan membuka akaun Instagram khusus untuk anak mereka, pelakon dan pengacara Fahrin Ahmad bagaimanapun memilih untuk tidak mengikut trend tersebut.
Menurut Fahrin, 38, dia dan isterinya, Elena Hani Eleas lebih selesa untuk berkongsi perkembangan anak sulung mereka itu menerusi Instagram masing-masing.
"Bagi saya tak perlulah nak buatkan Instagram khas menggunakan nama anak.
"Cukuplah kami sebagai ibu bapa berkongsi apa yang patut di Instagram kami sendiri, dia pun tak tahu apa-apa lagi," katanya.
Fahrin bersama anaknya, Khalifa Fahrel. -foto @elenaeleas
Fahrin dan Elena berkahwin pada Mei 2015 dan pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Khalifa Fahrel pada 29 September tahun lalu.
Berdasarkan pemeriksaan di Instagram peribadi Fahrin dan Elena, kedua-dua mereka aktif memuat naik gambar Khalifa dari masa ke masa.
Tambah Fahrin, sebagai bapa dia mempunyai pertimbangan sendiri mengenai perkara itu walaupun ramai selebriti lain memilih untuk mewujudkan Instagram khas dengan nama anak-anak mereka.
"Saya terbuka dalam isu ini. Maknanya biarlah anak saya sendiri yang buat pilihan untuk buka akaun media sosial ataupun tidak. Bila dia besar nanti, pandai-pandailah dia buat keputusan.
"Tapi kalau orang lain nak buat, itu hak mereka. Mungkin mereka mahu kongsi gelagat dan keletah anak-anak menerusi medium khusus," katanya.
Antara anak selebriti tempatan yang menjadi perhatian dan diikuti ramai ialah anak perempuan pasangan Scha Alyahya dan Awal Ashaari, Lara Alana (2.6 juta pengikut); anak lelaki Hairul Azreen dan Hanis Zalikha, Yusuf Iskandar (1.1 juta); anak perempuan Rozita Che Wan dan Zain Saidin, Aaisyah Dhia Rana (259,000) dan anak lelaki Yana Samsudin dan Fadzil Zahari, Aisy Mateen (202,000).

Fazley Tidak Menyangka Buku Resipinya Diiktiraf Antarabangsa



Fazley menunjukkan buku resipinya, My Sucre Story.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Fazley Yaacob tidak menyangka buku masakan tulisan pertamanya iaitu My Sucre Story mendapat pengiktirafan antarabangsa di World Gourmand Book Fair yang diadakan di Yantai, China pada tahun lalu.
Fazley berkata pada acara yang disertai oleh penulis dari seluruh dunia itu beliau memenangi tempat pertama menerusi kategori Buku Resepi Terbaik oleh Personaliti TV dan kemenangan itu menaikkan semangatnya untuk terus menghasilkan buku masakan pada masa hadapan.
"Saya secara jujurnya memang langsung tidak menyangka akan menang kerana masih baharu dalam bidang penulisan buku masakan.
"Apabila pihak penerbit beritahu mereka hantar pencalonan saya berasa segan kerana saya sedar pertandingan itu turut mempertandingkan penulis-penulis lebih hebat dan berpengalaman.
"Namun saya bersyukur dan kemenangan itu dapat menjadi pemangkin semangat untuk saya menghasilkan buku masakan lebih baik pada masa hadapan," katanya.

Fazley ditemui pada majlis pelancaran buku itu yang diadakan di restoran miliknya iaitu Suka Sucre Bistro yang terletak di Taman Pertama, Cheras di sini, Khamis.
Buku itu boleh di dapati di rangkaian kedai buku MPH seluruh Malaysia dan Singapura.
Fazley juga merupakan pemenang Cef Selebriti Pilihan Online, Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) anjuran mStar pada bulan April tahun lalu.
Dalam pada itu, Fazley berkata, dia terkilan tidak dapat berkongsi kegembiraan bersama bapanya, Allahyarham Datuk Yaakob Mohammad kerana arwah adalah insan yang banyak menyokongnya untuk menceburi bidang kulinari.
Malah katanya, Yaakob insan bertanggungjawab yang membuatkan dia berani menghasilkan buku masakan pertamanya itu.
"Jika tidak kerana nasihat dan dorongannya mungkin buku ini tidak akan berhasil sebab itu saya berasa sedih apabila arwah tidak sempat meraikan kegembiraan ini.
"Allahyarham sempat menyaksikan pelancaran buku ini di Paris pada 2015 dan pemergiannya tahun lalu membuatkan saya sangat terkesan.
"Selepas setahun pemergiannya baru saya ada kekuatan dan keberanian untuk mengadakan pelancaran ini di Kuala Lumpur," katanya.
Fazley bersama ibunya Datin Umi Kalsom Abdol Latib. 
Selain kemenangan di APO2016 dan World Gourmand Book Fair, restorannya turut mendapat sembilan trofi termasuk Restoran Terbaik di Kuala Lumpur pada Malaysia International Gastronomy Festival 2016.
Namanya juga diumumkan sebagai penerima anugerah Usahawan Muda Paling Berpengaruh di Malaysia oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Dalam perkembangan lain, Fazley berkata dia sudah pun menyiapkan album terbaharunya yang mengandungi 10 buah lagu dan akan dipasarkan tidak lama lagi.
Kata Fazley, kemunculan album itu nanti sebagai bukti dia tidak pernah meninggalkan nyanyian walaupun kini dilihat lebih memberi tumpuan kepada bidang kulinari.

Siti Sarah Rasa Bersalah Kurang Masa Bersama Keluarga



Sejak kembali aktif, Siti Sarah semakin jarang bersama keluarganya.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Siti Sarah Raissuddin mengakui timbul sedikit rasa bersalah terhadap anak-anak dan suaminya apabila dia kurang bersama mereka selepas kembali aktif menyanyi.
Sarah, 33, berkata, dia rindukan dirinya dahulu yang sentiasa mempunyai masa untuk keluarga.
"Saya rindukan diri saya dulu yang selalu berada di rumah. Saya rasa teruk dan bersalah bila suami ajak saya keluar bercuti pada hujung minggu tetapi saya ada kerja.
"Kalau dulu, apabila suami ajak sahaja keluar, saya terus berkemas tapi sekarang semuanya perlu dirancang awal," ujarnya.
Pasangan ini berkahwin pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 6, Dzahira Talita Zahra, 3, dan Ariq Matin yang berusia setahun.
Siti Sarah dan Shuib bahagia melalui kehidupan berumah tangga. 
Sarah dan suaminya Shuib (Sepahtu) ditemui pada majlis sidang media Minggu Setiausaha Menara Kuala Lumpur di sini, Khamis.
Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan
Persembahan akan diadakan pada 13 April depan.
Turut terlibat dalam acara yang bakal diadakan di Megaview Banquet Hall itu ialah Rahim (Sepahtu).
Bagaimanapun, Sarah berkata, dia bersyukur suaminya sangat memahami dan bertolak ansur dalam hal penjagaan anak-anak.
Dari kiri Shuib, Siti Sarah, Meor Shahril Anuar dan Rahim. 
"Sekarang nak cari masa bercuti sama-sama susah, Shuib banyak masa pada hari minggu, tapi saya banyak persembahan pada hari minggu pula.
"Kalau saya ajak dia ke tempat kerja anak-anak pula kasihan tinggal di rumah. Selalunya kalau saya menyanyi hujung minggu, dia yang akan ambil tanggungjawab jaga anak-anak," ujarnya.
Sementara itu, bercakap tentang minggu setiausaha tersebut, dia akan menyanyikan lebih enam buah lagu kegemarannya.
Persembahan berdurasi lebih sejam itu juga akan dihiburkan dengan persembahan komedi daripada suaminya dan Rahim.
"Alhamdulillah, dibuka untuk jualan, tiket VVIP sudah pun habis dijual. Saya berterima kasih terhadap kepercayaan yang diberikan oleh pihak Menara Kuala Lumpur terhadap  kami," ujarnya.

Ambil Masa 10 Tahun, Zamil Idris Akui Belum Terlambat



Zamil Idris
PETALING JAYA: Bekas peserta Malaysian Idol musim pertama, Zamil Idris memberitahu masih belum terlambat untuk dia berada dalam dunia seni walaupun terpaksa menunggu 10 tahun memiliki lagu sendiri.
Zamil, 39, bagaimanapun mengakui  persaingan yang dia hadapi ketika ini agak sengit dan mencabar.
"Sepuluh tahun bukannya satu jangka masa yang pendek namun tidak terlambat untuk saya terus meletakkan harapan memiliki lagu sendiri suatu hari nanti.
"Akhirnya Allah makbulkan doa saya pada tahun 2015 dengan terciptanya sebuah single berjudul 'Pesanan Terakhirmu' ciptaan Hazami yang ditujukan untuk arwah ayah saya.
"Tahun 2017 pula menyusul single kedua berjudul 'Keranamu' ciptaan Azlan Abu Hassan yang saya sifatkan sebuah lagu taruhan dalam usaha menjenamakan nama saya," katanya kepada mStar Online.
Zamil
Zamil ditemui pada sesi ramah mesra bersama media anjuran Cloudworks Record di Grind22 Cafe, Bangsar, baru-baru ini.
Dalam pada itu kata Zamil, jika diikutkan sebelum ini dia pernah merakamkan sebuah single ciptaan seorang komposer, namun terpaksa ditolak kerana ia kurang berkualiti.
"Sebagai permulaan, pastinya saya mahukan sebuah karya yang mampu memperkenalkan identiti saya dalam industri dan dalam kes lagu itu, ia bukanlah  produk yang harus saya promosikan. Bimbang akan mendatangkan impak tidak bagus,” katanya.
Sementara itu mengenai strategi yang bakal dilakukan  kata bekas pengacara rancangan 'Hello On 2' ini, dia berhasrat untuk aktif menggunakan aplikasi nyanyian atas talian Smule sebagai langkah promosi.
"Selain membuat cover version di YouTube, saya tahu aplikasi Smule antara medium popular yang digunakan untuk berkongsi bakat namun saya akui agak terlambat menggunakan platform itu dan berhasrat memulakannya sedikit waktu lagi," ujarnya.

Tom Cruise Jatuh Cinta Wanita 26 Tahun Lebih Muda



AKTOR Tom Cruise dikhabarkan sedang hangat bercinta dengan bintang muda, Vanessa Kirby.
Dia sebelum ini tidak pernah dikaitkan menjalin hubungan romantis dengan mana-mana wanita selepas menceraikan Katie Holmes lima tahun lalu.
Menurut laporan Mirror, pelakon Mission Impossible itu dikatakan menyukai aktres British berkenaan yang kini berusia 28 tahun.
Vanessa Kirby
Menurut sumber yang rapat, Cruise "terpesona dengan daya tarikan" wanita berkenaan.
Pasangan itu bertemu ketika Kirby menghadiri sesi uji bakat filem sekuel Mission Impossible 6.
Cruise, 54, dilaporkan meletakkan nama Kirby ke hadapan selepas menonton lakonannya dalam siri Netflix The Crown.
"Tom memberitahu penerbit Mission Impossible yang lain bahawa dia mahu Vanessa diberi peranan penting dalam filem berkenaan," kata sumber.
Bagaimanapun hingga kini masih belum dapat dipastikan sama ada Cruise benar-benar sedang dilamun cinta dengan pelakon yang 26 tahun lebih muda daripadanya itu.

10 Tahun Berkahwin, Mel B Fail Cerai Terhadap Suami




Mel B dan suaminya Stephen dilaporkan bakal bercerai 
BEKAS ahli kumpulan terkenal era 90-an, Spice Girl iaitu Melanie Brown atau dikenali sebagai Mel B dilaporkan memfailkan untuk berpisah terhadap suaminya Stephen Belafonte.
Seperti dipetik US Magazine, penyanyi berusia 41 tahun ini dilaporkan sudah tidak tinggal sebumbung sejak akhir tahun lalu.
Juri America's Got Talent ini memberitahu bahawa dia sudah berpisah pada 28 Disember 2016 selepas berasa dan tidak serasi untuk hidup bersama sebagai suami-isteri.
Mel B dan Stephen berkahwin pada tahun 2007 selepas lima bulan menjalinkan hubungan cinta.
Rumah tangga yang bertahan selama 10 tahun itu dikurniakan seorang anak perempuan bernama Madison Brown Belangonte yang kini berusia lima tahun. 

Kai (EXO) Tayang Lengan Berotot




TINDAKAN salah seorang anggota kumpulan EXO iaitu Kai memakai baju tanpa lengan ketika membuat persembahan khas mengundang keterujaan peminat mereka.
Portal koreaboo.com melaporkan bahawa menerusi penampilan begitu, Kai memperlihatkan bahagian lengannya yang berotot hingga menjadi bualan peminat.
Bagi peminat kpop, Kai merupakan antara penyanyi lelaki yang sangat popular di kalangan selebriti.
Selain memiliki raut wajah yang mempersonakan, dia juga adalah seorang penari yang hebat.
Seperti diketahui, persembahan di atas pentas dengan pergerakan tarian yang lincah memerlukan kekuatan fizikal yang tinggi.
Jadi ramai peminat yakin bahawa dengan transformasi berkenaan, Kai akan dapat menari dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

Abang Tak Mahu Dibayangi Populariti Taeyang (Big Bang)




Taeyang bersama abangnya yang juga pelakon Dong Hyun Bae.
PELAKON Dong Hyun Bae tidak mahu dibayangi oleh populariti adiknya iaitu penyanyi Taeyang daripada kumpulan Big Bang.
Tidak menyangkal perhatian yang diberikan kepada Taeyang, Hyun Bae bagaimanapun mahu dikenali kerana dan bukan ikatan kekeluargaan dengan adiknya itu.
"Saya memang tidak akan mendapat populariti seperti mana Taeyang alami tetapi pada masa sama saya juga tidak mahu dikenali sebagai abang kepadanya.
"Taeyang dan saya adalah dua individu berbeza dan saya harap orang tidak lagi melabel saya hanya kerana siapa adik saya," katanya seperti dilaporkan Allkpop.
Hyun Bae terlebih dahulu mencipta nama dalam bidang seni iaitu pada tahun 2006 dan dikenali menerusi drama bersiri seperti Age of Youth, Shut Up, Flower Boy Band dan Holy Land.
Bagaimanapun sejak Taeyang bersama kumpulan Big Bang menjadi fenomena nama Hyun Bae hanya disebut hanya kerana hubungan mereka dan bukan kerana lakonannya.
Taeyang dalam temubual juga sering mendedahkan hubungan rapat mereka dan sangat mengagumi abangnya itu.

Pelakon 'Goblin' Berpisah Selepas Lapan Bulan Bercinta




Kim Go Eun dan Shin Ha Kyun berpisah hanya selepas lapan bulan menjalinkan hubungan cinta.
PELAKON yang terkenal menerusi drama bersiri Goblin iaitu Kim Go Eun berpisah dengan teman lelakinya yang juga aktor Shin Ha Kyun hanya selepas lapan bulan bercinta.
Koreaboo melaporkan berita perpisahan itu turut disahkan oleh syarikat pengurusan masing-masing pada Selasa lalu.
Pasangan itu dilaporkan mengambil keputusan itu kerana tidak mempunya masa untuk bersama memandangkan jadual yang padat.
"Mereka berpisah pada Februari lalu dan ia berpunca daripada jadual mereka yang cukup padat dan kurang mempunyai waktu bersama.
"Bagaimanapun mereka masih berkawan baik memandangkan Go Eun dan Ha Kyun dibawah syarikat pengurusan sama," kata wakil agensi HODU & U Entertainment.
Sebelum ini Go Eun mengejutkan peminat apabila mengakui bercinta dengan Ha Kyun yang 17 tahun lebih tua daripadanya.

Bil Azali undur diri



Bil Azali
KEBIASAANNYA dalam sesebuah drama atau filem, seorang pelakon itu perlu memberi komitmen dari mula sehingga tamat.
Namun ada kalanya tidak semua yang dirancang menjadi kenyataan.
Begitu jugalah halnya yang berlaku terhadap produksi drama Sape Dari Itali yang akan menemui penonton di slot Selekta Prima, TV2, bermula 23 Mac ini.
Menurut Pengarahnya, Hazali Ramli, pengunduran Bil Azali adalah cabaran besar buatnya dan produksi.
Bahkan penulis skrip, Adza Emie terpaksa mengolah semula skrip untuk menyesuaikan jalan cerita dengan watak Bil.
"Pengunduran Bil itu bukan sengaja dan saya sendiri tidak melihat dia sebagai pelakon bermasalah. Cuma keadaan kesihatan menyebabkan dia terpaksa menarik diri.
"Saya rasa terduduk awalnya kerana penggambaran sudah berjalan hampir separuh dan Bil pula membawakan watak antagonis.
"Kalau nak shoot semula saya rasa agak mustahil kerana  melibatkan masalah yang lebih besar.
"Jadi kami terpaksa olah skrip dan saya buat satu kesinambungan agar tidak nampak canggung.
"Bagaimanapun saya masih masukkan babak lakonan Bil dalam drama ini.

Remaja OKU dorong DJ Dave jadi penyanyi



DJ Dave
DJ Dave.
PENYANYI Datuk DJ Dave, 70, cukup sinonim dengan lagu irama Hindustan ketika zaman kegemilangannya sekitar era 1970-an. Malah sepanjang bergelar artis rakaman, penyanyi bersuara merdu ini telah menghasilkan 42 buah album.
Mengimbas detik awal penglibatannya dalam bidang nyanyian, pemilik nama sebenar Dhammi Jagjit Sukhdev atau nama Islamnya, Irwan Shah Abdullah berkata, dia tidak pernah menyertai sebarang pertandingan nyanyian sebaliknya peluang itu berlaku secara tidak sengaja.
Mengakui pada mulanya menjadikan nyanyian sebagai hobi tetapi pertemuan istimewa dengan seorang remaja kurang upaya di majlis anjuran RTM sekitar tahun 1971 mengubah segalanya.
“Saya mendapat jemputan dari RTM untuk membuat persembahan di Pusat Orang Kurang Upaya (OKU), Cheras. Ketika itu saya menyanyikan sebuah lagu Hindustan daripada filem Suraj.
“Selepas persembahan, saya didatangi remaja berumur sekitar 14 tahun dan bertanya kenapa saya tidak menyanyikan lagu tersebut dalam Bahasa Melayu kerana dia sangat sukakan lagu itu.
“Saya tidak pasti kenapa pertanyaan itu berbekas di hati sehingga tidak dapat tidur pada malam itu, malah turut terdetik alangkah baiknya kalau saya dapat menggembirakan hatinya dengan memenuhi permintaan itu,” ujarnya.
DJ Dave ketika itu bertugas sebagai pegawai di pejabat pos dan tidak pernah terlintas untuk bergelar penyanyi.
Bagaimanapun segalanya mula berubah apabila dia ditukarkan ke pejabat pos cawangan Seksyen 17, Petaling Jaya, berhampiran dengan sebuah studio rakaman.
“Saya tiba-tiba terdorong untuk pergi ke studio itu bagi menjalani sesi uji bakat. Dengan penuh yakin saya memberitahu pengurus di situ untuk menjadi penyanyi yang berjaya. 
“Namun pengurus tersebut menolak dengan alasan saya tidak fasih Bahasa Melayu sedangkan ketika itu lagu Melayulah paling mendapat perhatian,” imbasnya.
Perkara itu tidak mematahkan semangat DJ Dave, sebaliknya dia menyahut cabaran  membaiki kelemahan bahasa Melayu.
“Selepas kejadian itu saya memberitahu semua rakan di pejabat bahawa mereka wajib bercakap Bahasa Melayu dengan saya, jika ada yang tersalah cakap bahasa lain, mereka akan didenda 5 sen.
“Enam bulan selepas itu, saya pergi sekali lagi ke studio tersebut dan berjumpa dengan pengurus yang sama dan akhirnya saya diterima merakamkan piring hitam (EP) mengandungi empat lagu,” ceritanya yang mengeluarkan duit simpanan sendiri untuk pembikinan EP ini.
Menariknya, kesemua lagu mendapat sambutan hebat terutama Maafkanlah iaitu lagu Hindustan yang liriknya ditulis semula dalam Bahasa Melayu.
“Lagu itu sangat bermakna kerana itulah lagu yang saya nyanyikan ketika bertemu dengan remaja OKU yang mahu saya nyanikan dalam Bahasa Melayu. Benarlah katanya, lagu itu lebih sedap didengar dalam bahasa Melayu,” katanya.
25 tahun bersama EMI  
Pada tahun 1973, DJ Dave ditawarkan bernaung di bawah syarikat rakaman EMI Music yang ketika itu turut dinaungi artis terkenal tanah air seperti Datuk Sharifah Aini dan Hail Amir.
“Di EMI saya mendapat pelbagai peluang yang lebih baik untuk mengembangkan bakat malah dari kontrak yang ditandatangani untuk tempoh tiga tahun akhirnya berterusan sehingga 25 tahun.
“Di sini juga saya bekerja dengan orang-orang yang hebat dalam industri seperti Datuk Ahmad Nawab yang cukup terkenal dengan karya yang luar biasa,” akuinya.
Antara lagu-lagu yang pernah menaikkan nama DJ Dave ialah Ingin Bersua, Di Desa kasihku Tertumpah, Nora, Mari Berdansa, Hanya Mimpi dan Cinta Abadi.
Pengsan ketika menyanyi
Mengimbas kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang bergelar penyanyi, kata DJ Dave, peristiwa yang berlaku ketika membuat persembahan di Parit, Perak sentiasa berbekas di hatinya sehingga ke hari ini.
“Pada hari konsert berlangsung saya  dimasukkan ke hospital kerana demam panas dan doktor tidak membenarkan saya membuat persembahan.
“Namun disebabkan tiket sudah jual dan memikirkan peminat yang sudah tunggu saya berkeras mahu membuat  persembahan. Bila tiba di sana, saya hanya sempat menyanyi beberapa baris lagu sebelum pengsan,” ceritanya sambil ketawa.
Meskipun pernah meraih pelbagai kejayaan dan populariti sepanjang perjalanan kerjaya seni, DJ Dave masih lagi kekal dengan sikapnya yang suka merendah diri, malah seorang yang cukup menjaga disiplin diri.
“Apa pun yang kita lakukan, disiplin mesti nombor satu mendahului segala-galanya. Jika seseorang itu gagal menjaga disiplinnya, dia tidak akan ke mana.
“Untuk kekal bertahan dalam industri juga, usaha yang berterusan harus dilakukan dan ia bukan mengamalkan sikap mudah berpuas hati dengan apa yang dicapai,” kongsinya.
DJ Dave masih aktif menyanyi sehingga kini dan dalam masa yang sama terlibat dengan pelbagai kerja amal di bawah Yayasan Artis 1 Malaysia.
“Yayasan ini ditubuhkan pada tahun 2012 dengan tujuan menjaga kebajikan artis-artis yang memerlukan bantuan.
“Kami lakukan kerja ini secara sukarela dan tidak bergaji  kerana atas dasar tanggungjawab dan kesedaran membantu rakan-rakan,” katanya yang juga presiden yayasan.

Pameran artifak Rasulullah di Muzium Kedah



Pameran artifak Rasulullah di Muzium Kedah
Serban milik Rasullulah S.A.W.
ALOR SETAR - Pameran Pendidikan Tamadun Islam Mendahului Zaman, Artifak Rasulullah S.A.W dan Para Sahabat di Muzium Negeri Kedah di sini, bukan sahaja menarik umat Islam tetapi juga bukan Islam sejak pameran dibuka pada Isnin.
Pengarah Lembaga Muzium Kedah Suhaidi Shukri berkata kehadiran pengunjung bukan Islam ke pameran itu rata-rata atas dasar ingin tahu mengenai Islam dan Rasulullah S.A.W.
“Bagi pelawat bukan Islam, mereka perlulah berpakaian menutup aurat dan menjaga tatatertib kerana artifak ini pernah dipegang dan digunakan Rasulullah dan para sahabat dalam perjuangan menegakkan Islam,” katanya pada lawatan khas media di pameran itu, di sini semalam.
Suhaidi berkata pihaknya menyasarkan kehadiran 300,000 pengunjung sepanjang sebulan pameran berlangsung sehingga 19 April ini.
“Dalam tempoh tiga hari pameran berlangsung, kita menerima kira-kira 7,000 pelawat,” katanya.
Sementara itu, Pengurus projek Razali Bachik berkata Kedah merupakan negeri keempat selepas Kelantan, Melaka dan Putrajaya yang dipilih menjadi tuan rumah pameran tersebut.
“Usaha sama dengan Galeri Warisan M.A.R telah memberi peluang kepada kita membawa masuk artifak asli tersebut yang dipinjam dari Makkah, Madinah, Syria, Oman, Turki, dan Yaman bagi tatapan eksklusif penduduk negeri ini,” katanya
Sebanyak 25 artifak dipamerkan antaranya ialah rambut, janggut, tapak kaki, serban, tongkat, busur, panah serta cop mohor milik Rasullulah S.A.W.
Seorang pengunjung, Zainab Omar, 54 yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sik,  berkata pameran itu memberi peluang kepadanya untuk mengetahui lebih mendalam sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W.
“Selain timbul rasa cinta kepada Rasullah dan perjuangan baginda, saya juga dapat mengambil gambar artifak-artifak yang ada untuk dijadikan bahan pengajaran bagi subjek Tamadun Islam,” katanya.
Pameran itu dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam dan harga tiket ialah RM20 bagi pengunjung berusia 16 tahun ke atas,  RM10 (6-15 tahun) dan percuma bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.

Dua minit keluarkan kepala budak tersepit



Dua minit keluarkan kepala budak tersepit
Anggota bomba membantu mengeluarkan kanak-kanak terbabit selepas kepalanya tersangkut di celah pemegang tangga.
IPOH – Anggota bomba mengambil masa kurang dua minit untuk mengeluarkan kepala seorang budak berusia tiga tahun yang tersepit pada celah pemegang tangga di Taman Bercham Idaman di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.25 petang itu, kepala Chong Jin Yi tersekat di celah kayu pemegang tangga di antara tingkat bawah dan atas rumah berkenaan ketika bermain.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Khairuddin Hussin berkata, seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.31 petang.
“Setibanya di lokasi, kanak-kanak berkenaan menangis sambil ditemani ibu bapanya yang panik kerana tidak berjaya mengeluarkan kepala anaknya di celah pemegang tangga itu.
“Operasi dijalankan tidak sampai dua minit apabila kita hanya mengeluarkan dengan menarik kepalanya perlahan-lahan sebelum dapat melepaskan kepalanya,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan oleh Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) mendapati kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum diserahkan kepada bapanya.

Tidak hirau bahang minyak masak



Tidak hirau bahang minyak masak
Nik Kamariah tekun menyiapkan kuih deram ditempah pelanggannya
KEMAMAN - Bahang minyak masak yang penuh satu kuali sedikit pun tidak mematahkan semangat seorang ibu cekal, Nik Kamariah Nik Hussin, 56, dari Felda Neram 2, di sini, untuk terus menjual kuih deram.
Berkat ketekunannya menjual kuih berkenaan untuk membantu suami, Mohd Zainu Harun, 58, menyara keluarga, kini kesemua enam anaknya termasuk yang bongsu berusia 26 tahun sudah habis belajar dan berjaya dalam hidup.
Pengorbanannya itu turut memberi hikmah tersendiri kerana kuih deram hasil air tangannya sudah terkenal dalam kalangan masyarakat setempat dan kawasan berdekatan termasuk Bandar Baru Cheneh.
Sehubungan itu, Nik Kamariah sehingga kini masih menerima tempahan ratusan kuih deram hampir setiap hari hingga membuatkan dia kadangkala tidak menang tangan.
Nik Kamariah berkata, kuih deram dijualnya adalah resipi turun temurun dan banyak membantu menampung perbelanjaan keluarga kerana ketika mula menghuni Felda Neram 2 pada 27 tahun lalu, gaji suaminya sebagai peneroka hanyalah RM400 sebulan.
“Makcik mula jual kuih deram ini ketika harga tepung gandum sekilogram cuma 80 sen dan nisan kerek (gula melaka) sebungkus RM2.50, tapi sekarang harga kedua-dua bahan itu dah naik jadi hampir RM3 sekilogram dan RM8 sebungkus.
“Hasil jual kuih ni dapat beri kepada anak-anak untuk duit poket sebab anak makcik ramai juga. Jarak umur mereka pun tak jauh antara satu sama lain,” katanya.
Enam anaknya ialah Mohd Amran, 37; Noorhayati, 34; Mohd Azeri, 32; Mohd Azhar, 30; Mohd Azman, 28 dan Mohd Azwan, 26.
Nik Kamariah memberitahu, semasa menggoreng kuih deram, minyak perlu benar-benar panas untuk memastikan kuih itu rangup menyebabkan saban hari dia terpaksa menahan bahang kuali.
“Tapi makcik dah biasa, tak apalah rasa bahang sikit asalkan makcik dapat cari rezeki yang halal,” katanya.
Menurutnya, tempahan kuih deram diterimanya pernah mencecah 1,000 biji sehari kerana pelanggan yang menempah menjadikan kuih itu sebagai cenderahati majlis perkahwinan.
Katanya, sejak empat bulan lalu dia turut menjual kuih deram di warungnya dan sebelum ini kuih itu cuma dijual di rumahnya dan diletakkan di kedai-kedai makan sekitar Felda Neram 2 dan Bandar Cheneh Baru.
Bagi mengembangkan lagi perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) yang diusahakannya itu, Nik Kamariah bercadang untuk turut memasarkan kuih buatannya itu ke pasaran seluruh Kemaman serta membuka bengkel membuat kuih deram miliknya sendiri.
Ke arah usaha itu, katanya, ketika ini telah mendapatkan kod bar dan maklumat nutrisi bagi produk itu dan kini sedang memikirkan cara pembungkusan yang sesuai untuk produk makanan berkenaan.
“Kalau kuih deram dibungkus dalam beg plastik, cuma boleh tahan selama lima hari sahaja kerana selepas itu rasanya akan berubah sedikit disebabkan kuih deram ini berminyak kerana digoreng.
“Jadi makcik fikir, kuih ini perlu diletakkan dalam bekas untuk dijual. Jadi sekarang makcik juga perlukan khidmat nasihat daripada mana-mana pihak yang berkaitan yang sudi membantu agar perniagaan kuih deram ini dapat dikembangkan lagi,” katanya.

Cabaran berdepan 1001 ragam jemaah



Cabaran berdepan 1001 ragam jemaah
Mutawif Muhamad Izzuddin merakam gambar ketika di tanah suci.
KUALA TERENGGANU – Enam graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang dipilih sebagai mutawif bersama Syarikat Juara Travel & Tours Sdn Bhd mengakui menempuh banyak pengalaman baharu sepanjang kerjaya sebagai mutawif profesional.
Muhamad Izzuddin Noor Ali, 24, berkata, Mac ini genap setahun penglibatan beliau dalam kerjaya sebagai mutawif bersama agensi itu.
“Kerjaya seorang mutawif memberi peluang untuk bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. Berbagai-bagai ragam manusia dapat dilihat termasuk kemusykilan berkaitan ibadah umrah.
“Walaupun menjadi mutawif pada usia muda, ia bukan penghalang untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka yang lebih berusia. Ini merupakan peluang untuk saya berkongsi ilmu kepada jemaah sekali gus menjalankan tugas-tugas sebagai pendakwah,” katanya.
Beliau berkata, sebagai mutawif perlu membuat persediaan dari segi mental dan fizikal untuk berdepan dengan 1001 ragam manusia.
“Kerjaya ini memerlukan kesabaran yang tinggi, namun terdapat banyak pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan. Paling manis bagi saya ialah dapat menjejakkan kaki ke Bumi Haramain ini setiap tahun di samping menambah ilmu mengenai sirah di Bumi Anbiya’,” katanya.
Menurut mutawif Azri Amran, 25, mutawif juga berperanan dalam menyediakan makanan, kenderaan, penginapan, kelengkapan dan khidmat nasihat kepada jemaah di Tanah Haram.
“Para jemaah akan meletakkan harapan kepada mutawif untuk memimpin mereka ke tempat penginapan, menyediakan juadah setiap hari serta akan menyediakan kenderaan untuk ke tempat tujuan mereka.
“Mutawif juga berperanan memberi teguran atas kesilapan jemaah serta memberi semangat dan galakan agar mereka bersemangat dan berusaha meraih umrah yang mabrur,” katanya.
Sementara itu, mutawif Nor Hafiz Akmal Razak, 24, berkata, mutawif juga berperanan sebagai penunjuk arah dan guru sejarah.
“Mutawif juga bertanggungjawab memimpin jemaah ke tempat yang hendak dituju dan mereka perlu mendedahkan mengenai sejarah Nabi dan sejarah para sahabat agar jemaah mengambil pengajaran,” katanya.

Seni marmar rosak hiasi rumah



Seni marmar rosak hiasi rumah
Idea untuk membeli marmar 'reject' timbul berikutan ketidakmampuan Ayah Wan untuk membeli marmar berkualiti untuk mengindahkan rumahnya.

BIARPUN ada yang memperlekehkan inisiatifnya menggunakan kepingan marmar ‘reject’ atau rosak bagi menghiasi ruang rumah, namun ia tidak pernah membuatkan datuk 12 cucu ini berjauh hati untuk terus mengindahkan kediamannya.
Malah, sehingga kini Wan Ngah Wan Ribuaal, 62, telah menggunakan lebih 5,000 keping marmar ‘reject’ sekali gus  menjadikan rumahnya seperti galeri kerana mempunyai lebih 100 corak dan pelbagai warna memenuhi rumah berkeluasan kira-kira 1,600 kaki persegi.
Berkongsi cerita, dia yang mesra dengan panggilan Ayah Wan berkata, idea menggunakan marmar ‘reject’ itu timbul enam tahun lalu setelah dia berkeinginan memasang marmar di rumahnya tetapi tidak berkemampuan membeli marmar elok kerana kosnya mahal.
“Bermodalkan RM130 pada mulanya, saya membeli marmar ‘reject’ dan mendapat kira-kira 800 keping marmar pecah dengan lebih kurang 50 corak. Walaupun ketika itu saya tiada kemahiran memasang marmar namun saya tetap melakukannya sendiri.
“Setelah ruang tamu berubah selepas dipasang marmar ‘reject’, saya melihat ia sebagai satu hasil seni dan terus berkreativiti sehingga kini. Berbanding kos membeli marmar baru yang mungkin mencecah lebih RM30,000, setakat ini saya cuma membelanjakan RM2,250 sahaja," katanya.
Menurutnya, ada juga yang datang ke rumahnya memperkecilkan tindakannya itu namun, dia tidak berkecil hati kerana sedar tidak mampu membeli marmar berkualiti.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kemahirannya memasang marmar, dia berkata, ia hadir secara sendiri.
“Selain memasang pada bahagian lantai, keseluruhan dinding serta ruang di dalam rumah termasuk bilik air juga dipenuhi seni marmar ‘reject’,” katanya.
Tambah Ayah Wan, dia turut berkreativiti dengan membuat simbol-simbol tertentu menggunakan marmar ‘reject’ khususnya pada dinding dan antaranya ialah Transformasi Terengganu Baharu (TTB), namanya, kubah masjid, pisau serta ikan.
Mahu siapkan tab mandi
Katanya lagi, di sebalik pandangan sinis diterimanya masih ada insan melihat usahanya itu dari aspek positif dan sudi bertandang ke rumahnya bagi melihat koleksi marmar dimilikinya untuk dijadikan contoh sebelum mereka ke kedai.
“Biasanya susunan marmar ‘reject’ dipasang mengikut idea sendiri, kadang-kadang saya termenung lama memandang lantai dan dinding sambil berfikir. Selain itu, saya juga gemar melihat filem kung-fu, kerana di dalamnya banyak memaparkan bangunan dipasang marmar.
“Campuran warna dipasang pada satu-satu bahagian menjadikan ruang rumah kelihatan berwarna-warni. Saya juga memasang marmar ‘reject’ pada kolam mandi terdapat di hadapan rumah berkeluasan lima meter panjang dengan kedalaman tiga meter.
“Bagi menyiapkan kolam ini, saya mengambil masa selama tiga bulan untuk kerja-kerja menggali sahaja dan tidak lama lagi akan dimulakan kerja-kerja takungan air. Sekarang ini masih ada lagi beberapa kerja-kerja akhir perlu dilakukan,” ujarnya.
Menyentuh mengenai perancangannya, Ayah Wan berkata, dia kini dalam proses menyiapkan tab mandi ala hotel serta stor di bahagian belakang rumahnya dengan menggunakan batu-bata terbuang yang dikitar semula.
Ujarnya lagi, dia tidak mahu membazir dan dek kerana itulah dia turut memilih untuk kitar semula batu-bata untuk dijadikan sebagai dinding bilik tab mandi sedang dibinanya serta menggunakan marmar ‘reject’ untuk mengindahkan kediamannya.

Kerja naik taraf helikopter Nuri dapat sentuhan hawa



Kerja naik taraf helikopter Nuri dapat sentuhan hawa
Ketua Jurutera Kanan Research and Development Aviation Design Centre, Hasfiza Abdul Halim (kanan) dan Intan Safinaz Syed Kasssim menguji sistem aviasi yang dinaiktaraf untuk helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) baru-baru ini. 
LANGKAWI - Kerja-kerja menaik taraf helikopter Sikorsky S61A-4 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atau lebih dikenali sebagai Nuri, mendapat sentuhan kaum hawa apabila dua jurutera avionik yang ditugaskan untuk kerja-kerja itu ialah wanita.
Hasfiza Abdul Halim dan Sh Intan Safinaz Syed Kassim kedua-dua mereka ialah ketua jurutera kanan di AIROD Sdn Bhd's Research and Development Aviation Design Centre dan mereka mengambil masa tidak sampai 11 bulan untuk menyiapkan kerja-kerja naik taraf pesawat pertama daripada 15 helikopter Nuri.
Menurut Hasfiza, tugasan dikenali sebagai Menaik Taraf Pesawat Nuri TUDM Fasa Empat (NUP4) dijalankan di Kemudahan AIROD di Subang dan mereka bekerja bersama-sama dengan Heli-One Norway, rakan teknikal syarikat itu di bawah persetujuan pemindahan teknologi.  
"Mereka memberi komitmen sepenuhnya kepada kerja-kerja itu tujuh hari seminggu dan apabila kerja-kerja menaik taraf siap, ia membolehkan jangka hayat Nuri dilanjutkan selama 15 tahun lagi," katanya kepada Bernama.
Ketika ditemui pada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2017 (Lima '17) di sini, beliau berkata Sistem Informasi Penerbangan Elektronik (EFIS), pengurusan penerbangan, radar, navigasi, dan sistem interkom ialah antara peralatan yang dinaik taraf.
Hasfiza berkata kerja-kerja awal untuk proses menaik taraf Nuri bermula Jun tahun lepas dan mereka menyiapkan kerja-kerja itu dengan mendapatkan kelulusan untuk menjalankan ujian penerbangan pada Februari, hanya beberapa minggu sebelum Lima'17 bermula.
AIROD menyerahkan helikopter Nuri yang telagh dinaik taraf kepada Panglima TUDM, Datuk Seri Affandi Buang, disaksikan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di luar acara itu.
"Kami menghasilkan kajian semula reka bentuk preliminari pada Julai (tahun lepas) bulan. Tiga bulan kemudian, kami melakukan kajian semula reka bentuk kritikal untuk memberi tumpuan kepada integrasi sistem," kata Hasfiza, graduan Kejuruteraan Sistem Komunikasi dari Coventry University, London.
Sementara itu, Sh Intan Safinaz lulusan Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik dari Universiti Teknologi Petronas berkata langkah seterusnya ialah untuk menyiapkan kerja-kerja menaik taraf semua 15 pesawat Nuri dan mendapatkan  pengiktirafan daripada badan-badan penerbangan berkaitan bagi kerja-kerja mereka.
"Kami berharap mendapat pengikhtirafan Directorate General for Technical Airworthiness (DGTA)," kata beliau.
Kerja-kerja NUP4 bukan projek pertama bagi kedua-dua wanita yang berasal dari Alor Setar itu kerana mereka telah terlibat dalam beberapa kerja-kerja menaik taraf avionik lain sepanjang pengalaman mereka selama 20 tahun.
Selain helikopter Nuri, mereka juga terlibat dalam proses menaik taraf pesawat awam Fokker F28 milik Transwisata dari Indonesia. 

Lima '17: Pesawat Sukhoi berlatih kurang sebulan



Lima '17: Pesawat Sukhoi berlatih kurang sebulan
Kru pesawat Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penyelenggaraan sebelum persembahan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2017 (Lima'17) Edisi Ke-14 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini. 
LANGKAWI - Pasukan aerobatik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menerbangkan pesawat Sukhoi SU-30MKM hanya menjalani latihan kurang sebulan sebagai persiapan mempamerkan aksi menarik pada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2017 (Lima '17).
Pegawai Laksana No 11 Skuadron Leftenan Kolonel Ahmad Edros Ahmad Osman berkata latihan aerobatik yang dilakukan TUDM adalah bagi melakukan aksi-aksi aerobatik unik yang tidak mampu dilakukan oleh pesawat lain.
"Kami hanya mula melakukan latihan intensif konfigurasi aerobatik bermula 7 Mac lepas selepas ditempatkan di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan persembahan aerobatik di sini.
Beliau berkata keistimewaan pesawat Sukhoi dalam melakukan persembahan aerobatik adalah ia mampu melakukan penerbangan dalam aras kelajuan yang sangat rendah.
"Sukhoi boleh diterbangkan pada aras kelajuan yang sangat rendah sekitar 40 knot. Pesawat lain tidak mampu berbuat demikian dan hanya boleh diterbangkan dengan kelajuan melebihi 100 knot," katanya yang menggunakan nama panggilan Jborg.
Menurut Ahmad Edros yang telah melakukan penerbangan Sukhoi selama lebih 200 jam, pesawat Sukhoi yang dilakukan untuk persembahan aerobatik dilengkapi dengan konfigurasi khas hanya untuk melakukan pertunjukan.
"Pesawat untuk misi aerobatik hanya boleh dilakukan oleh pesawat yang sesuai sahaja," katanya.
Persembahan aerobatik oleh TUDM menjadi persembahan yang dinanti-nantikan oleh pengunjung yang mula melawat pameran Lima '17 bermula hari ini yang diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri dan Resort World Langkawi, di sini.
Lima '17 berlangsung dari 21 hingga 25 Mac dan dianggarkan seramai 140,000 pengunjung awam akan melawat pameran dwitahunan itu tahun ini.

Jupiter, Black Eagles pamer 'friendship fly'



Jupiter, Black Eagles pamer 'friendship fly'
Pesawat KT1B Jupiter dari Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) dan pesawat T50B Black Eagles dari Tentera Udara Korea Selatan buat julung kali mempersembahkan pertunjukan aerobatik bersama pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2017 (Lima'17) Edisi Ke-14 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini. 
LANGKAWI - Buat pertama kalinya, pasukan Aerobatik Tentera Nasional Indonesia, Jupiter dan Black Eagles dari Korea Selatan membuat penerbangan bersama 'friendship fly' sekali gus menghidupkan ruang angkasa sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2017 (Lima '17) yang dibuka kepada umum hari ini.
Seawal kemunculan enam pesawat Jupiter dan lapan Black Eagle ke ruang udara, kesemua penonton berasa teruja dan tidak melepaskan kesempatan untuk mengambil gambar dan video.
Persembahan udara selama 15 minit itu dimulakan dengan kemasukan pesawat Jupiter diikuti Black Eagle, dan kemudiannya setiap pasukan membuat beberapa formasi menarik dan aksi persembahan secara bersilih ganti. 
Sementara itu seorang juruterbang Black Eagle, Mejar Kyuwon Lee seperti diterjemahkan jurubahasa berkata amat gembira mendapat peluang seperti itu dan berharap dapat melakukan perkara yang sama untuk Lima akan datang.
Walaupun berlainan negara dan pesawat, apa yang paling penting kata beliau ialah kepercayaan di antara setiap juruterbang untuk melakukan penerbangan bersama selain membuat latihan yang berterusan.
Black Eagles memenangi trofi Boeing bagi persembahan terbaik pada Pameran Udara Antarabangsa Waddington ke-17 pada 1 Julai 2012.
Seminggu kemudian mereka dinobat penerima anugerah 'King Hussein Memorial Sword' untuk persembahan terbaik keseluruhan pada Pertunjukan Tatu Udara Antarabangsa Diraja, pameran udara tentera terbesar di dunia yang diadakan setiap tahun di Glouchestershire, England.  
Jupiter kembali ke Lima setelah menarik diri pada Lima '15 apabila dua pesawat milik Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (AU-TNI) itu terhempas ketika melakukan latihan aerobatik.

Bergantung pada GPS boleh rosakkan sel otak?



GPS
Jika terlalu bergantung harap menggunakan gps akan mematikan sebahagian sel otak
ZAMAN teknologi menyaksikan bagaiamana manusia terlalu bergantung pada alatan elektonik, contohnya penggunaan alat Sistem Pengesanan Global (GPS) dalam mencari jalan ke sesuatu tempat.
Satu kajian dibuat di mana para saintis mengkaji kesan penggunaan terlalu bergantung harap pada alat GPS ini kepada otak dan mendapati mereka yang sering menggunakannya akan mematikan bahagian otak yang digunakan untuk kemahiran navigasi.
Kajian tersebut diterbitkan dalam sebuah jurnal ‘Nature Communication’ di mana para penyelidik mendapati otak berfungsi dengan aktif apabila seseorang itu menggunakan segala kemahiran navigasi sewaktu mencari lokasi tertentu.
“Apabila kita mempunyai teknologi memberitahu ke mana arah yang harus dituju, bahagian-bahagian otak tidak akan bertindak-balas dengan keadaan sekeliling.
“Keupayaan untuk peka terhadap alam sekeliling telah hilang kerana terlalu bergantung harap pada gps,” kata penyelidik daripada Jabatan Psikologi Experimen, Universiti London College, Hugo Spiers.
Tambah Spiers lagi, penggunaan gps yang kerap juga mempunyai kesan jangka panjang dimana pengguna akan sukar untuk melalui jalan-jalan yang biasa dilalui tanpa menggunakan bantuan tersebut.
Sementara itu, seorang lagi penyelidik dari Universiti Kent, Amir Homayoun-Javadi berkata, tidak salah jika menggunakan GPS namun ada batasnya.
“Tidak dinafikan GPS amat membantu namun penggunaannya harus mempunyai batasan, individu seharusnya lebih memahami keadaan sekeliling,” katanya.
Lanjutan daripada kajian para saintis juga mendapati rangkaian jalan raya di seluruh dunia menunjukkan betapa mudahnya untuk dinavigasi tanpa menggunakan GPS.
“Contohnya seperti bandar Manhattan di New York yang mempunyai susun atur dan grid yang mudah untuk dihafal serta kebanyakkan persimpangannya hanyalah bergerak lurus, pusing kiri atau kanan,” terang penyelidik.

Boleh uji air mani menggunakan telefon pintar



Boleh uji air mani menggunakan telefon pintar
Peranti yang dibangunkan penyelidik Amerika Syarikat. 

MIAMI - AMERIKA SYARIKAT. Sebuah peranti telefon pintar baru direka bagi membolehkan ia menganalisis kepekatan air mani lelaki dan membolehkan hasilnya diketahui hanya dalam masa beberapa minit tahap mutu air mani yang diuji.
Memetik laporan CNN, peranti yang dibangunkan penyelidik Amerika Syarikat itu memudahkan lelaki bagi menguji sendiri air mani mereka di rumah.
"Kami mahu mencari jalan penyelesaian untuk membuat ujian kemandulan lelaki menjadi lebih mudah dan berpatutan seperti ujian kehamilan di rumah.
"Kerana sebelum ini lelaki perlu menyediakan sampel air mani di bilik hospital iaitu satu keadaan yang membuat mereka sering mengalami tekanan, malu, pesimisme dan kecewa," kata penulis bersama Hadi Shafiee, seorang doktor di bahagian kejuruteraan perubatan di Brigham dan Sekolah Perubatan Harvard, yang mengetuai kajian itu.
Terdahulu teknologi itu diterangkan dalam jurnal Science Translational Medicine.
Ia berfungsi dengan menggunakan gabungan lampiran optik yang boleh disambungkan ke telefon pintar dan peranti buang selepas guna untuk memuatkan sampel air mani, kata laporan itu.
Penyelidik menguji peranti menggunakan 350 spesimen air mani di Pusat Kesuburan Hospital Besar Massachusetts (MGH).
Berdasarkan ujian yang menggunakan peranti telefon pintar itu bagi mengesan sampel air mani yang tidak normal, keputusan menunjukkan ia berjaya menepati ketepatan sehingga 98 peratus berdasarkan kepekatan dan motiliti Pertubuhan Kesihatan Dunia.
Kos bahan yang digunakan memasangnya ialah AS$4.45 (RM19.71).
"Keupayaan membawa ujian air mani kepada pengguna, atau kemudahan kesihatan dengan sumber terhad, adalah satu perubahan,Perkembangan ini akan menyediakan akses lebih cepat dan lebih baik kepada penjagaan kesuburan," kata penulis bersama John Petrozza, dan pengarah Pusat Kesuburan MGH.
Peranti itu belum dipasarkan kepada kepada orang ramai dan masih dalam peringkat prototaip.
Penyelidik merancang mengadakan ujian tambahan sebelum memfailkan bagi kelulusan Pentadbiran Makan dan Ubat Amerika
.

Terjun sungai penuh buaya kerana gadis



Terjun sungai penuh buaya kerana gadis
Hanya kerana ingin menarik perhatian teman wanita, De Paauw terjun ke dalam sungai dipenuhi buaya 
QUEENSLAND - AUSTRALIA. Lelaki selalunya sanggup membuat satu keputusan yang berani dan pelik untuk membuktikan kepada wanita, namun biasanya ia tidak melibatkan reptilia gergasi, lapor Huffington Post.
Seorang ‘backpacker’ warga Australia, Lee De Paauw menceritakan saat cemasnya apabila dia mengambil keputusan untuk terjun ke dalam sungai dipenuhi buaya kerana ingin menarik perhatian wanita yang disukainya.
“Ketika itu (terjun) saya dapat rasa inilah penghujungnya, saya menumbuk buaya itu di muncungnya. Kali kedua saya menumbuk, kena tepat pada matanya  dan kemudian barulah reptilia itu melepaskan gigitan,” katanya kepada 9news Australia.
Sementara itu, wanita yang ingin dipikat remaja lelaki itu, Sophie Patterson turut berkongsi detik cemas apabila melihat De Paauw terjun ke dalam sungai.
“Semuanya berlaku sangat pantas, sebaik sahaja dia terjun saya dengar percikan air dan jeritan. Saat dia berjaya keluar dari sungai itu, seolah-olah baru lepas menonton filem ‘Jaws’.
“Ada banyak darah serta tulang juga kelihatan. Ia sangat menakutkan,” katanya.
Bagaimanapun, usaha De Paauw tersebut berjaya apabila dia menjadi teman lelaki kepada Patterson.
“Sophie seorang yang penyayang dan baik hati.
"Sebenarnya, saya tidak tahu pun ada buaya di dalam sungai itu, terjunan itu dibuat semata-mata demi dia,” katanya lagi.

Friday, March 24, 2017

Saya tiada lagi hubungan dengan kedua-dua mereka



 Adi Putra
TEKA-teki mengenai status perkahwinan pelakon, Adi Putra akhirnya terjawab apabila dia memuat naik satu status di laman Instagram miliknya hari ini.
Status tersebut menjelaskan bahawa beliau kini sudah tidak mempunyai hubungan dengan kedua-dua bekas isterinya lagi.
"Ramai yang bertanyakan tentang status rumahtangga saya, di sini ingin dinyatakan saya tidak ada apa-apa hubungan dan kaitan lagi dengan Aida Yusof (isteri pertama) dan Norshahida Zolkifly (isteri kedua).
"Pada rakan media yang saya hormat, saya tidak ada apa-apa kenyataan untuk diberi," katanya di laman Instagram.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Adi Putra telah bercerai dengan isteri pertamanya, Aida namun kedua-dua mereka mengambil langkah berdiam diri.
Sementara itu, pelakon itu turut meminta agar tidak menggangu kedua-dua bekas isterinya.
"Beri penghormatan pada Aida dan Shahida agar tidak diganggu. Terima kasih," katanya lagi.

Tawar tampil lakonan berbeza Syafiq Kyle



Syafiq Kyle
KERJAYA sebagai pengkritik makanan nampak mudah, namun hakikatnya seseorang itu memerlukan deria rasa yang hebat dan memahami selok-belok penyediaan makanan.
Biasanya pengkritik makanan ini mempunyai deria jenis makan lebih spesifik misalnya untuk pakar merasa aiskrim hanya akan menguji rasa aiskrim sahaja. Begitu juga jenis-jenis makanan lain.
Menampilkan lakonan santai Syafiq Kyle, Faye Khusairi, Syed Ali, Ucop Cecupak dan Syalena, saksikan telemovie Tawar mengisi slot Citra di TV2 pada 28 Mac ini, jam 10 malam.
Tawar mengisahkan Que Dani atau Dani, blogger terkenal di Malaysia. Dani merupakan seorang food critic  yang dibayar untuk makan di restoran-restoran dan memberikan ulasan mengenainya.
Terkenal dengan gelaran ‘Raja Rasa’ di mana dia dikatakan mempunyai taste pallet  terbaik di Malaysia.
Namun suatu hari Dani bangun dan mendapati lidahnya tiada lagi deria rasa. Dia buat pemeriksaan doktor di hospital, tetapi disahkan sihat.
Sejak itu kariernya mula menurun, dia tidak lagi dipanggil untuk memberi ulasan tentang masakan dan menjadi juri pertandingan masakan.

Dia bersama pembantunya yang setia bernama Fauzi kemudiannya membuka restoran pula kerana beranggapan bahawa dia boleh memasak dengan sedap. Malangnya restoran diusahakan mereka juga tidak mendapat sambutan.
Pada hari pembukaan, hanya seorang wartawan iaitu Kamilia atau Camy bersama pembantunya Jescica yang datang. Seorang gadis Sarawak bernama Mia datang ke restoran Dani dan membantu dia berjaya kembali.
Deria rasa Dani juga sudah kembali, tetapi kali ini dia telah kehilangan pembantunya, Fauzi dan Camy yang mencintainya. Ini kerana Dani berbalik kepada perangai lamanya yang angkuh dan tidak memikirkan diri orang lain. Fauzi dan Camy merajuk dengan sikap Dani itu.
Bagaimana pun adakah Dani insaf dan meminta maaf kepada Camy? Adakah dia berjaya memajukan restorannya dengan ambil chef yang pernah dijatuhkannya dulu untuk jadi rakan kongsi dan bekerja bersama dengannya?