
Sebahagian penerima sumbangan program pengagihan Dana World Hunger Relief KFC & Pizza Hut.
KFC dan Pizza Hut Malaysia melalui Program Pengagihan Dana World Hunger Relief (WHR) KFC & Pizza Hut menyalurkan sumbangan RM370,000 kepada 37 rumah kebajikan terpilih dan bantuan makanan kepada individu kurang bernasib baik di seluruh negara.
Naib Presiden Kanan KFC Malaysia, Ling Mee Jiuan berkata, kempen WHR merupakan inisiatif tahunan KFC dan Pizza Hut Malaysia bagi membantu membasmi isu kelaparan di seluruh dunia dilancarkan pada Jun tahun ini dengan pelbagai inisiatif menarik bagi mengumpulkan dana.
"Program ini tidak mungkin dapat dicapai sekiranya tanpa sokongan berterusan daripada kesemua pelanggan kami.
"Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang bermurah hati menderma dan terus menyokong kempen WHR ini,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Mee Jiuan berkata, tahun ini merupakan tahun kesembilan kempen itu dijalankan.
"Sama seperti tahun sebelumnya, kempen WHR mengumpul dana melalui pembelian set hidangan World Hunger Meal di rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut dan setiap set hidangan dijual di bawah promosi ini dikenakan caj tambahan 50 sen yang disalurkan terus kepada tabung WHR.
"Sepanjang kempen ini, tabung derma disediakan di setiap restoran KFC dan Pizza Hut.
"Kempen ini juga memperluaskan usahanya iaitu dengan menambah saluran menderma secara atas talian dan memberi peluang kepada orang ramai untuk menderma dengan lebih mudah," katanya.
Jelasnya, sebuah konsert amal WHR bakal diadakan pada penghujung tahun ini untuk meneruskan usaha pengumpulan dana.
"Fokus kempen berkaitan bantuan makanan dan dana tersebut telah disalurkan bagi membantu mereka yang kelaparan dan kurang bernasib baik.
"Di samping dana kepada rakyat tempatan, sebahagiannya turut disalurkan kepada Program Makanan Dunia Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya.
Program Pengagihan Dana WHR yang dilancarkan tahun lalu memperluaskan kerja pengagihan melalui kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Antara NGO terlibat adalah Pertiwi Soup Kitchen, Kechara Soup Kitchen, Hope Worldwide Malaysia, Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (Yokuk) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: