Saturday, October 24, 2015

4 juta tonton pentas akhir Da’i



4 juta tonton pentas akhir Da’i
4 juta tonton pentas akhir Da’i
SETELAH sembilan minggu bersiaran, Pentas Akhir Da'i menyaksikan hampir 4 juta penonton menjadi saksi Da’i Hamidah dinobatkan menjadi juara Da’i Pendakwah Milenia musim ketiga.

Hanya dengan menjadi dirinya sendiri, Da’i Hamidah kembali mencuri perhatian para juri di pentas akhir Da’i Ahad lalu. Mengungguli dengan pungutan markah keseluruhan sebanyak 85.9%, Da’i Hamidah telah diangkat sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 tajaan TV3, saham PNB berjumlah RM5,000, pakej umrah tajaan Kembara Umrah Travel & Tours, Kembara Ilmu ke Istanbul & Ho Chi Minh, komputer peribadi tajaan Serai Mas dan juga pengalaman bekerja bersama Media Prima Berhad.

Da’i Hamidah juga bakal menjadi kolumnis selama 6 bulan dalam Majalah-i, mendapat langganan percuma selama setahun dan menerima sebuah Al-Quran Amazing sumbangan daripada Majalah-i.

Da’i Hamidah turut membolot hadiah Da’i Pilihan D’Herbs yang disampaikan sendiri oleh Datuk Aliff Syukri, Pengarah Urusan D’Herbs Holding Sdn. Bhd selaku penaja utama bagi musim ini.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Sherina Nordin, jumlah penonton program Da'i semakin meningkat jika dibandingkan dengan dua musim terdahulu.

“Jika dilihat daripada rancangan Da’i musim terdahulu dan kini, jumlah penonton semakin meningkat lebih-lebih lagi apabila disiarkan di waktu perdana iaitu pada jam 9 malam.

"Peningkatan jumlah tontonan ini menandakan program sebegini mendapat permintaan yang sangat tinggi daripada penonton. Da’i memberi peluang buat anak-anak muda khususnya untuk menonjolkan kebolehan mereka dalam bidang dakwah tanpa batasan.

"Ini terbukti apabila tidak kesemua peserta mempunyai latar belakang pengajian dalam bidang agama tetapi mereka telah berjaya mara ke peringkat akhir dan menjadi ikon di luar sana,” katanya.

Musim ini mengetengahkan konsep baharu apabila lima peserta lelaki iaitu Da’i Fuad, Da’i Luqman, Da’i Hilman, Da’i Hijrah dan Da’i Ariffin dan lima peserta wanita iaitu Da’i Hamidah, Da’i Hidayu, Da’i Izzlyn, Da’i Syuhada dan Da’i Syailah bersaing di bawah pimpinan dua Murabbi (mentor) iaitu Elyas Ismail membimbing kumpulan lelaki (Ar-Rijaal) dan Dr. Rubiah K. Hamzah bagi kumpulan perempuan (An-Nisaa’). Manakala Datuk Kazim Elias pula bertindak sebagai Mursyid (ketua mentor).

Ahad lalu, tiga peserta akhir iaitu Da’i Fuad, Da’i Hamidah dan Da’i Hidayu perlu menyempurnakan tugasan terakhir mereka di pentas Da’i ini dengan menghuraikan secara bijaksana tazkirah yang bertemakan Amanah Da’i.

Untuk pentas akhir, juri profesional menentukan 70% markah keseluruhan, 20% lagi disumbangkan oleh juri awam dan 10% lagi diperoleh melalui Taswit/juri sosial media di laman web www.tv3.com.my.

Antara selebriti yang duduk di kerusi juri awam di pentas akhir Da’i musim ketiga malam ini ialah Saiful Nizam, Norman Hakim, Syafiq Kyle, Da’i Adibah (Pemenang Da’i musim pertama), Da’i Farhan (Pemenang Da’i musim kedua), Aida Citra, Memey Suhaiza, Erra Fazira dan Datin Seri Umie Aida.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: