Bom mortar yang ditemui di tepi kolam ikan berjaya dimusnahkan UPB, kelmarin.
KAMPAR – Orang awam terkejut apabila menemui sebutir bom mortar sepanjang 0.8 meter dalam keadaan elok di tepi kolam ikan di Taman Damai, Mambang Diawan di sini, petang kelmarin.
Polis bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima maklumat kira-kira jam 3 petang.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, beliau mengesahkan objek berukuran lilit 12 sentimeter berkenaan merupakan bom lama yang masih dalam keadaan sempurna.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati bom berkenaan adalah bom moden jenis PRAC (INT-A) CAN 90.
“Kita menghubungi Unit Pemusnah Bom (UPB) untuk mengambil tindakan lanjut. Pegawai UPB mengambil masa untuk memindahkan bom berkenaan ke kawasan lapang untuk diletupkan.
“Setelah mengambil kira langkah-langkah keselamatan, UPB berjaya meletupkannya kira-kira jam 6.45 petang,” katanya.
Katanya, pihaknya masih menyiasat bagaimana bom mortar berkenaan berada di tepi kolam berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: