SETIAP kali menonton drama TV atau filem, pasti akan terdengar keluhan mengenai beberapa lokasi yang sering diguna pakai tidak kira dalam drama bersiri, telefilem mahupun filem.
Namun tahukah anda, lokasi penggambaran sebenarnya memberi satu masalah besar kepada sesebuah team produksi.
Dan masalah itu juga turut dirasai oleh kru penggambaran drama terbaharu, Dhia Sofea.
Menurut penerbit dan pengarahnya, Rashid Sibir, masalah lokasi bukanlah perkara baharu yang dihadapi oleh sesebuah team produksi, dan lokasi seperti hospital serta pejabat agak sukar untuk didapatkan.
Katanya, dek masalah itu, dia terpaksa turun ke Johor Bahru bagi menyempurnakan babak melibatkan pejabat.
"Dahulu ketika menyiapkan drama Dalam Hati Ada Cinta, saya berjaya mendapatkan tajaan dari sebuah hotel di Genting Highlands untuk digunakan sepanjang penggambaran drama berkenaan.
"Pada saya ketika itu, pegawai perhubungan hotel berkenaan memberikan kepercayaan dan kerjasama yang cukup baik pada kita.
"Namun berbeza dengan kebanyakan pegawai perhubungan hotel kini yang mana mereka tidak percaya sesebuah penerbitan drama boleh membantu memberi promosi kepada hotel atau pun resort mereka.
"Mereka tidak lagi mempunyai kepercayaan korporat menyebabkan kebanyakan drama, telefilem atau filem menggunakan kebanyakan lokasi yang sama," ujarnya kepada Zass.
Tambah Rashid, dia bagaimanapun beruntung kerana masih ada sesetengah hotel masih sudi memberi kerjasama biarpun mereka terpaksa keluar dari Kuala Lumpur untuk menyiapkan penggambaran.
"Alhamdulillah saya mendapat kerjasama dan tajaan daripada Doubletree By Hilton Hotel Johor Bahru dalam penggambaran melibatkan hotel dan juga beberapa butik serta pejabat di Johor Bahru.
"Sebagai pengarah, saya sangat menitik beratkan soal lokasi kerana lokasi memainkan peranan dalam mencantikkan sinematografi sesebuah drama itu.
"Bahkan ada lokasi yang tidak wujud dan kita reka untuk tampak menarik di dalam kaca TV," katanya.
Gabungan baharu & lama
Bercerita lanjut mengenai pembikinan drama Dhia Sofea, Rashid berkata, seperkara lagi yang menarik mengenai drama ini adalah penglibatan muka baharu yang digandingkan bersama muka lama.
Antara barisan pelakon yang terlibat di dalam drama ini adalah Amyra Rosli, Fadlan Hazim, Syafiq Kyle, Sharifah Haslinda, Maria Farida, Dato’ Eizlan Yusof, Roy Azman, Raja Ema, Norlia Ghani dan Sasqia.
Menyentuh penglibatan Sharifah Haslinda yang juga kakak kepada Sharifah Shahirah dan Sharifah Sakinah di dalam drama ini, Rashid berkata, dia berasa amat bertuah kerana Sharifah Haslinda yang mesra disapa dengan panggilan Lynn, bersetuju untuk berlakon di dalam drama ini.
"Umum sedia maklum Lynn sudah 15 tahun tidak berlakon kerana memberi tumpuan kepada keluarga. Sebenarnya dia pernah menyampaikan hasrat untuk kembali berlakon tetapi komitmen terhadap keluarga memberi batasan kepadanya.
"Jadi apabila dia benar-benar sudah senang, dia hubungi saya dan kami sememangnya saling berhubungan dan mempunyai hubungan yang baik.
"Dek kerana itu saya tawarkan dia berlakon di dalam drama ini dan beri dia watak antagonis bagi membuatkan penonton ingat dengan lakonannya," ujarnya.
Tidak hanya memberi tumpuan kepada Lynn, Rashid berkata, dia juga mengimbangkan lakonan pelakon lama dan baharu agar mereka nampak serasi di skrin.
"Alhamdulillah saya mendapat kerjasama dan komitmen yang baik daripada semua pelakon termasuk pelakon baharu.
"Jika kebanyakan drama bersiri sekarang mempertaruhkan muka baharu, saya memilih untuk mengimbangkan lakonan semua pelakon agar tampak sama rata," katanya.
Mesej tersirat
Dalam pada itu, Rashid berkata, dia berharap penonton akan menonton Dhia Sofea bukan kerana rating semata-mata, sebaliknya menonton kerana unsur kemanusiaan yang diselitkan di dalam drama ini.
"Saya banyak menyelitkan mesej tersirat untuk difahami dan diteladani bersama, terutamanya mengenai kasih sayang," katanya.
Drama bersiri 15 episod arahan Rashid Sibir mengisahkan Dhia Sofea (Amyra) mula mencari siapakah ibu dan bapa kandungnya selepas mendapat tahu dia hanyalah anak angkat kepada Mak Yam (Norlia).
Mak Yam membesarkan Dhia seperti anak kandungnya. Din (Syafiq), seorang anak yatim piatu juga menumpang kasih Mak Yam.
Din menyimpan perasaan terhadap Dhia tetapi dia tidak meluahkan isi hatinya apabila Dhia pulang ke kampung bersama teman lelakinya, JJ (Fadlan).
Dhia hanya mempunyai seutas rantai berhuruf M yang dipakai sewaktu bayi dijadikan sebagai bukti sehinggalah dia terjumpa sekeping gambar lama di rumah JJ ketika hadir ke parti hari jadinya.
Dhia terkejut apabila JJ memberitahu Lorena (Maria Farida) adalah ibunya, dan dia mula mencari alasan untuk mendekati Lorena. Namun Lorena juga tidak mahu kerjaya suaminya, Mahadi (Datuk Eizlan Yusof) tercalar.
Berjayakah Dhia menemui siapakah ibu bapa kandungnya? Saksikan kesudahannya menerusi slot Samarinda pada setiap hari Rabu dan Khamis jam 10 malam di TV3.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: