Sunday, October 25, 2015

Bakat istimewa Pakho Chau



Pakho Chau
Pakho Chau
KARIER Chau Pak-ho bermula sebagai pemain bola keranjang yang kemudiannya menjadi model.

Dia yang lebih dikenali dengan nama Pakho Chau akhirnya beralih kepada bidang muzik pada 2007 selepas bergelar penyanyi dan komposer seterusnya kini muncul sebagai aktor.

Dengan keupayaan itu, maka tidak hairanlah Pakho Chau mampu menjadi bintang terkenal di Hong Kong, suatu hari nanti.

"Ketika itu, adalah satu perkara biasa apabila seorang model bertukar menjadi penyanyi.

"Tetapi, saya bukanlah bertukar karier secara membabi buta sebaliknya saya pernah bekerja sebagai jurutera muzik sebelum beralih sepenuhnya dalam bidang tersebut.

"Malah, ketika bekerja di studio rakaman, saya belajar daripada asasnya. Bermula daripada peringkat bawah. Selepas itu, saya mula melibatkan diri dalam bidang produksi," katanya.

Katanya, meskipun bekerja dari bawah, ia memberi peluang yang sangat berguna buat artis kelahiran Hong Kong ini.

Bagaimanapun, di sebalik sikapnya yang sentiasa ceria, Pakho Chau adalah seorang yang sangat sensitif.

Malah, penyanyi kacak ini sering melampiaskan perasaannya kepada perkara yang berada di sekelilingnya.

"Saya dapat rasakan ia hidup. Macam Toy Story.

"Saya juga suka melakukannya melalui penulisan. Ada sesetengah memuji kerja saya, manakala ada juga yang mengkritik saya dan mengatakan saya terlalu sentimental.

"Tetapi, semua orang mempunyai jalan mereka sendiri demi menyatakan diri mereka.  "Malah, lagu saya, There’s Only One Thing I Won’t Let You Do, saya hasilkan khas buat rakan baik saya yang menderita penyakit kanser buat kali kedua. Kami sama-sama bermain bola keranjang dan dia juga yang mengajar saya bermain gitar," katanya.

Sehingga hari ini, Pakho Chau sudah menghasilkan beberapa album termasuklah Beginning (2007), Continue (2008), Follow (2009),  Remembrance (2010), Get Well Soon (2012), Imperfect Collection (2012) dan Keep Going (2015).

Selain itu, dia juga pernah memenangi pelbagai anugerah terutamanya dalam kariernya di bidang muzik.


Suka berlakon

Tidak hanya menjadi model, penyanyi dan komposer, Pakho Chau juga sangat berbakat dalam bidang lakonan.

Tambahnya, kesemua bidang yang diceburinya itu mempunyai tahap keseronokannya yang tersendiri.

"Darjah keseronokan sebagai seorang penyanyi hanyalah berlaku ketika berada di atas pentas. Sebaik saja turun dari pentas, rasa seronok itu telah hilang.

"Menjadi pelakon pula, tempohnya sangat lama bermula daripada peringkat penggambaran sehinggalah filem itu disiapkan sepenuhnya.

"Berlakon juga memerlukan kerja berpasukan di antara semua pihak," katanya.

Pada masa sama, Pakho Chau juga berharap agar lebih banyak peluang berlakon diberikan kepadanya pada masa hadapan.

"Saya harap begitulah. Tidak sekadar bergelar penyanyi, saya juga meletakkan harapan tinggi dalam bidang lakonan.

"Saya suka berlakon bahkan saya juga suka melakukan sesuatu perkara baru," katanya.

Bukan itu saja, dia turut menunjukkan minat pada kerja-kerja belakang tabir sehingga pernah mengimpikan untuk bergelar pengarah dan penerbit, suatu hari nanti.

Sehingga hari ini, artis berusia 30 tahun itu telah membintangi pelbagai filem seperti Love Is Elsewhere (2008), Basic Love (2009), Out Of Proportion (2009), Seven 2 One (2009), Split
Second Murders (2009), I Corrupt All Cops (2009), Once a Gangster  (2010), The Way We Were (2011), Hong Kong Ghost Stories (2011), Lan Kwai Fong (2011), I Sell Love (2014), S for Sex, S for Secret (2015), 12 Golden Ducks (2015), Guilty (2015), My Wife Is a Superstar (2015) dan Love Detective (2015).

Selain itu, dia juga menjadi penyumbang suara versi Kantonis bagi beberapa filem pecah panggung bagi seperti Shrek the Third (2007), 10 Promises To My Dog (2008) dan Madagascar: Escape 2 Africa (2008).


Gembira berada di Malaysia

Dalam perkembangan lain, Pakho Chau bakal muncul dalam filem terbaharunya, Big Fortune Hotel bergandingan dengan Shiga Lin, Helena Law Lan dan Lo Hoi-pang.

Menariknya, filem arahan Stephan Yip Tin Hang ini turut menjadikan Malaysia sebagai salah satu lokasi penggambaran.

Berkongsi pengalamannya berada di sini, kata Pakho Chau, Malaysia mempunyai banyak tempat yang menarik selain kaya dengan keindahan alam semula jadinya.

"Malaysia sangat istimewa. Saya gembira sepanjang berada di sini. Malah, sebelum ini, saya kerap datang untuk melancong.

"Saya harap dapat menghasilkan sebuah lagu untuk dipasarkan di negara ini," katanya.

Big Fortune Hotel mengisahkan seorang komposer muzik, Meng yang terlalu fokus pada kerjaya sehingga membiarkan kekasihnya mati dalam satu kemalangan.

Tertekan dengan kematiannya, Meng telah membuat keputusan untuk menunaikan permintaan akhir kekasihnya dengan mengembara ke seluruh Asia Tenggara dengan berbasikal.

Apakah yang bakal terjadi? Nantikannya di pawagam berdekatan mulai 29 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: