MESKIPUN usianya kini sudah memasuki 66 tahun, namun penglibatannya dalam bidang sastera tidak pernah luntur dan karyanya sering menjadi sebutan serta panduan.
Mula meminati sastera sejak di bangku sekolah rendah lagi, Datuk Abdul Rahman Shaari atau dikenali dengan nama Rahman Shaari mengakui dirinya memiliki pandangan sendiri dalam bidang sastera ini.
Menurut pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini, beliau lebih cenderung untuk mengemukakan fikiran matang dan berseni.
“Ia merupakan perkara yang paling penting dalam sastera. Justeru, saya memilih untuk kemukakan pemikiran matang dengan gaya berseni.
“Oleh itu, apabila ada orang membaca atau mendengar ungkapan yang saya sampaikan, terpulang kepada mereka untuk menerimanya atau sebaliknya,” katanya kepada Zass.
Tambahnya, bagi dirinya dalam dunia sastera pemikiran matang itu penting, kerana jika tidak memilikinya sukar menerima sebarang kritikan.
“Jika ambil fikiran matang, dengan sesiapapun yang pernah mengkritik kita, akan dianggap sebagai pandangan masing-masing, namun hubungan persahabatan masih terjalin.
“Sekiranya kita kritik, kemudian timbul kemarahan di pihak tersebut, maka itu tidak dipanggil pemikiran matang,” katanya.
Sebagai tokoh sastera yang aktif dalam bidang puisi, Rahman berkata, menjadi sasterawan amat perlu untuk memberi tumpuan sepenuhnya pada sesuatu karya.
“Saya kini sedang menulis satu artikel yang berkenaan penglibatan dalam dunia sastera. Jika mahu duduk dalam sastera dan mahu fahami apa itu sastera, tumpuan harus diberikan.
“Sekiranya tidak memberi tumpuan, banyak yang menyangka semua buku seperti buku cerita dan sajak yang dijadikan ukuran sekarang sebagai sastera. Sebenarnya perlu fahami betul-betul baru mengetahui sastera itu apa sebenarnya.
“Sering kali juga, ada sesetengah pihak misalnya ketua penulis masih tidak faham apa itu sastera kerana hanya pandai memuji karya namun tidak membacanya terlebih dahulu seterusnya difahami.
“Hanya membuat andaian berdasarkan cakap-cakap orang lain, itu bukan pencinta sastera namanya,” katanya.
Bermula dari sekolah
Sebagai tokoh sastera yang sudah berpuluh tahun dalam bidang ini, Rahman yang juga kolumnis di akhbar Sinar Harian sempat bercerita permulaan minatnya dalam penghasilan karya sastera.
“Ketika umur belasan tahun iaitu sekolah menengah saya mula dengan pantun dan ada hasil cerita seperti ‘Sesat Di Dalam Hutan’ berjaya dihasilkan.
“Ketika sekolah rendah pula, memang mula minat dalam kesenian ini, tetapi hanya berkesempatan berlakon di sekolah dan drama yang dianjurkan belia kampung.
“Setelah menginjak pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris (Mpsi) yang kini menjadi Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi), bakat untuk terus berkarya semakin berkembang,” katanya.
Karya sajaknya yang pertama dihasilkan ketika di Mpsi dan mendapat ulasan daripada sasterawan Dharma Wijaya dan Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) ketika itu.
“Walaupun itu karya pembuka saya yang pertama tetapi saya berbangga kerana terus mendapat ulasan sasterawan terkenal.
“Ketika mula mengajar di sekolah juga, saya semakin banyak menulis sajak sehinggalah masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1973 sebagai tutor.
“Di UKM saya mendapat pendedahan daripada Tokoh Sastera, Prof Dr Muhammad Salleh seterusnya merancakkan lagi penghasilan sajak dan puisi kerana sudah mengetahui kaedah untuk hasilkan karya itu,” katanya.
Mula cenderung menulis novel, Rahman kini mampu tersenyum dengan lima novel yang sudah dihasilkan, termasuk Semoga Molek (2013) terbitan Alaf 21.
"Kenapa saya mula minat tulis novel, kerana penulisan puisi maksudnya tidak jelas untuk difahami terus oleh pembaca, namun jika menulis novel, segalanya diceritakan secara terperinci termasuk watak, isu dan pengajarannya.
“Namun tidak bermakna saya sudah meninggalkan dunia puisi. Masih lagi menerima jemputan untuk mendeklamasi puisi dan sajak sehingga kini kerana memang itu kelebihan saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: