Medina
KEWUJUDAN duo yang diberi nama Medina ini sangat ‘manis’. Masakan tidak, segalanya bermula di masjid. Malah, nama Medina juga diambil sempena nama sebuah masjid yang secara tidak langsung menjadi lokasi kedua-duanya berkumpul dan mendalami agama Islam di Bandung, Jawa Barat, Indonesia.
Menariknya, sebelum ini, duo ini dilatari dengan aliran muzik pop tetapi kini lebih berfokus kepada kegiatan dakwah.
Mereka ialah bekas vokalis Nineball, Ray Shareza dan vokalis Matta Band, Sunu Haramain.
Ray yang mula mendalami agama Islam sejak 2010, disusuli dengan Sunu pada 2011 menyifatkan penghijrahan mereka dalam mendekatkan diri kepada-Nya diibaratkan sebagai menemui dunia yang telah lama ditinggalkan.
Bahkan, sejak berhijrah, Ray nekad untuk meninggalkan kumpulan muzik, Nineball yang dianggotainya selama 10 tahun sekali gus berjaya menaikkan namanya sebagai penyanyi.
“Apabila saya ambil keputusan untuk beralih ke lagu ketuhanan, ada peminat yang menyokong tetapi tidak kurang juga yang menentangnya. Saya kuatkan semangat untuk berubah dan menjadi insan yang lebih baik di sisi agama,” katanya.
Berbeza dengan Ray, Sunu pula masih lagi aktif berperanan sebagai vokalis Matta Band.
“Saya masih menjayakan persembahan dengan Matta Band sehingga ke hari ini. Kebetulan, Medina dan Matta Band berada di bawah satu syarikat pengurusan yang sama, Positif Art jadi tiada masalah bagi kedua-duanya.
“Alhamdulillah, semua ahli kumpulan lain malah peminat juga tidak menghalang saya untuk menyertai Medina. Bahkan, mereka melihat penghijrahan saya daripada sudut positif.
“Sebagai penyanyi dan komposer, saya mahu menggunakan bidang ini sebagai penyampaian dakwah,” katanya.
Kolaborasi Hafiz Hamidun
Dalam pada itu, kedatangan Medina ke Malaysia bukanlah dengan ‘tangan kosong’ sebaliknya bertujuan untuk melancarkan single pertama mereka, Dunia Sementara Akhirat Selamanya.
Kata Sunu, kekuatan single Dunia Sementara Akhirat Selamanya lebih kepada memberi peringatan kepada semua manusia bahawasanya kematian itu adalah pasti tanpa mengira peringkat usia dan golongan.
“Setiap yang bernyawa pasti akan mati dan tidak ada yang akan terkecuali,” katanya.
Lebih menarik, single terbabit turut dimuatkan dalam album kompilasi lagu terbaik artis tempatan edaran Arteffects Sdn Bhd dan Sony Music.
“Kami telah didatangi oleh penyanyi dan komposer terkenal, Hafiz Hamidun sekitar Ramadan lalu. Hasil perbincangan bersama, dia berminat untuk membawa single ini ke Malaysia seterusnya memasarkannya.
“Kami berharap single ini akan diterima oleh semua pencinta muzik di sini,” kata Ray.
Pada masa sama, Medina juga mengimpikan untuk berkolaborasi dengan pelantun lagu Kasih Padamu dan Jodoh Berdua itu.
Kata mereka, Hafiz adalah antara penyanyi lagu kerohanian dari Malaysia yang menjadi sebutan di negara kelahirannya.
“Kami sudah berjumpa dengannya dan berbincang mengenai perkara ini. Alhamdulillah, dia menyambut baik hasrat kami itu. Semoga apa yang dirancang akan dipermudahkan ALLAH SWT dan bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi,” katanya.
Selain single Dunia Sementara Akhirat Selamanya, Medina turut mempunyai single kedua, Innallaha Ma’ana sekali gus menampilkan Ummi Pipik.
Bagaimanapun single kedua mereka itu hanya dipasarkan di Indonesia dan terpilih sebagai lagu tema untuk sinetron Mak Ijah Naik Haji.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: