Monday, October 26, 2015

Tiket 'sold out'! Hujan hargai sokongan 'Raingers'



Hujan
Kumpulan Hujan
SIAPALAH artis tanpa sokongan peminat. Tanpa peminat juga mungkin perjalanan seseorang artis dalam industri hiburan tidak mampu bertahan lama.
Satu dekad mungkin jangka masa yang sukar dilalui tanpa ‘suntikan semangat’ yang menguatkan mereka untuk terus berkarya.
Menggelari diri sebagai kumpulan 'independent' (indie) yang bermula dengan persembahan gig kecil-kecilan, kini kumpulan Hujan dilihat sebagai antara band yang berpengaruh di negara ini.
Menghargai sokongan peminat atau ‘Raingers’ yang tidak pernah terputus, kumpulan Hujan bakal beraksi dalam konsert #hujan10tahun yang bakal diadakan di KL Live, Life Centre sebagai hadiah buat tulang belakang mereka selain meraikan ulang tahun satu dekad perjalanan seni mereka.
“Konsert ini boleh dikatakan satu projek kumpulan Hujan bersama Raingers. Kalau diikutkan terus terang kami memang kami tidak memiliki peruntukan untuk adakan konsert seperti ini malah hanya merancang untuk adakan perjumpaan secara kecil-kecilan dengan mereka.
“Namun di atas sokongan dan usaha Raingers sendiri dengan wujudkan #hujan10tahun itu buat kami bersemangat untuk adakan sebuah konsert ini.
“Alhamdulillah, tajaan Hotlink juga sangat membantu kami dan kami rasa berbesar hati kerana kamilah kumpulan tanah air pertama yang ditaja untuk adakan konsert ini.
“Akhirnya atas sokongan keluarga, Raingers, penaja dan juga pihak media yang menjadi kekuatan kami, akhirnya konsert ini dapat direalisasikan,” kata vokalis utamanya, Noh Salleh ketika ditemui pada sesi latihan konsert #hujan10tahun dijalankan baru-baru ini.
Lebih membanggakan, Noh memberitahu tiket konsert yang mula dijual pada pertengahan September lalu telah habis dijual dalam tempoh kurang tiga minggu.
“Kami sangat bersyukur dan terharu dengan sambutan peminat yang menyokong kami sehingga tahap ini.
“Kurang tiga minggu tiket sudah habis terjual dan kami terpaksa menambah lagi 100 tiket dan lebih mengejutkan ia habis dalam masa 10 minit sahaja.
“Memang kami tidak menjangkakan tambahan pula yang membeli tiket bukanlah peminat di semenanjung sahaja malah ada yang dari Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei,” katanya penuh teruja.
Menjanjikan kemeriahan konsert, gitarisnya, AG Coco memberitahu pada konsert tersebut mereka bakal mempersembahkan seleksi lagu yang bakal mengembalikan nostalgia penonton yang hadir.
“Pada konsert itu nanti, kami akan sampaikan 40 buah lagu yang bermula daripada album terbaharu sehinggalah album pertama kami.
“Sejak awal lagi, kami mendekati dan memikat peminat dengan lagu-lagu, siapa yang datang akan terhibur dengan lagu-lagu sepanjang perjalanan hujan selama 10 tahun ini.
“Yang pasti, kami mahu kembalikan nostalgia mereka yang datang nanti dan konsert ini kami bukan mahu potretkan sesuatu yang baharu tapi lebih kepada berkumpul semula dan raikan mereka yang sering menjadi tulang belakang kami,” katanya yang turut memberitahu Hujan bakal tampil dengan album terbaharu tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: