Tuesday, October 27, 2015

Bunga cinta di hati Misha Omar



Bunga cinta di hati Misha Omar
Misha Omar
DI awal kemunculannya, nama figura ini cukup sinonim dengan lagu Bunga-Bunga Cinta sehingga ada yang melabelkan, lagu tersebut adalah lagu berhantu buat penyanyi itu.
Kerana lagu samalah, nama Misha Omar mula dikenali dan diingati sehingga kini.
Biarpun kelibat Misha atau nama sebenarnya Samiha @ Aisah Omar sudah jarang kelihatan di dalam industri seni, namun tidak keterlaluan untuk mengatakan, dia masih mempunyai para peminat yang setia mengikuti perkembangannya.
Semakin sibuk sejak bergelar isteri kepada Firos Ezzwan Rossly setahun yang lalu, akui penyanyi berusia 33 tahun ini, status baharu itu banyak mengajarnya erti tanggungjawab dan hidup berdikari.
"Sebelum ini, saya banyak bergantung kepada Mimi (kakak yang juga pengurusnya) dari urusan rumah sehinggalah kepada kerjaya.
"Tapi bila berkahwin, barulah saya tahu, berguna juga saya ni (ketawa).
"Apatah lagi, bila berpindah ke kawasan baharu yang asing untuk saya, belajar menguruskan rumah tangga; suami dan anak-anak, perlu membayar bil, ambil dan hantar anak ke sekolah serta tuisyen, saya banyak buat sendiri dan berdikari.
"Mula-mula berpindah dan berpisah dengan Mimi, ada jugalah dia tanya saya sama ada saya ok atau tidak, jumpa tak garam. Tapi saya kata, saya ok dan biarkan saya berdikari," katanya kepada media ketika ditemui pada majlis pelancaran Juara Parodi, baru-baru ini.
Bukan sahaja belajar berdikari, Misha berkata, tuntutan tugas suaminya sebagai juruterbang, sering memaksa mereka berjauhan dan dia tidak pernah sekali pun menjadikan alasan untuk mengeluh.
"Firos kini bertugas ke Istanbul dan perlu tinggal di sana dalam tempoh tiga bulan. Dan ia adalah pengalaman baharu buat kami berdua dan juga anak-anak.
"Walaupun terasa agak janggal pada mulanya kerana biasanya Firos hanya tinggalkan kami untuk tempoh tiga atau empat hari, tapi lama kelamaan kami dapat membiasakan diri.
"Apatah lagi, teknologi pada masa kini membuatkan kami berasa lebih dekat. Malah saya tidak pun mengeluh dengan kerjayanya kerana saya faham.
"Saya sudah mengenalinya semenjak dia menuntut di kolej penerbangan sehinggalah dia kerja. Jadi saya faham sangat dengan tugasnya itu," ujarnya.
Menyentuh mengenai imej terbaharunya, Misha berkata, dia bukan sengaja tampil dengan imej berambut pendek kerana muncul dalam Juara Parodi, sebaliknya tuntutan sebagai isteri, ibu kepada dua anak angkatnya, Adam Emir, 9, dan Humaira Lateefa, 3, serta kerjayanya sebagai penyanyi membuatkan dia tidak mempunyai masa yang banyak untuk menghabiskan masa di salon.
"Ketika mula-mula hendak memotong rambut, saya tanya juga Mimi, sesuai tak kalau saya berambut pendek? Dan dia ada beri pendapatnya.
"Mula-mula saya potong sedikit demi sedikit, tapi lama kelamaan gian berambut pendek dan ia lebih mudah untuk dijaga," katanya.
Sementara itu, menyentuh pembabitannya di dalam program baharu Astro, Juara Parodi, di mana Misha merupakan satu-satunya penyanyi wanita yang menyertai program unik dan menggabungkan barisan penyanyi dan pelawak hebat tanah air menyahut cabaran dalam program realiti komedi muzik itu yang akan ditayangkan mulai 6 November ini.
Misha menyifatkan Juara Parodi sebagai sebuah platform yang baik untuk dirinya menimba pengalaman dan ilmu pengetahuan untuk menjadi penyanyi vesatile di samping mengubat kerinduan peminat.
“Mulanya saya berfikir banyak kali juga sebelum bersetuju untuk menyertai program ini. Apatah lagi saya terfikir, betapa seronoknya kerana dapat berjumpa rakan-rakan artis di kalangan pelawak dan penyanyi.
“Memang bukan sesuatu yang mudah sebenarnya tetapi saya merasakan program ini juga sebagai satu gedung ilmu yang baik untuk saya menggali ilmu pengetahuan untuk menjadi penyanyi versatil.
"Begitu juga, bagaimana untuk mencari sisi-sisi kreatif dalam diri saya bergabung tenaga dengan pelawak-pelawak hebat tempatan yang memberikan sesuatu yang membara dan tentunya menyeronokkan," katanya.
Ubati kerinduan
Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terbaharu karier seninya, Misha berkata, dia akan muncul dengan single duet bersama Hafiz Suip berjudul Terimaku Seadanya.
Bukan itu sahaja, selepas kali terakhir muncul dengan album, Misha Omar (2008), penyanyi yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang, ini bakal kembali dengan sebuah album baharu yang juga album keempatnya sekitar tahun hadapan.
Mengakui agak bimbang dengan pasaran album tempatan, Misha bagaimanapun optimis dengan kesetiaan peminat dan sekali gus bakal mengubati kerinduan para peminatnya.
"Tidak dinafikan, saya sudah jarang keluar di dada media, ataupun kelihatan dalam program hiburan.
"Tapi itu bukanlah bermakna saya tidak aktif lagi. Sebenarnya saya banyak membuat persembahan bagi acara korporat dan dalam masa sama jarang muncul dalam program TV.
"Jadi saya harap dengan kemunculan single terbaharu dan diikuti album terbaharu akan mengubati kerinduan peminat terhadap saya," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: