Saturday, October 24, 2015

Makanan percuma di Masjid Alwi



Makanan percuma di Masjid Alwi
Zakaria menunjukkan makanan yang diberikan oleh orang ramai.
KANGAR - "Tiada siapa yang berhak untuk berlapar, rezeki ALLAH kita kongsi bersama".Itulah ayat yang ditampal di peti sejuk di pekarangan pintu masuk Masjid Alwi, di sini.

Menurut Setiausaha Jawatankuasa masjid berkenaan Zakaria L.Akub,  makanan itu boleh dimakan oleh jemaah yang memerlukan ataupun musafir  yang singgah di masjid tersebut kerana ia hasil pemberian orang ramai.

Katanya idea itu dicetuskan oleh Pengerusi Masjid yang juga Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin semasa mesyuarat jawatankuasa masjid minggu lalu.

“Masjid ini sering menjadi tempat persinggahan musafir kerana berada di tengah bandar Kangar, ramai yang datang ke sini untuk ke Langkawi atau rumah saudara mara, apabila mereka singgah ada yang kelaparan.

“Tidak kurang juga bagi musafir yang gagal mencari kerja di sini dan di Langkawi,mereka kehabisan duit, jadi itulah tujuan makanan ini diletakkan  bagi jemaah yang haus dan lapar juga mereka boleh mengambil makanan di sini,”katanya ketika ditemui di Masjid Alwi, semalam.

Zakaria memberitahu sejak peti sejuk diletakkan pada Selasa lalu, ia sentiasa dipenuhi makanan yang menunjukkan ramai jemaah yang prihatin dan meletakkan makanan di peti itu.

“Selalunya makanan akan penuh di dalam peti itu di sebelah petang dan akan susut apabila kami datang ke sini di sebelah pagi, Alhamdulillah idea ini mendapat sambutan  selain dapat membantu orang yang memerlukan, namun bagi yang mahu meletak makanan, biarlah ia  dalam keadaan baik dan tidak mudah basi.

“Dr Asri  bercadang mahu menjadikan masjid ini contoh dan dalam masa yang sama masjid ini aktif dengan pelbagai program,”katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: