Sunday, October 25, 2015

Love, Supermoon, santai & menghiburkan


Love, Supermoon

TREND mempunyai abang, kakak atau adik angkat ketika zaman persekolahan sejak dahulu lagi bagaikan menjadi satu kemestian buat setiap pelajar tidak kira di peringkat sekolah mahupun sehingga ke universiti.

Bahkan ada ketikanya dari hubungan abang, kakak dan adik angkat inilah yang membawa pasangan hingga ke jinjang pelamin.

Begitulah yang cuba diketengahkan oleh pengarah, Wan Hasliza yang pernah popular dengan naskhah Dunia Baru Reunion menerusi filem terbaharunya Love, Supermoon.

Filem ini dibarisi oleh barisan pelakon yang tidak kurang hebatnya seperti Nadiya Nissa, Farid Kamil, Rita Rudaini, Anne Ngasri, Zain Hamid, Azhar Sulaiman dan Zain Saidin.

Filem ini mengisahkan mengisahkan Razak (Farid) dan Triz (Nadiya) yang menjadi abang dan adik angkat dalam masa yang singkat ketika menemani rakan masing-masing Nina (Rita) dan Sulayman (Zain Hamid) bertemu janji ketika zaman persekolahan.

Namun menginjak dewasa, Razak dan Triz saling tidak bertegur sapa dan hanya mengetahui perkembangan masing-masing melalui Nina dan Sulayman.

Razak, merupakan seorang doktor, yang tidak mengetahui dan tidak yakin akan apa yang dia mahu dalam hidupnya.

Razak merupakan seorang ‘playboy’ yang sering bertukar–tukar pasangan dan tidak berhasrat untuk berkahwin seperti rakan–rakannya yang lain.

Triz pula bekerja di pusat panggilan bagi sebuah syarikat automobil yang bercita-cita untuk menjadi seorang penulis tetapi hasil tulisan Triz sering ditolak oleh syarikat penerbitan.

Triz mempunyai seorang teman lelaki yang amat dicintainya iaitu Azman (Azhar Sulaiman), seorang kerani di tempat kerja yang sama.

Azman dianggap tidak sesuai untuk Triz oleh rakan-rakanya. Walaupun Azman merupakan seorang lelaki yang ego dan senantiasa menghalang Triz dari mencapai impiannya, Triz tetap menyayangi Azman kerana sifat negatifnya itu dianggap sebagai tanda cinta Azman kepada Triz.

Selepas bertahun–tahun mengharungi pelbagai masalah cinta dan liku-liku kehidupan, Razak dan Triz bertemu dalam keadaan di mana kedua-duanya mahu memulakan kehidupan yang baru.

Secara keseluruhannya filem ini tampil dengan sentuhan santai, namun menghiburkan.

Pendek kata, tatkala anda menonton filem ini, ia sedikit sebanyak akan mengimbau kembali zaman persekolahan atau universiti anda, lebih-lebih lagi mereka yang pernah mempunyai abang atau kakak atau adik angkat ini.

Apatah lagi, apabila jalan cerita ini turut menyelitkan unsur-unsur bergosip dan sampai menyampai yang seperti selalu pernah dilakukan apabila berkumpul bersama rakan-rakan.

Cuma babak melibatkan lelaki bergosip (antara Razak dan Sulayman) kelihatan agak sedikit janggal kerana jarang kaum lelaki berminat untuk bergosip mengenai kaum perempuan. Namun bab mengadu nasib itu sudah biasa dilakukan.

Bagaimanapun pergerakan plot filem ini boleh penulis katakan sedikit perlahan, namun mujurlah ia diselitkan dengan babak komedi, jadi anda mungkin tidak akan terlalu bosan dengan keseluruhan jalan cerita ini.


Nadiya Nissa menyerlah

Berlakon pertama kali di samping pelakon lain yang tidak kurang hebatnya, penulis amat memuji lakonan Nadiya di dalam filem ini.

Bahkan jika Nadiya tidak memaklumkan Love, Supermoon yang juga sebelum ini diberi judul filem Pengapit, merupakan filem pertamanya, penonton pasti tidak akan percaya dengan keberkesanan lakonannya di dalam filem ini.

Menjadi wanita yang lurus dalam percintaan, ada kalanya menerusi gerakan badan Nadiya sahaja sudah cukup untuk membuatkan penonton ketawa dengan aksinya.

Manakala pelakon lain pula, tampil tidak kurang hebatnya dan lakonan mereka tidak perlu dipertikaikan lagi.

Justeru bagi anda yang ingin mengetahui sejauh mana gosip mereka dan kesudahannya dan apakah kaitan bulan Supermoon dengan kisah mereka?

Saksikan kisah romantik paling kelakar dalam filem Love, Supermoon di pawagam!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: