Saturday, October 24, 2015

Bila Mula Jaga Penampilan Agar Disenangi Masyarakat




Bila (AF2015) mahu gaya penampilan sopan. 
PETALING JAYA: Pemenang tempat ketiga program Akademi Fantasia (AF) 2015 iaitu Bila mula mementingkan penampilannya setiap kali keluar rumah selepas popular menerusi rancangan itu.

Bila atau nama sebenarnya Nurnajmi Nabila Samsaidi, 19, berkata, dia akan memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan bersolek dan memakai pakaian yang sopan sebelum keluar rumah agar disenangi masyarakat.

"Saya tahu, apabila dikenali, sikap dan penampilan diri kena jaga, takut orang mengata pula. Jadi saya akan pastikan wajah disolek selain memakai pakaian yang sesuai setiap kali keluar rumah. Adab juga perlu dijaga," katanya kepada mStar Online.
Tambah anak kepada pemain bes kumpulan Wings, Eddy itu, walaupun apa dilakukannya itu agak melecehkan, namun dia faham penampilan diri akan menjadi keutamaan apabila dikenali umum.

Sementara itu, Bila turut meluahkan rasa syukur  sejak tamat program AF 2015, dia menerima pelbagai undangan nyanyian dan terbaharu dia bakal tampil membuat persembahan tribute bersama lapan barisan penyanyi lain sempena konsert Wings 30 Tahun pada 31 Oktober ini.

"Saya bersyukur apabila Wings memberi peluang kepada saya membuat persembahan Tribute pada konsert berkenaan.

"Jika sebelum ini saya hanyalah penyanyi latar untuk Wings, sekarang saya membuat persembahan di pentas Wings. Saya tahu, peluang ini diberikan bukan kerana ayah saya merupakan anggota kumpulan itu, tetapi ia lebih kepada bakat yang saya miliki," ujarnya.

Selain Bila, lapan penyanyi lain yang akan terlibat termasuklah Ella, Ito (Blues Gang), Datuk Hattan, Azlan The Typewriter, One Nation Emcees, Datuk M.Nasir, Elizabeth Tan, Andy (Flop Poppy), Saiful Apek dan Yassin.

Mereka juga akan diiringi barisan pemuzik profesional iaitu Hillary Ang (gitaris), Rody Kristal (gitaris), Paei (dram), Fly (bes) dan Lee Tse Wan.

Persembahan tribute akan berlangsung pada pukul 8 malam selama sejam  sebelum konsert Wings diadakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: