Thursday, October 29, 2015

Ada apa dekat bus stop satukan Myo, Airis


Ada apa dekat bus stop satukan Myo, Airis

KEDUA-dua pelakon ini bukanlah pendatang baharu dalam industri seni tempatan.
Meskipun nama mereka tidak segah selebriti lain, namun mereka mempunyai status atau tempat di hati peminat yang telah lama menerima kehadiran mereka dalam industri ini.
Mungkin nama Myo agak janggal di kalangan peminat-peminat drama mahupun filem, sebaliknya apabila disebut Myo Oh Chentaku, dia mempunyai pengikut tersendiri dalam bidang muzik.
Begitu juga dengan Airis Yasmin, lebih 10 tahun di dalam bidang lakonan, namanya masih tidak sepopular pelakon-pelakon sedia ada.
Pun begitu, bagi kedua-duanya, apa yang penting mereka terus diterima industri dan menerima mereka dengan baik.
Dipertemukan dalam filem yang mengangkat genre komedi seram, Ada Apa Dekat Bus Stop, baik Myo atau pun Airis mengakui amat seronok menjalinkan kerjasama bersama.
Menurut Myo yang terkenal menerusi program Ke Indonesia Ke Kita, apabila mendapat tawaran untuk menjadi salah seorang teraju utama filem itu, dia agak terkejut.
“Berlakon filem bukannya mudah, lagi-lagi ini kali pertama saya berlakon, tetapi saya sahut cabaran tersebut untuk melihat sejauh mana saya boleh pergi dalam industri ini.
“Bagaimanapun, sebelum menerimanya, saya telah memberitahu pengarah agar tidak memarahi saya jika lakonan saya tidak menjadi.
“Alhamdulillah, berkat tunjuk ajarnya dan pelakon lain, semuanya berjalan dengan lancar," katanya.
Sementara itu, Airis berkata, dia juga menerima tawaran tersebut kerana ia sebuah karya yang menarik.
“Selain karekter berbeza, filem ini juga menepati selera penonton masa kini.
“Lagi pun, sekarang memang ramai yang sukakan genre komedi berbanding sesuatu lebih serius,” katanya.
Pengarah beri kepercayaan
 Berkongsi lanjut mengenai peranan masing-masing, kata Myo, menerusi filem itu dia masih menjadi Myo.
“Nama sahaja sama, tetapi sifatnya agak berbeza. Dalam filem ini, saya merupakan rakan serumah kepada Abam Bocey yang bekerja sebagai mat despatch.
“Myo ni merupakan seorang romeo kampung,” katanya.
Ditanya bagaimana dia merealisasikan watak tersebut, akui Myo, bantuan semua pihak membuatkan dia berjaya menjadi apa yang dikehendaki pengarah.
“Tidak terlalu sukar kerana wataknya tidak berat dan serius.
“Malah, pengarah memberi kepercayaan bagaimana saya mengolah watak tersebut.
“Katanya, tidak perlu terikat dengan skrip selagi saya faham siapa watak itu dan bagaimana hendak menyampaikannya kepada penonton,” katanya.
Bagaimanapun menurutnya, masih terdapat babak yang mencabar walaupun filem itu sebuah filem komedi.
“Ada babak di mana saya diperlukan untuk berlakon adegan yang agak ‘daring’ dalam filem itu iaitu adegan di dalam kereta, memang mencabar kemampuan saya,” katanya.
Jadi hantu cantik
Menurut Airis pula, jika sebelum ini dia banyak terlibat dengan karya-karya seram tetapi Ada Apa Dekat Bus Stop masih menjanjikan kelainan.
“Sebelum ini seramnya benar-benar seram, tetapi kali ini diselitkan dengan unsur komedi.
“Menariknya, ini kali pertama saya menjadi hantu yang tidak memerlukan saya menjadi hantu yang menyeramkan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai peranan yang dibawa, katanya, dia berperanan sebagai Kak Senah dalam filem itu.
“Cerita bermula apabila Kak Senah yang pulang ke kampung terlibat dengan satu peristiwa di bus stop di kampung itu.
“Sejak itu, apa sahaja perkara berlaku di situ, Kak Senah pasti akan muncul,” katanya.
Akuinya, dia juga gembira kerana peranan tersebut mempunyai tarikan tersendiri.
“Hantu Kak Senah adalah hantu yang baik, yang mana dia sering memberikan nasihat kepada penduduk di situ.
“Kesannya, penduduk yang ingin membuat benda jahat akhirnya berubah ke arah lebih baik,” katanya.
Serasi bersama
Dalam pada itu, Myo dan Airis mengakui, walaupun pertama kali bekerja bersama, tetapi tidak sukar mencari keserasian.
Jelasnya, beberapa babak yang memerlukan mereka bersama dapat dilakukan dengan baik.
“Alhamdulillah, walau pun tak pernah kerja sekali sebelum ni, tapi semuanya berjalan dengan baik.
“Lagi pun, Myo seorang yang senang menerima arahan daripada pengarah dan itu sangat memudahkan kerja kami,” kata Airis.
Bagi Myo pula, dia seronok berlakon dengan Airis, kerana Airis tidak kedekut ilmu lakonan.
“Airis juga banyak beri tunjuk ajar dan bantuan untuk menjadikan babak tersebut berjaya, tak sangka pula berlakon ini sebenarnya agak mudah bergantung pada karya yang diterima,” katanya.
Bercakap mengenai kekuatan filem itu pula, mereka percaya komedi seram yang dipertaruhkan akan menarik minat penonton.
“Bukan sahaja kami, malah filem ini mempunyai pelakon komedi hebat seperti Zaibo, Abam, Tauke Jambu dan Kaza,” kata Myo.
Sedikit mengenai filem sentuhan Ikhzal Azrafil Ideris itu, ia bakal ditayangkan pada 19 November ini di seluruh pawagam di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: