Peserta menunjukkan sijil masing-masing yang diperoleh setelah mengikuti Kursus Pra Perkahwinan Islam Siri ke-4 selama dua hari di Kolej PTPTL.
KUALA TERENGGANU - Biarpun bergelar seorang pelajar di institut pengajian tinggi, ia tidak menghalang golongan berkenaan mendalami ilmu perkahwinan sebagai persediaan awal melangkah alam rumahtangga.
Penyelaras Program Kursus Pra Perkahwinan Islam, Aminah Ibrahim berkata, melalui kursus itu pelajar dapat menilai baik buruk seseorang dalam memilih pasangan hidup supaya tidak terjebak dalam gejala sosial yang agak membimbangkan buat masa ini.
“Kita sedia maklum, ramai remaja terutama yang masih belajar terlibat dengan masalah sosial sehingga memudaratkan diri sendiri. Jadi dengan pengetahuan yang diperoleh melalui kursus ini, mereka lebih terbuka dan mampu menilai baik buruk dalam sesebuah perhubungan.
“Ilmu kekeluargaan ini bukan sahaja memberi perhatian kepada isu dalaman rumahtangga, malah turut mengajar pelajar mengatasi tekanan dan juga mengurus sesuatu keadaan termasuk kewangan. Ia bagus jika dipraktikkan sesi pengajian masing-masing,” katanya pada Program Kursus Pra Perkahwinan Islam Siri ke-4 di Kolej PTPTL, di sini.
Menurut Aminah, seramai 62 pelajar termasuk kakitangan Kolej PTPL Terengganu menyertai kursus dua hari itu.
Sementara itu, seorang pelajar Diploma Pengurusan, Siti Noor Atikah Che Ghani berkata, program itu sangat bagus dan berguna kepadanya walaupun masih belajar kerana ilmu rumahtangga perlu diketahui untuk persediaan pada masa akan datang.
“Ia (ilmu) sangat bagus dan berguna untuk saya sebagai persediaan awal pada masa akan datang,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: