SIAPA sangka, sejak setahun lalu, Cha Cha Maembong, 19, sudah membuat keputusan untuk tinggal berasingan dengan keluarganya.
Menurutnya, pilihan itu dibuat apabila memikirkan keluarganya yang semakin besar dan dia nekad untuk hidup berdikari.
“Abang dan adik-beradik saya kebanyakannya sudah berkahwin. Tinggal tiga orang sahaja yang belum berkahwin termasuk saya.
“Tambahan saya ini anak bongsu, jadi saya lebih manja dan rapat dengan semua orang. Oleh itu saya tidak mahu terus bergantung kepada mereka,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis pelancaran rancangan The House, baru-baru ini.
Akui Cha Cha atau nama sebenarnya Siti Aishah, sebagai anak bongsu daripada 11 beradik, dia takut sikap terlalu manja dengan keluarganya itu akan membuatkannya terlalu bergantung pada mereka.
“Jadi adalah lebih baik saya berpisah awal-awal dan belajar untuk hidup sendiri,” katanya yang juga mengakui bukan mudah untuk membiasakan diri hidup tanpa keluarga.
Akui semakin selesa dengan keputusannya itu, Cha Cha bagaimanapun menafikan dia mahu hidup bebas seperti mana yang dilalui ramai remaja seusianya di luar sana.
“Saya tinggal sendiri hanya kerana mahu berdikari. Lagipun saya tidak mahu bebankan hidup ayah yang selam ini bersusah payah membesarkan saya.
“Saya sedar, sejak kecil lagi ayah telah membesarkan kami dengan baik, jadi saya tidak mahu susahkan dia lagi. Lebih-lebih lagi saya selalu pulang lewat.
“Walaupun tak tinggal sekali, tidak bermakna saya lupakan ayah. Apabila cuti atau ada kelapangan saya pasti datang menziarahinya,” kata Cha Cha.
Belum menyerlah?
Berkongsi pula perihal lakonannya, Cha Cha berkata, setakat ini tiada istilah memilih watak mahupun bersikap demand dengan tawaran yang diterima.
“Saya sedar saya masih lagi baharu dalam bidang ini iaitu baru nak masuk empat tahun berlakon, justeru apa sahaja tawaran, saya akan terima asalkan watak itu sesuai dengan diri saya.
“Pada waktu yang sama, saya suka mencuba pelbagai watak kerana mahukan kelainan. Oleh itu, apa sahaja watak yang belum pernah saya lakonkan, akan ambil sahaja.
“Belum tiba waktu untuk saya pilih watak lagi, banyak lagi benda saya nak kena belajar,” katanya.
Pelakon drama Setia Hujung Nyawa ini juga tetap optimis meskipun ada yang mengatakan dirinya masih belum menyerlah dalam bidang seni ini.
“Saya masih dalam perjalanan belajar untuk tingkatkan kemahiran. Masih belum layak digelar pelakon hebat.
“Namun apa sahaja watak yang diberikan, saya akan cuba lakukannya dengan terbaik, kerana tidak mahu ada pihak tidak berpuas hati dengan lakonan saya,” katanya.
Mahu bergelar pelakon versatil, Cha Cha, berkata, dia sanggup menyahut pelbagai cabaran termasuk menjayakan babak yang sukar seperti mana wataknya dalam sebuah drama terbaharu, Cinta Dari Marikh, yang bakal menemui penonton televisyen tidak lama lagi.
“Saya ini seorang yang takut tinggi. Jadi apabila dapat watak yang memerlukan saya 'tergantung' memang saya takut sehingga boleh menangis.
“Tetapi Alhamdulillah saya berjaya harunginya juga,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: