KUALA PILAH - Seorang penyelia tapak Tanaman Semula Berkelompok (TSB) Kampung Puntung Simat, Johol terkejut apabila ternampak seekor ular sawa dihempap beberapa batang pokok ketika meninjau kawasan berkenaan, kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

Mohd Arif Mohd Haikal, 20, berkata, ketika melalui kawasan tersebut, dia melihat timbunan kayu bergerak sebelum meninjau dengan lebih dekat.

"Bila tengok kayu-kayu bergerak, saya mula syak ada sesuatu di bawahnya. Tekaan saya tepat bila saya lihat ada seekor ular sawa di bawah timbunan kayu berkenaan.

"Mungkin timbunan kayu itu menjadi tempat berteduh reptilia berkenaan berikutan terdapat lubang di situ," katanya.

Menurutnya, dia terpaksa menunggu sebelah petang untuk meminta bantuan rakan-rakannya untuk mengeluarkan reptilia tersebut.

"Saya dan enam lagi rakan ambil masa dua jam untuk keluarkan ular itu berkenaan. Pada mulanya kami hendak panggil bomba tetapi akhirnya kami panggil JPAM untuk minta bantuan," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM Kuala Pilah, Sarjan Majeran Lon berkata, beliau bersama empat anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam jam 6.49 petang.

"Setibanya di lokasi, kami dapati ular sawa tersebut berada di tepi sebatang tiang pagar. Mengikut maklumat dari penduduk, ular tersebut kekenyangan dipercayai baru menelan seekor kambing.

"Operasi menangkapnya agak sukar disebabkan suasana gelap dan kami terpaksa menggunakan lampu dari kenderaan JPAM untuk membantu menyuluh reptilia terbabit," katanya.

Tambah Majeran, pihaknya mengambil masa 30 minit serta turut meminta bantuan penduduk untuk menjinakkan ular sawa tersebut kerana reptilia seberat kira-kira 120 kilogram dan panjang tujuh meter itu bertindak agresif.

Katanya, ular sawa tersebut kini berada di bawah pengawalan JPAM dan akan diserahkan ke Perhilitan dalam masa terdekat.