Friday, October 23, 2015

Sharul terima ketentuan takdir



Shahrul Nasrun
Shahrul Nasrun
HUBUNGAN kami masih baik,” kata Shahrul Nasrun Kamarudin ketika diminta mengulas mengenai status hubungannya dengan bekas tunangnya, Adira.

Sebelum ini, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim kelapan itu mengakui masih ada menyimpan perasaan sayang kepada bekas tunangnya meskipun hubungan mereka berakhir sejak hujung April lalu.

Bahkan, Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi juga memilih untuk menolak mana-mana lelaki yang mendekatinya demi menjaga hati keluarga bekas tunangnya itu.

Pun begitu, Shahrul enggan mengulas lebih lanjut mengenai status hubungan tersebut kerana menyifatkannya sebagai terlalu peribadi.

“Tentang kenyataan Adira, saya tak nak komen. Sebenarnya, apabila ia melibatkan soal perasaan, ia terlalu peribadi untuk diceritakan kepada umum.

“Lagipun, saya berkawan baik dengan semua orang. Bukan dengan dia (Adira) saja, malah bekas teman wanita saya yang sebelum ini pun saya baik juga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Zikir Perdana dan Perasmian Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama), kelmarin.

Biarpun tidak lagi menjalinkan hubungan cinta, Shahrul menerima perpisahan itu sebagai takdir yang ditetapkan oleh-Nya.

“Semua itu adalah ketentuan dari ALLAH SWT, dan kita hanyalah mampu untuk merancang.

“Buat masa ini, saya dan Adira masih berkawan seperti biasa dan sebagai seorang yang dewasa, hubungan persahabatan itu tidak akan diputuskan,” katanya.


Sasar 30,000 pengunjung

Sementara itu, Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia itu turut menyasarkan kehadiran seramai 30,000 pengunjung pada program Zikir Perdana  yang bakal berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya pada 7 November depan.

Sebagai pengurus acara, kata Shahrul, program itu adalah rentetan daripada kejayaan program Selawat Perdana yang dianjurkannya pada tahun lalu.

“Hampir setengah juta pengunjung hadir sama-sama memeriahkan lagi program Selawat Perdana, tahun lalu.

“Tidak hanya masyarakat awam, program ini juga bakal disertai golongan pemimpin dan juga selebriti popular tempatan sebagai salah satu tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: