Friday, October 30, 2015

Punya Teman Istimewa, Hati Sasha Saidin Belum Terbuka Berkahwin Lagi




Sasha Saidin
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Sasha Saidin mengaku hatinya belum terbuka untuk berkahwin lagi biarpun kini menjalin hubungan rapat dengan seorang lelaki.

Sasha,39, berkata, lelaki yang dikenali hampir tiga tahun itu dianggap sebagai kawan paling rapat yang mendengar dan berkongsi masalah dengannya.

"Secara jujur saya ada berkawan dengan seorang lelaki, tapi ia lebih kepada kawan baik kerana kadang-kadang kita mahu seseorang yang boleh dengar masalah kita dan berkongsi apa sahaja cerita.

"Kami sudah kenal sejak zaman sekolah lagil tetapi baru tiga tahun kami rapat semula. Dia juga pernah melalui pengalaman gagal dalam rumah tangga dan diusia saya ini malas rasanya ingin bercinta, dating dan merajuk-merajuk," ujarnya kepada mStar Online.

Sasha ditemui pada pelancaran drama bersiri Oh My English, di The Bee Publika, di sini, Khamis.

Sementara itu, Sasha turut berkata, dia masih berasa trauma untuk berhadapan dengan perpisahan selepas dua kali gagal dalam perkahwinan.

Tambahnya, dia kini lebih memikirkan tentang masa depan anaknya iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono, 6, yang bakal memulakan alam persekolahan.

"Saya sudah dua kali gagal dalam perkahwinan, yang pertama kerana masalah agama dan yang kedua ada masalah peribadi, oleh itu untuk perkahwinan seterusnya saya perlu berfikir panjang.

"Kawan-kawan suruh saya kahwin sahaja lagi sekali supaya hidup saya lebih senang, tapi mana mereka tahu hidup saya lebih senang kalau berkahwin lagi?," ujarnya.

Bekas anggota kumpulan Elite itu berkahwin dengan Salyo seorang warga Indonesia pada 2007 sebelum bercerai pada 10 Julai 2012. Adam adalah cahaya mata tunggal pasangan ini.

Sasha juga pernah bernikah dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner, pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun mereka berpisah empat tahun kemudian.

Dalam perkembangan lain, Sasha yang turut terlibat dengan drama Oh My English berkata, dia kini lebih banyak menerima tawaran peragaan selain mengikuti sesi bersama peminat untuk pelancaran produk seperti kosmetik dan fesyen.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: